Bagi individu berisiko tinggi untuk mengalami barah ovari mahupun payudara, pembedahan ooforektomi bilateral profilaksis mungkin pilihan yang boleh dipertimbangkan.
Pun begitu, masih terdapat beberapa risiko yang perlu diketahui sebelum memilih untuk melakukannya.
Apa itu ooforektomi?
Dalam prosedur yang turut dikenali sebagai ooforektomi pencegahan ini, pakar bedah akan membuang kedua-dua ovari, organ berbentuk seakan badam pada setiap sisi rahim anda.
Ovari mengandungi telur dan turut berfungsi untuk mengeluarkan hormon yang mengawal kitaran pembiakan.
Jika anda masih belum mengalami menopaus, membuang ovari akan mengurangkan jumlah hormon estrogen dan progesteron yang mengelilingi tubuh.
Bukan sekadar mengurangkan risiko barah ovari, prosedur pembedahan ini juga dapat menghentikan atau melambatkan kanser payudara.
Keadaan ini terjadi kerana ia memerlukan hormon yang dihasilkan ovari untuk berkembang.
Bagi individu wanita dengan mutasi gen BRCA, biasanya turut akan membuang tiub fallopio pada masa sama ovari dikeluarkan.
Ini kerana mereka berdepan risiko peningkatan untuk terkena kanser tiub fallopio.
Ooforektomi pencegahan ini juga boleh menjadi prosedur pembedahan untuk individu dengan sindrom Lynch, dikenali sebagai barah kolorektal nonpoliposis keturunan (hereditary nonpolyposis colorectal cancer).
Prosedur tersebut akan membuang rahim (histerektomi) kerana mereka berdepan risiko untuk mengalami kanser endometrium.
Bukan untuk individu dengan risiko barah ovari sahaja
Siapa yang boleh menjalani prosedur pembedahan ini? Adakah hanya individu dengan risiko barah ovari sahaja?
Prosedur ooforektomi pencegahan ini sesuai untuk dilakukan ke atas mereka yang mempunyai:
1. Mutasi gen yang diwarisi
Individu yang mempunyai risiko peningkatan kanser secara signifikan disebabkan oleh mutasi yang diwarisi dalam gen BRCA1 atau BRCA2.
Ia adalah 2 genetik dikaitkan dengan barah ovari, payudara dan kanser lain, yang boleh mempertimbangkan pembedahan ini.
Mereka dengan mutasi gen diwarisi lain yang turut cenderung berdepan risiko kanser ovari, seperti individu menderita sindrom Lynch juga boleh mempertimbangkan prosedur ini.
2. Sejarah keluarga yang kuat
Ooforektomi pencegahan ini juga boleh disyorkan kepada mereka dengan sejarah keluarga yang kuat terhadap kanser payudara dan ovari tetapi tiada perubahan genetik diketahui.
Kaedah ini juga mungkin disarankan jika anda berkemungkinan mempunyai mutasi genetik berdasarkan sejarah keluarga.
Pengurangan risiko barah ovari & payudara
Berdasarkan kajian yang dijalankan, sekiranya anda mempunyai mutasi BRCA, ooforektomi pencegahan dapat mengurangkan:
- Risiko kanser payudara sehingga 50% pada wanita perimenopause
- Barah ovari sebanyak 80 hingga 90%
Secara umumnya, risiko individu untuk terkena kanser adalah berbeza-beza bergantung kepada banyak faktor.
Ini termasuklah faktor usia, sejarah keluarga, amalan gaya hidup dan strategi lain yang diamalkan untuk mengurangkan risiko barah.
Untuk sesetengah individu, ooforektomi boleh menyebabkan pengurangan risiko yang besar.
Manakala bagi individu lain pula, risiko pembedahan dan kemungkinan kesan sampingan mungkin tidak berbaloi untuk menjalani prosedur ini.
Memahami risiko yang wujud
Umumnya, prosedur ooforektomi adalah selamat dan hanya mewujudkan risiko komplikasi kecil.
Antaranya seperti jangkitan, penyumbatan usus dan kecederaan pada organ dalaman.
Risiko komplikasi adalah bergantung kepada bagaimana prosedur dilakukan.
Walau bagaimanapun, apa yang lebih membimbangkan adalah kesan kehilangan hormon yang dihasilkan oleh ovari anda.
Seandainya anda belum melalui fasa menopaus, ooforektomi akan mengakibatkan risiko menopaus awal.
Keadaan itu boleh membawa kepada komplikasi lain seperti:
#Penipisan tulang (osteoporosis)
Membuang ovari akan mengurangkan jumlah estrogen membina tulang yang dihasilkan oleh tubuh.
Situasi itu boleh meningkatkan risiko patah tulang.
#Ketidakselesaan menopaus
Sensasi hangat, kekeringan faraj, masalah seksual, gangguan tidur dan perubahan kognitif boleh berlaku semasa menopaus.
Membuang ovari tidak bermakna kesan komplikasi akan berlaku segera, tetapi sebarang gejala menopaus mungkin akan terjadi lebih awal dan cenderung mengurangkan kualiti hidup.
Keadaan tersebut adalah jika dibandingkan dengan proses menopaus secara semula jadi.
#Meningkatkan risiko penyakit jantung
Risiko penyakit jantung mungkin meningkat sekiranya ovari dibuang.
#Risiko barah
Prosedur ooforektomi profilaksis tidak sepenuhnya menghilangkan risiko untuk mendapat barah ovari atau payudara.
Sejenis kanser yang kelihatan dan bertindak balas seperti kanser ovari boleh berkembang walaupun setelah organ pembiakan tersebut bersama tiub fallopio dibuang.
Risiko kanser ini dikenali sebagai barah peritoneal primer.
Pembedahan ini mungkin dapat meredakan kerisauan anda tentang penyakit barah, tetapi dalam masa yang sama ia boleh memberi kesan kepada emosi anda.
Walaupun tidak merancang untuk memiliki anak, anda mungkin akan meratapi kesedihan kesan kehilangan kesuburan.
Berunding dengan pakar
Bagi menentukan sama ada ooferektomi bileteral profilaksis sesuai untuk mencegah barah ovari anda atau tidak – mahupun ia masa sesuai untuk melakukannya – ini bergantung kepada risiko kanser itu secara individu.
Selain itu, kesungguhan anda untuk mencegah kanser juga turut memainkan peranan penting.
Walau apa pun, cara terbaik sebelum membuat sebarang keputusan adalah untuk mendapatkan rundingan dan nasihat pakar.