Karsinoma sel skuamos kebiasaannya berlaku pada bahagian badan yang sering terdedah kepada sinaran ultraungu matahari.
Walau bagaimanapun, terdapat juga kes di mana ketumbuhan karsinoma sel skuamos berlaku pada kawasan yang terlindung daripada sinaran ultraungu seperti kemaluan dan di dalam mulut.
Oleh sebab ia mempunyai pelbagai jenis manifestasi fizikal, jenis kanser ini dianggap bahaya dan boleh menyebabkan komplikasi teruk.
Antara karakter bagi kanser jenis ini adalah:
- Bersisik dan kelihatan seperti tompokan merah yang berdarah.
- Luka terbuka yang berdarah, berkerak dan tidak sembuh.
- Ketumbuhan dengan lekukan di bahagian tengah (berdarah dan sakit apabila disentuh).
- Ketumbuhan yang menyerupai ketuat, namun ia berdarah dan berkerak.
Tanda kanser kulit karsinoma sel skuamos boleh menyebabkan kegatalan yang amat.
Jika digaru, ia boleh menyebabkan iritasi dan radang pada kawasan kulit. Sekiranya kawasan yang digaru tersebut luka, ia boleh menyebabkan masalah jangkitan.
Tanpa rawatan, jenis kanser ini boleh membesar dan tersebar ke organ lain.
#3 Karsinoma sel basal, mudah untuk dirawat
Konsep bagi jenis kanser kulit ini menyerupai karsinoma sel skuamos. Bezanya, ia berlaku pada lapisan kulit yang mempunyai sejenis sel kulit yang dipanggil sel basal.
Sel ini terletak di bawah lapisan epidermis yang merupakan lapisan luar kulit.
Mereka yang mengalami masalah kulit ini boleh menunjukkan rupa keadaan kulit yang berbeza. Antaranya adalah:
- Luka yang tidak sembuh selepas 7 hingga 10 hari
- Tompokan merah yang gatal, sakit, berkerak atau mudah berdarah
- Bengkak kulit yang kelihatan pink, merah atau putih (bergantung kepada tona kulit anda). Jika anda mempunyai tona kulit gelap, ia boleh berwarna hitam atau coklat
- Ketumbuhan pink dengan sempadan yang jelas serta lekukan di tengah-tengah
Berbeza dengan karsinoma sel skuamos, jenis kanser kulit ini mempunyai kadar pertumbuhan yang perlahan dan ia mudah dirawat.
Kebarangkaliannya untuk tersebar ke organ lain sangat rendah.
#4 Melanoma, jenis kanser kulit paling serius

Walaupun melanoma bukanlah jenis kanser kulit yang paling lazim didiagnosis, tapi ia adalah yang paling serius.
Kebiasaannya, mereka yang menghidapnya akan mempunyai jeragat atau tahi lalat pada kawasan kaki, dada, belakang kepala atau leher.
Terdapat beberapa aspek yang perlu anda pantau untuk mengetahui sama ada jeragat atau tahi lalat anda adalah melanoma atau tidak.
Antaranya:
- Asimetri: Kebanyakan tahi lalat yang bersifat kanser tidak simetri. Ini bermakna, saiz atau rupa bagi kedua-dua belah tahi lalat (jika anda membahagikannya kepada dua) kelihatan tidak serupa
- Sempadan: Sempadan bagi jeragat atau tahi lalat yang sihat kebiasaannya rata manakala bagi kanser pula, ia boleh rasa kasar atau sempadannya naik menyebabkan permukaan tidak rata
- Perubahan warna: Warna tahi lalat atau jeragat tidak sama dengan yang sihat. Perubahan ini boleh berlaku akibat proses patologi kanser
- Diameter: Bagi tahi lalat atau jeragat yang berukuran 6 milimeter atau lebih, ia mungkin bersifat kanser
Konklusi
Jika anda mempunyai tahi lalat atau jeragat yang kelihatan pelik atau anda mengesyakinya sebagai kanser, rujuk doktor perubatan bertauliah untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
Kebanyakan individu tidak begitu peka dengan perubahan kulit mereka, namun inilah masanya untuk anda memberi perhatian kepada sebarang perubahan yang berlaku.
Jika dibiarkan tanpa rawatan, kelak ia boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam kesihatan.