Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Payudara, sila dapatkannya di sini.
Kanser payudara merupakan kanser kedua paling tinggi dicatatkan di kalangan wanita. Salah satu langkah yang berkesan untuk melawan kanser payudara ialah dengan mengenal pasti kanser ini sebelum ia sempat merebak ke kawasan badan yang lain.
Penyakit kanser payudara yang dikenal pasti ketika ia masih lagi awal mempunyai kadar kesembuhan yang lebih tinggi. Pesakit juga boleh memilih rawatan yang bersesuaian dan berkesan.
Tambahan lagi, kanser payudara yang dikesan pada peringkat awal mempunyai peratusan kadar kelangsungan hidup 5 tahun yang lebih tinggi iaitu sebanyak 93%.
Menurut American Cancer Society, wanita perlu melakukan ujian saringan secara berkala untuk mengelakkan kanser payudara.
Apa itu ujian saringan?
Ujian saringan dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti kanser ketika ia masih belum merebak. Pengesanan awal pula bermaksud ujian yang dilakukan untuk mendiagnosis satu-satu penyakit itu sebelum pesakit mula menunjukkan sebarang simptom.
Pesakit yang didiagnosis dengan kanser selepas melakukan ujian saringan selalunya masih berada pada tahap awal kanser. Untuk pengetahuan anda, kadar kesembuhan kanser payudara bergantung kepada tahap dan saiz kanser tersebut.
Semua faktor di atas adalah penting untuk membuat prognosis mengenai pesakit tersebut dan juga kanser yang dialaminya.
Wanita yang mempunyai risiko kanser payudara yang sederhana digalakkan untuk mengambil ujian saringan.
Seorang wanita dikatakan mempunyai risiko sederhana jika dia tidak mempunyai sebarang sejarah keluarga, mutasi genetik dan tidak pernah melakukan terapi radiasi sebelum berumur 30 tahun.
American Cancer Society mencadangkan agar:
- Wanita berumur antara 40 hingga 44 tahun disarankan melakukan mamogram setiap tahun.
- Wanita berumur 45 hingga 54 wajib melakukan mamogram setiap tahun.
- Wanita berumur 55 tahun dan lebih boleh melakukan mamogram setiap tahun. Mereka juga digalakkan untuk melakukan mamogram jika mereka sihat dan dijangkakan akan hidup dalam masa 10 tahun akan datang.
- Semua wanita perlu memahami apakah fungsi sebenar mamogram.
Kanser payudara yang telah menunjukkan simptom selalunya telah mencapai tahap yang serius dan sukar untuk dirawat.
Walau bagaimanapun, kanser yang ditemui semasa ujian saringan selalunya masih lagi bersaiz kecil dan bersifat lokal. Oleh sebab itu, kanser ini lebih berpotensi untuk dirawat dan pesakit juga mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk sembuh.
Faktor risiko untuk kanser payudara
Wanita yang mempunyai faktor risiko seperti di bawah mungkin lebih berisiko untuk menghidap kanser. Jika anda tergolong dalam mana-mana kumpulan di bawah, pastikan anda berbincang dengan doktor mengenai risiko kanser yang akan dihadapi.
- Umur – wanita yang berumur 50 tahun lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara.
- Pernah menghidap kanser payudara – wanita yang pernah menghidap kanser payudara berisiko untuk mendapat kanser pada buah dada yang sihat.
- Sejarah keluarga – wanita lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara jika ibu, kakak, atau adik perempuan mempunyai kanser payudara.
- Faktor genetik – wanita yang mempunyai BRCA1 dan BRCA2 lebih berisiko untuk menghidap barah payudara.
Wanita yang mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kanser payudara perlu melakukan mamogram dan MRI setiap tahun bermula dari umur 30 tahun.
Walau bagaimanapun, bukan semua wanita perlukan imbasan MRI setiap tahun.
Namun, wanita yang mempunyai risiko yang tinggi perlu mula berbincang dengan doktor masing-masing supaya persediaan yang lebih rapi dapat dilakukan.
Cara yang betul untuk mengambil ujian mamogram
Ramai wanita yang melakukan ujian mamogram, namun mereka tidak melakukan sebarang follow-up. Jika anda ingin mendapatkan lebih informasi mengenai mamogram, anda boleh:
- Pastikan mamogram anda mempunyai sijil daripada U.S. Food and Drug Administration (FDA). Sijil ini menunjukkan bahawa mamogram yang anda ambil sah dan mengikut standard.
- Pastikan anda lakukan mamogram mengikut jadual. Kemudian, berbincang dengan doktor supaya anda boleh melakukannya mengikut keselesaan diri.
- Lakukan follow-up untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai keputusan ujian anda. Jangan anggap keputusan yang diterima adalah normal tanpa meminta sebarang penjelasan daripada doktor terlebih dahulu.
- Cuba lakukan ujian mamogram di tempat yang sama setiap tahun. Dengan cara ini, keputusan ujian anda boleh dibandingkan dari tahun ke tahun.
Kesimpulan
Kanser payudara mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi jika dikesan ketika ia masih belum belum merebak. Seperti kanser lain juga, pengesanan awal adalah kunci utama kesembuhan.
Selain mamogram, wanita juga boleh lakukan pemeriksaan kendiri secara berkala. Walau bagaimanapun, pemeriksaan kendiri tidak setepat mamogram dan ia tidak dapat mengesan kanser dengan tepat.
Kadangkala, pemeriksaan kendiri juga boleh buatkan pesakit rasa gelisah dan takut. Oleh sebab itu, lebih baik jika anda serahkan semuanya kepada pihak pakar.
Pakar boleh melakukan pemeriksaan langkah demi langkah yang dapat membantu untuk mengesan kehadiran kanser.
Namun, langkah pencegahan yang terbaik sudah tentulah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Elakkan merokok atau minuman beralkohol dengan terlalu kerap.