Berada dalam keadaan berbaring boleh menyebabkan asid di dalam perut naik semula ke kerongkong (esofagus) dan menyebabkan pedih ulu hati.
Untuk mengelakkan ini berlaku, jangan ambil sebarang hidangan berat pada waktu larut malam.
Anda juga boleh mencuba untuk tidak berbaring sehingga makanan dapat dicerna sepenuhnya. Proses pencernaan ini biasanya mengambil masa sekitar 3 jam.
Dengan menjaga sistem pencernaan pada waktu tidur, pasti keesokan harinya anda akan dapat bangun tidur lebih mudah dan segar. Paling penting tiada lagi sensasi terbakar pada bahagian dada.

Selain elak daripada makan 3 jam sebelum waktu tidur, pengambilan makanan tertentu juga boleh memberi kesan kepada sistem pencernaan badan.
Makanan yang bergoreng, berlemak, pedas, makanan berasid (masam) atau hidangan berempah boleh mencetuskan episod pedih ulu hati dan senak perut.
Ini terutamanya jika ia adalah makanan terakhir yang anda makan sebelum tidur.
Selain itu, elakkan juga mengambil makanan yang cenderung mencetuskan asid refluks seperti kopi, coklat, bawang putih, dan pudina.
Cuba hadkan pengambilan makanan di atas dan perhatikan perbezaannya kepada anda.
- Ubah diet pemakanan dan amalkan gaya hidup sihat
Apabila seseorang individu itu mengalami masalah berat badan berlebihan, injap di bahagian bawah kerongkong (esofagus) mungkin tidak berfungsi dengan baik, terutamanya selepas pengambilan makanan berat.
Sekiranya anda dalam kategori berlebihan berat badan dan kerap mengalami sensasi terbakar pada bahagian dada atau gangguan pencernaan, disarankan agar anda melakukan perubahan berkaitan diet pemakanan harian.
Selain itu, aktiviti kecergasan fizikal yang dilakukan secara berkala juga dapat membantu mengurangkan tekanan pada sistem pencernaan.
Cara anda makan juga penting dalam meningkatkan fungsi pencernaan. Ini terutamanya jika ia adalah hidangan makanan terakhir anda pada waktu malam.
Makan secara perlahan-lahan dan luangkan masa yang cukup untuk mengunyah dengan betul. Kurangkan bercakap ketika mulut penuh dengan makanan.
Ini kerana menelan udara dengan makanan boleh menyebabkan masalah perut kembung.
Individu yang kerap mengalami rasa sensasi terbakar pada bahagian dada disarankan untuk mengikut waktu tidur biasa.
Posisi semasa tidur juga perlulah bersesuaian. Posisi paling baik adalah kepala harus ditinggikan beberapa inci daripada aras badan untuk mengelakkan terjadinya asid refluks.
Sekiranya anda benar-benar menghadapi masalah, doktor mungkin akan mencadangkan pengambilan ubat untuk merawat masalah pedih ulu hati dan pencernaan.

Antara yang disarankan adalah seperti:
- Perencat pam proton (proton pump inhibitor) – ubat untuk menyekat pengeluaran asid dan menyembuhkan esofagus – perkara pertama yang perlu diambil pada waktu pagi, lebih kurang 30 minit sebelum sarapan
- Antasid OTC yang dapat memberikan kelegaan cepat dengan meneutralkan asid perut
- Penyekat reseptor H2 (H2 receptor blockers) – ubat untuk mengurangkan pengeluaran asid
Pemeriksaan doktor
Masalah pedih ulu hati atau asid refluks pada waktu pagi boleh dicegah dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat.
Sekiranya simptom anda tidak berkurangan, bertambah buruk atau mungkin mempunyai sebarang keraguan, sebaiknya lakukan pemeriksaan dengan doktor secepat mungkin.