Analisis kajian
Berdasarkan penulisan kertas penyelidikan yang diketuai oleh Dr Kate O’Brien, “Dalam analisis data terkumpul kumpulan responden wanita di Amerika Syarikat, menunjukkan tiada perkaitan secara langsung dalam statistik antara penggunaan bedak pada bahagian kelamin akan mengakibatkan kanser ovari.
Para saintis mengakui bahawa kajian yang dilaksanakan itu tidak cukup besar untuk mengesan perubahan kecil dalam risiko untuk mendapat kanser, tetapi ia merupakan satu kajian yang terbesar yang pernah dilakukan setakat ini.
Apa kata pakar?
Bagi pakar kanser di Imperial College London, Profesor Justin Stebbing, yang tidak terlibat dengan kajian tersebut berkata, “Penyelidikan teliti yang dilakukan ini dengan mengumpul data analisis dalam empat kajian melibatkan lebih 250,000 wanita, membuktikan bahawa bedak talkum tidak akan menyebabkan kanser.
“Jumlah kes ovari yang dilaporkan dalam kumpulan pengguna bedak adalah tidak banyak. Berdasarkan tempoh kajian dan kekerapan penggunaan bedak yang dikaji, ia menunjukkan walaupun bedak talkum mengandungi karsinogen, tetapi penggunaannya tidak menyebabkan kanser ovari.
Menurut seorang pakar statistik di Open University, Profesor Kevin McConway, yang juga tidak terlibat dalam kajian ini, “Satu perkara yang dapat ditunjukkan dengan jelas dalam penyelidikan ini adalah ia membuktikan betapa sukarnya untuk mengaitkan sesuatu perkara seperti bedak talkum adalah salah satu faktor risiko kepada kanser.
Ujar beliau lagi, walaupun kajian ini dilakukan dengan baik, cekap dan berhati-hati dengan melibatkan lebih daripada seperempat individu wanita, namun ia masih meninggalkan ruang untuk menimbulkan keraguan dengan perkaitan antara bedak dan kanser ovari.
Walau bagaimanapun, hubung kait antara kanser ovari dan talkum adalah terlalu kecil untuk dipertimbangkan apabila penyelidikan yang lebih besar telah dilakukan. Oleh itu, penggunaannya tidak akan menyebabkan kanser ovari.
“Apa yang boleh saya katakan daripada penyelidikan ini adalah, jika menggunakan talkum atau sebarang bedak pada bahagian sulit wanita benar-benar meningkatkan risiko kanser ovari, ia hanyalah satu peningkatan risiko terlalu kecil dan tidak signifikan.” tambah Kevin.
Beliau turut menambah, sekiranya beliau adalah seorang individu wanita, penggunaan bedak talkum tidak menjadi antara kebimbangan yang perlu difikirkan.
Fakta mengenai talkum
Bedak talkum diperbuat daripada talkum tanah halus, yang merupakan mineral yang terhasil di bawah tanah sebagai batu seperti tanah liat. Talkum selalunya dilombong di tempat yang sama seperti asbestos, iaitu mineral yang secara umumnya menjadi antara punca penyebab penyakit paru-paru.
Apa yang membezakan antara talkum dan asbestos adalah, talkum digunakan pada kulit. Ini kerana ia mempunyai sifat kelembutan dan memainkan peranan dalam menyerap kelembapan. Manakala asbestos pula digunakan sebagai penebat.
Asbestos merupakan satu sebatian yang terdiri daripada enam mineral yang terbentuk sebagai gentian kristal kecil. Mineral-mineral tersebut secara umumnya tidak menyebabkan bahaya jika ia adalah secara sendiri, namun kombinasi mineral ini menjadi antara penyebab kanser yang harus diberikan perhatian.
Kesimpulan
Apa yang boleh disimpulkan adalah penggunaan bedak talkum secara umumnya bukanlah satu penyebab kepada peningkatan risiko kanser ovari. Namun ia adalah terpulang kepada pertimbangan anda, sama ada anda ingin menggunakannya atau jika masih berasa was-was, anda boleh mencari alternatif lain.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.