backup og meta

Kenapa Puting Payudara Sakit? Ini 9 Punca Utama Di Sebaliknya!

Kenapa Puting Payudara Sakit? Ini 9 Punca Utama Di Sebaliknya!

Tertanya-tanya mengapa puting payudara sakit? Nampak merisaukan, tetapi puting susu sakit mungkin berlaku disebabkan beberapa perkara.

Sebagai contoh, masalah hormon, alahan ataupun kehamilan boleh menyebabkan puting payudara sakit dan pedih.

Selalunya, masalah ini bukanlah sesuatu yang serius. Puting wanita merupakan kawasan yang sensitif dan mudah terluka. Kawasan sekitarnya yang lembut juga mudah mengalami inflamasi.

Oleh sebab itu, bukanlah sesuatu yang luar kebiasaan jika puting payudara sakit. Malah, wanita juga sering rasa sakit payudara ketika datang haid atau sedang menyusukan anak.

Selain itu, puting payudara juga boleh sakit jika wanita memakai baju dalam yang ketat dan tidak sesuai, lebih-lebih lagi ketika bersenam.

Namun, sakit pada kawasan puting juga boleh menjadi simptom penyakit yang lebih serius seperti kanser atau jangkitan.

Jadi bagaimana hendak tahu apakah punca sebenar puting susu sakit? Jom, baca kupasan kami di dalam artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kanser, anda boleh klik di sini.

9 sebab puting payudara sakit

puting payudara sakit

Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan puting susu sakit. Namun, kebanyakannya tidak serius. Tetapi, itu tidak bermakna ia tidak perlu dirawat oleh doktor.

Di bawah, kami senaraikan 9 punca utama rasa sakit pada kawasan puting:

1. Iritasi di sekitar puting

Tahukah anda, baju dalam yang anda pakai boleh menjadi penyebab puting susu sakit? Sebab itulah, pemilihan material yang sesuai amat penting sebelum membeli baju dalam.

Kadang-kadang, kain yang kasar boleh melukakan kawasan puting, lebih-lebih lagi jika anda memakai baju dalam tersebut ketika bersenam. 

Kalau boleh, belilah beberapa helai bra sukan yang direka khas untuk wanita aktif yang rajin bersukan.

2. Alahan dan dermatitis

Alahan boleh berlaku pada mana-mana bahagian kulit, termasuklah di sekitar puting.

Jika anda sering rasa gatal dan pedih di sekitar puting, mungkin sabun basuh baju atau pelembut fabrik yang anda gunakan merupakan dalang di sebaliknya.

Jika anda menghidap alahan, kawasan puting selalunya akan rasa gatal, kemerah-merahan dan berkuping.

Masalah alahan perlu diperiksa oleh doktor. Beliau mungkin akan memberikan ubat-ubatan tertentu seperti krim steroid atau antibiotik untuk merawat masalah anda.

3. Sedang datang haid

puting payudara sakit

Perempuan dan haid tidak dapat dipisahkan. Sebulan sekali, ‘sahabat baik’ kaum Hawa ini akan datang melawat membawa 1001 masalah.

Ketika ini, wanita bukan sahaja akan alami mood swing dan senggugut, ada juga di antara kita yang akan rasa sakit pada kawasan payudara!

Selalunya, payudara wanita akan mula rasa sakit 5 hingga 10 hari sebelum datang haid. Kesakitan ini juga boleh dirasai pada kedua-dua belah payudara.

Masalah ini merupakan sesuatu yang normal dalam kalangan wanita. 

Namun, jika anda rasa sakit yang berpanjangan dan tidak sembuh-sembuh, pastikan anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

4. Sakit puting disebabkan kehamilan

Kehamilan juga boleh membuatkan puting payudara sakit. Selalunya, pada waktu ini, payudara wanita akan membesar disebabkan perubahan hormon.

Jika anda sedang hamil, pastikan anda memakai baju dalam khas untuk ibu mengandung. 

Pada trimester terakhir, buah dada mungkin akan menjadi sakit dan mengalami kebocoran cecair kolostrum.

5. Sakit puting kerana menyusukan anak

Wanita yang sudah bergelar ibu pasti tahu betapa sakitnya kawasan puting ketika menyusukan anak.

Untuk ibu yang pertama kali menyusukan anak, kesakitan pada kawasan payudara boleh menjadi satu cabaran. 

Manakan tidak, puting susu sakit boleh membuatkan ibu hilang semangat untuk menyusukan anak.

Namun, jangan sesekali putus asa. Ibu baharu perlukan masa untuk membiasakan diri dengan teknik yang betul. 

Bersabarlah dan minta nasihat daripada rakan ataupun orang lain yang pernah menyusukan anak. Mana tahu, mereka mungkin dapat membantu!

6. Puting payudara sakit disebabkan mastitis

Mastitis merupakan inflamasi yang berlaku disebabkan jangkitan pada kawasan payudara. Selalunya, jangkitan ini akan berlaku kepada ibu yang sedang menyusukan anak.

Oleh sebab itu, wanita perlu lebih berhati-hati jika payudara menjadi sakit dan pedih. 

Walaupun mastitis merupakan satu kondisi yang lazim berlaku kepada ibu yang menyusu, ia perlu dipandang serius dan diperiksa oleh doktor.

7. Sista pada kawasan payudara

Jika anda mengesan sebarang ketulan pada kawasan payudara, anda mungkin mempunyai cyst atau sista.

Untuk mendiagnosis kondisi ini, doktor mungkin perlu melakukan mammogram, imbasan ultrasound atau aspiration, satu prosedur pengambilan cecair daripada sista tersebut.

Jika sista ini bukan kanser, anda mungkin tidak memerlukan rawatan.

8. Kesan sampingan ubat menyebabkan sakit puting

Ada beberapa jenis ubat yang boleh menyebabkan puting payudara sakit.

Sebagai contoh, ubat yang digunakan untuk merawat anemia, sakit mental, masalah urinari, tekanan darah tinggi dan hormon berpotensi untuk menyebabkan payudara sakit.

9. Sakit puting disebabkan kanser payudara

puting payudara sakit

Kanser payudara selalunya tidak akan menyebabkan kesakitan. Namun, untuk kanser payudara jenis inflamasi, wanita mungkin akan rasa sakit, tetapi simptom ini amat jarang berlaku.

Kanser payudara mungkin akan menyebabkan payudara menjadi:

  1. Merah.
  2. Bengkak.
  3. Sakit.

Jika anda mengalami simptom ini, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera. Kanser payudara juga boleh dirawat jika ia dikesan awal.

Walaupun kebanyakan kes puting payudara sakit bukanlah sesuatu yang serius, namun penting untuk anda bercakap dengan doktor jika mengalami kerisauan.

Wanita yang mempunyai ketulan dan sering alami sakit payudara yang berpanjangan perlu berjumpa doktor secepat mungkin.

Pastikan anda melakukan ujian yang sepatutnya untuk melihat sama ada anda mempunyai masalah kesihatan ataupun tidak.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Cancer Society. n.d. Breast Cancer Early Detection and Diagnosis. Accessed June 29, 2021. https://www.cancer.org/cancer/breast-cancer/screening-tests-and-early-detection.html.
  2. Beaumont. n.d. Breast Pain. Accessed June 29, 2021. https://www.beaumont.org/services/womens-services/breast-care-services/breast-pain.
  3. Johns Hopkins Medicine. n.d. Breast Pain: 10 Reasons Your Breasts May Hurt. Accessed June 29, 2021. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/breast-pain-10-reasons-your-breasts-may-hurt.
  4. Mayo Clinic. 2021. Breast pain. January 16. Accessed June 29, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/breast-pain/symptoms-causes/syc-20350423.
  5. Netdoctor. 2020. Why are my nipples sore? 9 reasons for sore nipples. August 14. Accessed June 29, 2021. https://www.netdoctor.co.uk/ask-the-expert/pains/a11032/the-tips-of-my-nipples-are-tender/.

Versi Terbaru

27/11/2023

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Periksa Buah Dada Anda Sekarang! Jika Besar Sebelah Ini Mungkin Tanda Awal Kanser Payudara

ALAMAK! Ada Bulu Tumbuh Di Puting Payudara, Normal Ke Atau Ini Tanda Penyakit?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/11/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan