Kanser payudara merupakan penyakit yang amat menakutkan untuk kaum wanita. Kajian menunjukkan, barah payudara boleh berlaku disebabkan beberapa faktor. Salah satu faktor utamanya ialah penyakit keturunan.
Sebab itulah, ramai wanita yang risau mengenai risiko mereka untuk menghidap kanser payudara. Lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai ibu atau ahli keluarga terdekat yang menghidap penyakit ini.
Walaupun begitu, hanya 5-10% sahaja kanser payudara berlaku disebabkan penyakit keturunan.
Jika anda mempunyai ibu atau adik yang menghidap kanser payudara, risiko anda untuk mendapat penyakit yang sama akan meningkat.
Tetapi, ramai juga pesakit yang mengalami kanser payudara bukan disebabkan keturunan. Bahkan, ada juga yang tidak mempunyai sejarah kanser dalam keluarga mereka.
Penyakit keturunan disebabkan mutasi genetik
Kanser payudara yang berlaku disebabkan keturunan berkait rapat dengan mutasi pada 2 gen iaitu BRCA1 (Breast Cancer gene 1) dan BRCA2 (Breast Cancer gene 2).
Semua orang mempunyai kedua-dua gen ini. Malah, ia juga mempunyai fungsi yang tersendiri seperti memperbaiki kerosakan sel dan memastikan semua sel dapat membesar dengan baik.
Walau bagaimanapun, apabila sel ini mengalami mutasi, ia tidak dapat melakukan tugasnya dengan baik. Sebab itulah, risiko untuk menghidap kanser payudara semakin meningkat.
Sel yang mengalami mutasi ini juga boleh diturunkan daripada ibu kepada anak perempuannya. 1 daripada 10 kes kanser payudara berlaku disebabkan mutasi BRCA1 dan BRCA2.
Namun, mempunyai sel BRCA1 dan BRCA2 bukan bermaksud anda bakal menghidap barah payudara. Ada juga wanita yang mempunyai kedua-dua sel ini namun tidak menghidap kanser.
Kajian juga mendapati, mutasi pada kromosom yang dikenali dengan nama SNP (single nucleotide polymorphisms) pada gen BRCA1 akan meletakkan wanita tersebut dalam risiko kanser payudara yang lebih tinggi.
Lebih berisiko alami penyakit keturunan jika ibu hidap penyakit yang sama
Benar, jika anda mempunyai ahli keluarga seperti ibu, nenek, adik, kakak atau makcik yang menghidap kanser payudara, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit yang sama.
Tetapi bukan itu sahaja. Ada juga faktor-faktor lain seperti:
- Keluarga menghidap kedua-dua kanser payudara dan kanser ovari.
- Anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara triple-negative (TNBC).
- Ada kanser lain dalam kalangan keluarga anda selain kanser payudara seperti kanser prostat, melanoma, pankreas, perut, uterus, kolon atau sarkoma.
- Ada ahli keluarga anda yang pernah mengalami kanser pada kedua-dua belah payudara.
- Lelaki dalam keluarga anda menghidap kanser payudara.
- Anda tahu ahli keluarga anda mempunyai gen kanser payudara.
Secara purata, wanita di Amerika Syarikat mempunyai risiko sebanyak 12% untuk menghidap kanser payudara sekali seumur hidup.
Namun, wanita yang mempunyai mutasi BRCA1 atau BRCA2 mempunyai risiko yang lebih tinggi iaitu 72% untuk mengalami diagnosis kanser payudara.
Malah, kanser yang berlaku secara keturunan ini juga selalunya didiagnosis dalam kalangan wanita muda dan boleh terbentuk pada kedua-dua belah buah dada wanita.
Masih boleh cegah kanser payudara
Walaupun kanser payudara boleh menjadi penyakit keturunan, itu tidak bermaksud anda tidak boleh mencegahnya.
Terdapat beberapa perubahan dari segi gaya hidup yang anda boleh lakukan untuk memastikan risiko kanser payudara ini berada pada tahap yang paling rendah.
Sebagai contoh:
- Pastikan berat badan dalam lingkungan yang sihat.
- Bersenam dengan kerap.
- Elakkan mengambil terlalu banyak alkohol.
- Makan makanan yang berkhasiat.
- Jangan merokok atau sila berhenti merokok.
Selain itu, lakukan ujian saringan kanser payudara secepat mungkin. Berbincang dengan doktor tentang masa yang terbaik untuk melakukan ujian payudara klinikal dan juga mamogram.
Wanita yang lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara boleh memulakan ujian saringan ketika berumur 40 tahun ke bawah.
Pastikan anda kenal payudara anda dan kerap lakukan pemeriksaan kendiri.
Jika ada sebarang perubahan seperti muncul ketulan dan sebagainya, berjumpalah dengan doktor secepat mungkin untuk pemeriksaan.
Selain itu, ada sejenis pembedahan yang dikenali sebagai pembedahan perlindungan (protective surgery).
Melalui pembedahan ini, individu yang mempunyai risiko kanser payudara yang tinggi boleh membuang buah dada dan ovari yang sihat untuk menurunkan risiko kanser payudara.
Malah, pembedahan ini juga boleh mengurangkan risiko kanser sebanayk 97%.
Selalunya, wanita yang mempunyai gen BRCA1 atau BRCA2 yang abnormal akan memilih untuk melakukan pembedahan ini.
Walau bagaimanapun, situasi setiap wanita adalah unik. Bukan semua wanita sesuai untuk melakukan pembedahan ini. Malah, pembedahan ini juga tidak dapat menyingkirkan risiko barah payudara secara 100%.
Kesimpulan
Kepada wanita yang menghidap penyakit keturunan, ini bukanlah pengakhiran untuk anda. Ada banyak langkah yang anda boleh lakukan untuk mencegah dan menurunkan risiko kanser.
Jika ibu atau ahli keluarga terdekat anda menghidap kanser, itu tidak bermaksud anda akan mengalaminya juga pada masa akan datang.
Kerisauan anda merupakan sesuatu yang rasional. Anda boleh berjumpa doktor dan berbincang mengenai perkara ini. Lakukan ujian saringan dan ujian kendiri seawal dan sekerap mungkin.