backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Kerap Sakit Kepala? Usah Ambil Ringan! Ini 6 Tanda Serius Berkaitan Barah Otak!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 16/06/2023

    Kerap Sakit Kepala? Usah Ambil Ringan! Ini 6 Tanda Serius Berkaitan Barah Otak!

    Hampir semua individu di seluruh dunia pernah merasai simptom sakit kepala. Persoalannya, adakah kerap sakit kepala merupakan tanda barah otak?

    Jika anda pernah runsing memikirkan kebarangkalian tersebut, anda tidak keseorangan.

    Fakta yang perlu anda tahu adalah bukan semua gejala kerap pening kepala disebabkan oleh kanser otak.

    Namun, mereka yang mempunyai barah otak boleh mendapat simptom kerap sakit kepala.

    Jadi bagaimana cara untuk membezakan sakit kepala biasa dan sakit kepala yang disebabkan oleh barah otak?

    Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    Apa karakter kerap sakit kepala yang disebabkan oleh barah otak?

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di antara 50 hingga 75% individu dewasa (18-65 tahun) pernah melaporkan sekurang-kurangnya sekali simptom sakit kepala pada tahun 2015.

    Dalam kalangan pesakit tersebut, 4% merupakan penderita sakit kepala kronik.

    Namun, jika kita bandingkan dengan mereka yang didiagnosis dengan masalah barah otak, jumlahnya jauh lebih kecil.

    Pada tahun 2016, hanya 330,000 individu di seluruh dunia didiagnosis dengan kanser otak dan saraf tunjang.

    Ini bermakna, tanpa simptom yang merujuk kepada masalah kanser seperti berikut, risiko anda didiagnosis dengan masalah tersebut sangatlah rendah.

    1. Hilang selera makan.
    2. Lemah satu badan.
    3. Kelesuan.
    4. Hilang berat badan tanpa sebab.
    5. Rasa tidak seimbang.
    6. Susah berjalan tanpa sebab.
    7. Masalah pada penglihatan, pendengaran atau percakapan.
    8. Sawan.
    9. Sukar tumpu perhatian.
    10. Perubahan pada mood atau personaliti.

    kerap sakit kepala

    Menurut Persatuan Barah Otak Amerika (ABTA), 50% daripada jumlah mereka yang didiagnosis dengan barah otak mengalami simptom kerap sakit kepala.

    Namun, karakter sakit kepala itu berbeza dengan apa yang dialami oleh individu ketika migrain atau pening kepala biasa.

    1. Sakit kepala teruk pada sebelah pagi.
    2. Sukar untuk tidur pada waktu malam kerana kerap sakit kepala.
    3. Simptom berlangsung untuk beberapa hari atau minggu.
    4. Perubahan posisi badan atau batuk menyebabkan sakit kepala semakin teruk.
    5. Muntah semasa alami simptom sakit kepala.
    6. Semakin lama, intensiti sakit kepala semakin teruk.

    Anda mungkin berminat:

    Apa sebenarnya punca kepada berlakunya kanser otak?

    Punca berlakunya kanser otak sukar untuk dikenal pasti.

    Walau bagaimanapun, saban tahun, kita semakin mendalami ilmu berkaitan dengan bagaimana proses ini berlaku dari sudut fisiologi.

    Secara asasnya, proses pembentukan kanser berpunca daripada ketidakseimbangan peranan gen dalam mengawal atur kadar pertumbuhan dan kematian sel.

    Perkara ini boleh menyebabkan berlakunya kanser otak (konteks artikel) dan simptom pening kepala.

    Antara gen penting yang menyelia proses pembentukan sel baharu dan kematian sel di dalam badan adalah:

    • Oncogenes merupakan gen yang membantu sel untuk membesar, membahagi (replikasi) dan memastikan keterusan jangka hayat sel.
    • Tumour suppressor genes pula mengawal aktiviti oncogenes. Ia memastikan kadar replikasi sel berada dalam keadaan terkawal, membaiki kerosakan DNA dan mengatur kematian sel bagi menyeimbangi kadar pembentukan sel baharu.

    Apabila fungsi tumour suppressor genes terganggu (dimatikan), keterusan pada aktiviti oncogenes boleh menyebabkan ketidakseimbangan persekitaran fisiologi dalam badan.

    Ia mengakibatkan kadar replikasi sel berada di luar kawalan dan hasilnya, terbentuklah ketumbuhan pada organ seperti otak.

    Maklumat genetik bagi perubahan aktiviti gen yang menyebabkan kanser otak boleh diwarisi.

    Walau bagaimanapun, faktor persekitaran yang boleh merosakkan struktur DNA seperti asap rokok dan radiasi juga tidak boleh diabaikan.

    Apabila berlakunya kanser otak, ketumbuhan tersebut boleh meningkatkan tekanan di dalam kepala.

    Perkara ini boleh mendorong berlakunya simptom seperti pening kepala, kelesuan dan paling teruk, koma.

    Tanpa rawatan, ketumbuhan otak boleh menyebabkan kerosakan fungsi otak dan kematian.

    Perlu ke saya berjumpa dengan doktor jika kerap sakit kepala?

    Bukan semua simptom pening kepala itu perlukan rujukan doktor.

    Ada yang akan hilang dengan sendirinya.

    Namun, jika simptom tersebut mengganggu produktiviti dan keupayaan anda untuk menjalani aktiviti harian, segera rujuk ke pusat kesihatan terdekat.

    Antara simptom lain yang perlu diberi perhatian adalah:

    1. Gangguan deria (penglihatan, pendengaran atau percakapan)
    2. Perubahan tingkah laku atau personaliti
    3. Serangan sawan
    4. Lemah sebelah atau seluruh badan
    5. Serangan sakit kepala teruk yang hadir secara tiba-tiba

    kerap sakit kepala

    Diagnosis bagi masalah kesihatan berkaitan dengan simptom kerap sakit kepala bergantung kepada sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal (sekiranya perlu).

    Bagi sesetengah kes, doktor mungkin akan membuat pemeriksaan imbasan CT atau MRI.

    Pun begitu, anda tidak perlu risau. Tidak semestinya anda mempunyai barah otak hanya kerana doktor membuat pemeriksaan radiologi.

    Namun, sekiranya anda disahkan dengan kanser otak, rawatan awal dapat membantu meningkatkan kebarangkalian untuk anda sembuh.

    Konklusi

    Simptom pening kepala boleh berpunca daripada pelbagai jenis keadaan kesihatan.

    Walaupun kita sering dimomokkan dengan kanser otak, hanya sebahagian kecil daripada jumlah mereka yang mengalami sakit kepala yang didiagnosis.

    Jika anda risau atau rasa simptom tersebut mengganggu urusan harian anda, dapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan daripada doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 16/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan