backup og meta

ALAMAK! Ada Bulu Tumbuh Di Puting Payudara, Normal Ke Atau Ini Tanda Penyakit?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

    ALAMAK! Ada Bulu Tumbuh Di Puting Payudara, Normal Ke Atau Ini Tanda Penyakit?

    Semua wanita inginkan payudara yang anjal dan cantik, ia juga menjadi antara aset yang cukup penting! Tapi, bagaimana pula jika puting buah dada anda tiba-tiba berbulu? Pasti tidak keruan jadinya!

    Memiliki puting yang berbulu boleh menimbulkan seribu satu persoalan di minda. Normalkah kondisi ini? Atau, adakah ini tanda penyakit?

    Menurut Dr. Alyssa Dweck, Pakar Sakit Puan di New York, mempunyai bulu pada puting buah dada adalah normal!

    Tambahan itu, benjolan kecil di puting anda juga merupakan folikel rambut.

    Inilah sebabnya badan kita dipenuhi bulu secara semula jadi. Ada bulu yang tipis dan tidak begitu kelihatan, malah ada juga lebih tebal, panjang, atau kasar.

    Kadangkala, bulu boleh muncul di bahagian tubuh kita yang berlainan, seperti dagu atau- puting buah dada anda!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.

    Mana datangnya bulu pada puting buah dada?

    Kehadirannya masih menjadi tanda tanya. Sejujurnya, tiada siapa yang benar-benar tahu akan tujuan pertumbuhan bulu di bahagian tertentu pada tubuh manusia.

    Bulu badan manusia berkemungkinan tumbuh atas beberapa sebab, tetapi para saintis masih sedang mengenal pasti punca di sebalik kejadian tersebut.

    Ada juga teori mengatakan, bulu di sekitar puting anda tumbuh daripada ‘sisa’ pertumbuhan bulu yang diperlukan tubuh untuk bantu mengawal suhu badan.

    Tetapi, menurut Dr. Constance Chen, Pakar Bedah Plastik yang memegang jawatan sebagai Pembantu Profesor Klinikal di Weill Cornell Medical College dan Tulane University School of Medicine, bulu ini nampaknya hanya tumbuh semata-mata tanpa mempunyai tujuan tertentu.

    Puting berbulu pada wanita, apa puncanya?

    puting buah dada

    Terdapat beberapa sebab yang mungkin menyebabkan puting anda ditumbuhi bulu. Ia merangkumi:

    #1 Perubahan dan turun naik hormon

    Seperti kita sedia maklum, perubahan hormon pada wanita boleh memicu banyak gejala yang berbeza, salah satunya adalah perubahan pertumbuhan dan warna bulu puting.

    Beberapa perubahan hormon juga biasa berlaku semasa kehamilan dan menopaus.

    Pun begitu, perubahan hormon boleh berlaku ketika seseorang wanita berusia 20-an dan 30-an, yang boleh menyebabkan fizikal bulu puting berubah atau kelihatan lebih ketara!

    #2 Sindrom ovari polisistik

    Sindrom ovari polisistik (PCOS) berlaku dek kerana ketidakseimbangan hormon. PCOS juga adalah kondisi yang menjejaskan fungsi ovari.

    Antara simptom PCOS yang kerap berlaku adalah:

    • Kemandulan
    • Sista ovari
    • Haid yang tidak teratur
    • Pertumbuhan bulu berlebihan di tempat tertentu, seperti puting

    PCOS turut dipercayai telah mempengaruhi sekitar 1 daripada 5 wanita!

    #3 Penghasilan hormon lelaki (androgen) yang berlebihan

    Tidak mustahil juga untuk ketidakseimbangan hormon mengakibatkan puting buah dada wanita berbulu.

    Pengeluaran hormon lelaki berlebihan, termasuk testosteron, boleh memicu pertumbuhan bulu, manakala simptom lain pula merangkumi:

    • Kulit berminyak yang boleh memicu jerawat dan akne
    • Menstruasi haid berhenti
    • Peningkatan jisim otot rangka
    • Kebotakan corak lelaki, menyebabkan wanita kehilangan rambut

    #4 Sindrom Cushing

    Sindrom Cushing juga tergolong dalam kondisi yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon!

    Apabila sindrom ini berlaku, akan wujudnya lebihan kortisol di dalam badan.

    Dalam kes ini, seseorang pesakit mungkin bakal mengalami beberapa gejala seperti berikut:

    • Peningkatan pertumbuhan bulu
    • Tempoh haid yang tidak normal
    • Tekanan darah tinggi
    • Berwajah bulat dan kemerahan
    • Senang alami lebam
    • Stretch mark besar berwarna ungu
    • Libido rendah
    • Masalah kesuburan
    • Perubahan emosi
    • Kemurungan
    • Tahap glukosa darah tinggi
    • Kelemahan di bahagian lengan atas dan paha
    • Pengumpulan lemak di bahagian belakang leher dan bahu
    • Pengumpulan lemak di dada dan perut, manakala lengan dan kaki kekal langsing

    Sindrom Cushing sebenarnya agak jarang berlaku, dan puncanya sering kali dikaitkan dengan pengambilan ubat glukokortikosteroid, dan bukannya dihasilkan oleh hormon badan sendiri.

    #5 Ubat-ubatan

    puting buah dada

    Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu juga boleh menyebabkan pertumbuhan bulu yang abnormal.

    Ubat-ubatan, seperti testosteron, glukokortikosteroid, dan ubat imunoterapi lain boleh menyebabkan puting wanita berbulu.

    Pilihan-pilihan rawatan

    Terdapat beberapa kaedah yang boleh kalian cuba, seperti:

    1. Memotong bulu puting

    Memotong bulu puting mungkin sudah memadai untuk mengurangkan penampilan fizikalnya.

    Gunting kuku yang kecil amat sesuai untuk digunakan dan bulu boleh dipotong rapat dengan kulit.

    Peringatan! Pastikan untuk memotong dengan berhati-hati agar tidak mengundang kecederaan!

    Bulu di puting juga perlu dipotong secara berkala, kerana ia mungkin akan tumbuh dengan kadar yang cepat.

    2. Waxing

    Sugaring atau waxing adalah opsyen pembuangan bulu badan yang bagus, walaupun kedua-duanya mungkin agak menyakitkan.

    Salon adalah tempat terbaik untuk mendapatkan rawatan ini, kerana anda berisiko menyebabkan kerosakan pada kulit jika dilakukan sendiri.

    3. Pembuangan bulu laser

    Rawatan pembuangan bulu menggunakan laser juga menjadi antara pilihan popular!

    Ia bantu mengurangkan pertumbuhan, melambatkan atau mencegah pertumbuhan bulu untuk sementara waktu. Tetapi, kaedah ini juga boleh jadi menyakitkan!

    Rawatan laser adalah opsyen yang paling mahal kerana perlu dilakukan oleh pakar bedah plastik atau pakar dermatologi kosmetik.

    4. Rawatan hormon

    Sekiranya ketidakseimbangan hormon adalah pemicu puting berbulu, doktor boleh mempreskripsikan atau menyesuaikan terapi ubatan wanita untuk memulihkan keseimbangan hormon.

    Konklusi

    Bulu pada puting payudara bukan sekadar tidak sedap dipandang, malah boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang wanita.

    Namun, jangan terlalu risau ya! Bulu puting biasanya boleh dirawat dan diuruskan dengan mudah.

    Apa yang paling penting, ia bersifat normal dan bukanlah 1 kondisi perubatan yang perlu dirisaukan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan