backup og meta

Berapa Usia Yang Sesuai Untuk Lakukan Pemeriksaan Mamogram?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/04/2022

    Berapa Usia Yang Sesuai Untuk Lakukan Pemeriksaan Mamogram?

    Menjalani pemeriksaan mamogram dapat membantu mengesan jika wujud sebarang risiko kanser payudara. Tetapi pada usia berapakah sesuai untuk melakukan ujian ini?

    Bagi mengetahui lebih lanjut mengenainya, ayuh semak perkongsian artikel Hello Doktor ini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    Apakah itu pemeriksaan mamogram?

    Mamografi (mamogram) adalah pengimejan sinar-X pada payudara dengan menggunakan sinar-X bertenaga rendah. Ia alat pemeriksaan untuk memeriksa payudara bagi pengesanan awal dan diagnostik jika wujud risiko kanser payudara.

    Prosedur mamografi dapat membantu mengesan barah payudara lebih awal sehingga 3 tahun sebelum munculnya benjolan dalam pemeriksaan payudara sendiri. 

    Usia disarankan bagi melakukan pemeriksaan mamogram

    American Cancer Society (ACS) mengesyorkan untuk mula menjalani mamografi atau berjumpa doktor berkaitan barah payudara kepada wanita:

    • Berumur 40-44 tahun: Mempunyai pilihan untuk memulakan pemeriksaan barah payudara tahunan dengan mamogram jika mahu melakukannya
    • Berusia 45-54 tahun: Harus menjalani pemeriksaan mamogram setiap tahun
    • Berumur 55 tahun ke atas: Boleh menjalani pemeriksaan mamografi sekali setahun atau 2 tahun sekali

    Kebiasaannya, doktor tidak menyarankan pemeriksaan ini untuk wanita di bawah usia 40 tahun. Tetapi bagi wanita dengan mutasi yang dikenal pasti dalam gen barah payudara, perlu memulakan pemeriksaan seawal usia 25 tahun.

    pemeriksaan mamogram

    Waktu sesuai berhenti melakukan pemeriksaan

    Umumnya, tiada ketetapan khas untuk berhenti melakukan penyaringan ini. Doktor boleh membantu menentukan masa sesuai untuk tidak melakukan ujian ini bergantung kepada faktor risiko anda. 

    Namun menurut ACS, sewajarnya pemeriksaan diteruskan dengan syarat kesihatan keseluruhan seseorang individu itu baik dan dijangka akan dapat hidup untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi.

    Pun begitu, sebelum memulakan pemeriksaan mamogram, anda harus menyedari manfaat, batasan dan potensi bahaya yang dikaitkan dengan pemeriksaan ini.

    Saringan tambahan

    Tempoh seseorang untuk menjalani pemeriksaan mamogram boleh berubah jika mempunyai faktor risiko barah payudara. Atas sebab ini, penting untuk anda berbincang dengan doktor dan menentukan masa yang tepat untuk menjalani penyaringan.

    Antara faktor risiko tersebut adalah:

    • Berusia lebih 50 tahun
    • Mutasi genetik, seperti BRCA1 dan BRCA2
    • Sejarah peribadi barah payudara
    • Sejarah keluarga barah payudara
    • Mempunyai tisu payudara padat
    • Faktor peribadi seperti haid sebelum usia 12 tahun atau mula menopaus selepas usia 55 tahun
    • Pernah menjalani rawatan radiasi

    pemeriksaan mamogram

    Mamogram bantu kesan risiko kanser payudara

    Manfaat penyaringan ini adalah dapat membantu mengesan barah payudara lebih cepat, sekali gus memberikan hasil akhir yang lebih baik dan mengurangkan keperluan rawatan invasif seperti pembedahan.

    Menjalani mamografi juga dapat mengurangkan 25 hingga 35% risiko kematian akibat barah.

    Risiko menjalani pemeriksaan mamogram

    Oleh sebab sinar-X digunakan untuk menghasilkan gambar payudara, anda akan terdedah dengan sedikit jumlah radiasi semasa prosedur.

    Pendedahan ini amat rendah, bahkan manfaatnya adalah melebihi risiko pendedahan radiasi.

    Pun begitu, pendedahan radiasi semasa kehamilan boleh menyebabkan kecacatan kelahiran. Maka langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk meminimumkan pendedahan radiasi pada janin

    Beberapa ketidakselesaan mungkin dirasai kerana payudara akan ditekan pada plat sinar-X semasa prosedur. Tetapi pemampatan ini tidaklah berbahaya kepada buah dada anda.

    Doktor biasanya akan menasihatkan wanita hamil atau yang menyusu badan untuk melakukan kaedah pemeriksaan lain yang lebih selamat seperti imbasan ultrabunyi. 

    Baca juga:

    Selain itu, berdasarkan laporan National Cancer Institute (NCI), risiko lain mamogram adalah:

    • Positif palsu daripada pemeriksaan mamogram

    Hasil pemeriksaan yang menunjukkan wujudnya risiko kanser payudara boleh menyebabkan kegelisahan dan tekanan serta ujian lanjut yang tidak perlu.

    Ujian tambahan yang diperlukan untuk menyingkirkan barah juga tinggi kosnya dan memakan masa serta mengakibatkan ketidakselesaan fizikal.

    • Negatif palsu

    Dalam pemeriksaan barah, hasil negatif bermaksud keadaan normal. Hasil negatif palsu boleh berlaku apabila mamogram kelihatan normal walaupun mempunyai kanser.

    Secara keseluruhan, pemeriksaan mamogram terlepas hampir 20% barah payudara semasa pemeriksaan. Kesannya mengakibatkan kelewatan rawatan kanser.

    • Terlebih diagnosis dan rawatan untuk risiko kanser payudara

    Boleh terjadi sekiranya doktor tersalah mengenal pasti tumor jinak atau pertumbuhan lain sebagai barah dan merawatnya dengan agresif.

    Agak sukar untuk membezakan antara barah atau kes DCIS – dianggap sebagai tumor yang tidak invasif.

    pemeriksaan mamogram

    Berjumpa dengan doktor

    Menginjak usia 40 tahun, ia adalah idea yang baik untuk berunding dengan doktor bagi mendapatkan manfaat daripada pemeriksaan mamogram. 

    Walau bagaimanapun, individu wanita berumur 40-an tidak memerlukan kebenaran doktor untuk menjalani ujian penyaringan ini dan boleh mendapatkan janji temu sendiri.

    Namun, sebaiknya berbincanglah dengan doktor mengenai faedah dan risikonya terlebih dahulu.

    Perlunya pemeriksaan mamogram 

    Melakukan mamografi untuk mengesan risiko kanser payudara lebih awal adalah pilihan yang sebaiknya. 

    Kebanyakan garis panduan pemeriksaan mengesyorkan wanita berusia 40 tahun untuk mula menjalani ujian ini secara berkala. Manakala mereka yang berisiko tinggi mendapat barah payudara mungkin memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan