backup og meta

Punca Kanser Paru-Paru: Individu Dengan Risiko Ini Harus Lebih Waspada!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/01/2022

    Punca Kanser Paru-Paru: Individu Dengan Risiko Ini Harus Lebih Waspada!

    Semua orang berisiko untuk menghidap kanser paru-paru. Jadi, penting untuk anda mengetahui punca kanser paru paru yang boleh menyebabkannya berlaku.

    Untuk pengetahuan anda semua, individu yang mempunyai faktor risiko yang lebih tinggi lebih berkemungkinan atau berisiko untuk menghidap kanser paru-paru.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Paru-Paru, sila dapatkannya di sini.

    Punca lazim kanser paru-paru

    Salah satu punca atau penyebab utama kanser paru-paru ialah merokok.

    Tetapi, ada banyak lagi faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu menghidap kanser paru-paru. Antaranya ialah seperti yang berikut:

    1.   Merokok

    Punca kanser paru paru

    Merokok merupakan punca nombor 1 kanser paru-paru.

    Hampir 80% kematian akibat kanser paru-paru adalah disebabkan oleh tabiat merokok pesakit.

    Tambahan pula, perokok lebih berisiko untuk menghidap kanser paru-paru sel kecil (small cell lung cancer – SCLC).

    Amat jarang untuk individu yang tidak merokok untuk menghidap SCLC.

    Apabila anda merokok, asap rokok yang dipenuhi karsinogen akan merosakkan sel yang melapisi paru-paru. 

    Pada awalnya, badan mungkin boleh membaiki kerosakan yang terjadi akibat tabiat merokok.

    Namun, lama kelamaan kerosakan tersebut mungkin akan menyebabkan sel badan menjadi abnormal lalu membentuk kanser.

    2.   Umur lanjut tingkat risiko kanser

    Umur yang bertambah merupakan salah satu faktor risiko kanser.

    Di Amerika Syarikat, kebanyakan pesakit didiagnosis dengan kanser paru-paru pada umur 70 tahun ke atas.

    Hanya 10% daripada jumlah kes didapati berlaku kepada individu yang lebih muda daripada 50 tahun.

    3.   Pendedahan kepada gas radon

    Gas radon merupakan sejenis gas radioaktif yang tidak mempunyai sebarang warna ataupun bau.

    Gas ini terhasil secara semula jadi di celah rekahan batu dan tanah.

    Di Amerika Syarikat, pendedahan terhadap gas radon berisiko untuk berlaku kepada 1 daripada 15 pemilik rumah.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, pemilik rumah boleh lakukan pemeriksaan menggunakan kit mudah yang boleh didapati dengan cepat.

    Di Malaysia, ramai yang tidak menyedari bahawa pendedahan terhadap gas radon mungkin boleh mengakibatkan kanser paru-paru.

    4.   Pendedahan kepada asap sekunder

    Punca kanser paru paru

    Asap sekunder ialah asap yang datang daripada pembakaran bahan yang mengandungi tembakau seperti rokok. 

    Rokok yang dihembus keluar daripada individu yang merokok juga dikategorikan sebagai asap sekunder.

    Kanser paru-paru boleh berlaku kepada individu yang terdedah kepada asap sekunder.

    Menurut American Cancer Association, pendedahan kepada asap sekunder menyebabkan hampir 7000 kematian setiap tahun.

    Individu yang terdedah kepada asap sekunder ataupun second-hand smoke juga dikenali sebagai perokok pasif.

    Mereka mempunyai risiko yang sama seperti individu yang merokok.

    5.   Pencemaran udara punca kanser paru paru

    Menurut kajian, gas nitrogen oksida yang dilepaskan oleh kenderaan boleh meningkatkan risiko menghidap kanser paru-paru sebanyak 33%.

    Pencemaran udara ini menghasilkan partikel kecil yang akan disedut masuk ke dalam paru-paru ketika bernafas.

    Selain kanser paru-paru, pencemaran udara juga meningkatkan risiko asma, sakit jantung dan boleh menganggu fungsi serta mencetuskan masalah kesihatan pada organ paru-paru.

    6.   Pendedahan terhadap bahan kimia

    Pendedahan terhadap bahan kimia merupakan satu lagi penyebab kanser paru-paru.

    Pendedahan terhadap bahan kimia beracun seperti asbestos, uranium, arsenic, cadmium, kromium, nikel dan beberapa jenis bahan yang berasaskan petroleum boleh membawa mudarat kepada organ paru-paru.

    Jika anda terdedah dengan bahan kimia ketika berkerja, pemakaian personal protective equipment atau PPE boleh mengurangkan pendedahan terhadap bahan kimia tersebut. 

    Anda juga boleh merujuk kepada MSDS (Material Safety Data Sheets) untuk mengetahui risiko atau bahaya bahan tersebut terhadap kesihatan anda.

    7.   Terdedah kepada radiasi punca kanser paru paru

    Pesakit yang pernah mendapat rawatan terapi radiasi untuk merawat kanser berisiko untuk menghidap kanser paru-paru.

    Risiko ini bertambah jika pesakit tersebut menerima terapi radiasi ketika umur masih muda.

    Risiko ini juga adalah berbeza mengikut dos radiasi yang pesakit terima sebelum ini.

    8.   Penyakit paru-paru

    Chronic obstructive pulmonary disease (COPD) adalah satu lagi penyakit yang disebabkan oleh tabiat merokok.

    Penyakit ini boleh menjadi punca kanser paru paru kerana pesakit yang menghidap COPD mempunyai risiko sebanyak 5 kali ganda untuk mendapat kanser paru-paru.

    9.   Keadaan kesihatan tertentu

    Pesakit yang mempunyai penyakit limfoma berisiko untuk menghidap kanser paru-paru sebagai kesan sampingan rawatan yang pesakit hadapi.

    Rawatan kemoterapi dan radio terapi untuk merawat limfoma didapati dapat menyebabkan pesakit menghidap kanser paru-paru sebagai kesan sampingan.

    Selain itu, pesakit yang pernah melakukan pemindahan organ juga mempunyai risiko yang lebih besar untuk menghidap kanser paru-paru.

    10.  Jangkitan

    Jangkitan tertentu juga boleh menyebabkan seseorang itu menghidap kanser.

    Sebagai contoh, wanita yang pernah dijangkiti human papilloma virus (HPV) lebih berisiko untuk menghidap kanser serviks.

    Jangkitan bertanggungjawab dalam hampir 15% ke 20% kes kanser di seluruh dunia.

    Selain itu, individu yang mengalami jangkitan juga lebih berisiko untuk menghidap kanser.

    Sebagai contoh:

    1. Beberapa jenis virus boleh mempengaruhi gen di dalam sel. Virus ini boleh memasukkan gen mereka ke dalam sel lalu memprogramkan sel tersebut untuk membesar dan merebak tanpa kawalan.
    2. Ada beberapa jenis jangkitan yang boleh meninggalkan inflamasi yang berlarutan pada badan pesakit. Ini boleh menyebabkan sel yang terkesan berubah lalu menjadi kanser.
    3. Beberapa jenis jangkitan boleh menyebabkan sistem imun individu menjadi lemah. Apabila sel imun menjadi lemah, badan pesakit sukar untuk melawan kanser daripada terus merebak.

    Baca juga:

    • Rawatan Kanser Paru-Paru, Ini Pembedahan & Ubatan Yang Perlu Pesakit Kanser Tahu
    • Jenis Dan Tahap Kanser Paru-Paru, Ia Penting Untuk Tahu Di Mana Kanser Bermula

     Genetik punca kanser paru paru

    Genetik juga memainkan peranan yang penting untuk kanser paru-paru.

    Ada individu yang mewarisi gen penyakit ini daripada ibu ataupun bapanya.

    Walau bagaimanapun, kanser paru-paru jarang diwariskan secara genetik.

    Namun, masih ada sebilangan kecil yang mampu menyebabkan kanser paru-paru.

    Individu yang mewarisi sejenis kromosom yang dikenali sebagai kromosom 6 amat berisiko untuk menghidap kanser paru-paru.

    Individu tersebut boleh mendapat penyakit ini walaupun tidak pernah merokok sepanjang hayat mereka.

    Buat masa ini, para penyelidik masih lagi berusaha untuk mencipta kaedah yang terbaik bagi mengenal pasti individu yang mempunyai perubahan dari segi genetik.

    Walau bagaimanapun, ujian tersebut belum digunakan secara meluas.

    Masalah kardiovaskular

    Masalah kardiovaskular didapati menjadi salah satu punca kanser paru paru.

    Individu yang mempunyai masalah kardiovaskular didapati lebih berisiko untuk menghidap kanser paru-paru, lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan inhibitor ACE untuk merawat tekanan darah tinggi.

    Pesakit yang telah menggunakan ubat ini lebih daripada 10 tahun didapati mempunyai risiko sebanyak 14% lebih daripada orang lain. 

    Faktor gaya hidup punca kanser paru paru

    Selain punca kanser paru paru di atas, faktor gaya hidup turut memainkan peranan yang tersendiri.

    Individu yang tidak menjaga pemakanan dan gemar mengambil minuman keras, didapati lebih berisiko untuk menghidap kanser paru-paru.

    Punca 1: Pemakanan

    Individu yang mengamalkan diet yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi lebih berisiko untuk menghidap kanser paru-paru.

    Indeks glisemik merupakan satu kadar ukuran betapa cepatnya makanan yang dimakan boleh meningkatkan tahap glukosa dalam darah

    Makanan yang mempunyai indeks glisemik yang rendah menyebabkan tahap glukosa naik secara perlahan-lahan.

    Makanan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi pula akan menyebabkan tahap gula naik dengan pantas.

    Walau bagaimanapun, pakar masih lagi belum menjumpai punca sebenar yang mengaitkan antara indeks glisemik dan juga kanser paru-paru.

    Pesakit yang mempunyai barah paru-paru dinasihatkan untuk elakkan makanan yang diproses dan juga mempunyai kandungan gula yang tinggi.  

    Punca 2: Pengambilan alkohol

    Punca kanser paru paru

    Alkohol merupakan salah satu punca kanser paru paru yang boleh diubah selain merokok dan juga obesiti.

    Tabiat pengambilan minuman beralkohol merupakan punca kanser paru paru, mulut, tekak, peti suara, esofagus, hati, kolon dan payudara.

    Hampir 6% kanser di seluruh dunia adalah disebabkan oleh pengambilan alkohol.

    Semakin banyak alkohol yang diminum, semakin bertambah risiko untuk menghidap kanser.

    Alkohol merupakan sejenis karsinogen yang sama seperti tembakau.

    Malah, boleh juga menyebabkan ketagihan seperti mana merokok. 

    Individu yang ketagih minum arak bukan sahaja mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser, mereka juga lebih berisiko untuk menghidap hepatitis dan cirrhosis pada bahagian hati.

    Minuman ini juga boleh merosakkan organ seperti pankreas dan otak, serta meningkatkan tekanan darah.

    Tabiat pengambilan minuman keras juga boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok. 

    #OpenYourMind #CelikKanser

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan