backup og meta

Jangan Basuh Muka Dengan Air Suam, Tabiat Ini Hanya Rosakkan Kulit Wajah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 02/11/2022

    Jangan Basuh Muka Dengan Air Suam, Tabiat Ini Hanya Rosakkan Kulit Wajah!

    Eh, kenapa kulit muka aku ni nampak kusam dan tak bermaya? Dah banyak tips penjagaan muka dibaca, tapi muka masih belum glowing!

    Pasti ramai yang memulakan hari dengan monolog sebegini. Setelah dibelek-belek wajah, ada sahaja benda yang nampak tak kena di mata kita.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Kulit di sini.

    Kulit wajah kering, pigmentasi, warna kulit tidak sekata, tompok-tompok hitam atau jerawat merupakan antara masalah yang lazim menghantui kebanyakan kita.

    Isu yang berkaitan dengan kulit wajah selalunya berkait rapat dengan tahap keyakinan diri seseorang.

    Malah, kajian yang dijalankan oleh sebuah produk kecantikan terkenal terhadap hampir 2,000 wanita di United Kingdom mendapati, kira-kira 51% wanita merasakan masalah kulit membuatkan mereka teragak-agak untuk menikmati hidup dengan sepenuhnya.

    Lebih teruk lagi, hampir 13% responden mengakui masalah kulit membuatkan mereka rasa terasing dan tidak mampu untuk bersosial.  

    Tahukah anda, ada banyak perkara yang boleh mempengaruhi kesihatan wajah?

    Bukan sekadar produk yang dipakai, kadangkala rambut yang sering melitupi wajah juga boleh menjadi penyebab jerawat!

    Ambil tahu bahan di dalam produk kecantikan

    tips penjagaan muka

    Kebelakangan ini, ramai yang sudah mula ambil tahu tentang kandungan bahan di dalam produk kecantikan yang digunakan.

    Sejajar dengan peredaran masa dan teknologi, rakyat Malaysia kini lebih cakna dalam pemilihan produk kecantikan dan alat solek. Manakan tidak, informasi kini semuanya di hujung jari!

    Setiap hari, wanita menggunakan pelbagai produk yang mengandungi lebih daripada 150 bahan. Bahan-bahan ini diformulasi untuk menembusi kulit wajah supaya ia lebih berkesan dan perubahannya dapat dilihat sendiri oleh pengguna.

    Walau bagaimanapun, perkara ini boleh berubah menjadi sesuatu yang buruk jika bahan seperti paraben, atau wangian seperti musk xylene tertinggal dan terus kekal di dalam badan disebabkan sifatnya yang sukar melerai.

    Tetapi, adakah bahan-bahan ini akan menyebabkan perubahan dari segi biologikal? Hanya masa sahaja yang dapat menentukan.

    Paraben hingga kini belum lagi terbukti mempunyai sebarang kesan sampingan yang buruk terhadap badan. 

    Tetapi, disebabkan ketidakpastian ini, ramai yang mengelakkan penggunaan produk yang mempunyai paraben. Lebih-lebih lagi apabila bahan ini dikaitkan dengan kanser payudara.

    Selain itu, cuba elakkan penggunaan pencuci muka atau toner yang mempunyai alkohol. Jika wajah anda sering rasa ketat dan kering, alkohol mungkin punca di sebalik kerosakan kulit yang anda alami.

    Semakin tinggi kandungan alkohol, semakin teruklah kesannya pada wajah. Ingatlah, penggunaan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan pori wajah jadi semakin besar dan kulit semakin berminyak.

    Faktor luaran juga boleh menjadi punca!

    tips penjagaan muka

    Pasti anda pernah dengar pepatah beauty comes from within. Oleh sebab itu, ramai yang menjaga pemakanan dan mengambil suplemen untuk tujuan kecantikan serta menggunakan tips penjagaan muka seperti ini. 

    Tetapi, mungkin ramai tak tahu faktor luaran seperti asap dan sinaran UV juga boleh menyebabkan kulit menjadi teruk!

    Salah satu tips penjagaan muka untuk kekal glowing adalah dengan mengamalkan pemakaian sunscreen!

    Setiap kali anda keluar rumah tanpa menggunakan sebarang pelindung matahari, sinaran UV akan bertindak merosakkan kulit anda.

    Dalam jangka masa panjang, sinaran ini akan membuatkan kulit menjadi berkedut, muncul titik penuaan dan warna kulit jadi tidak sekata.

    Selain itu, kulit yang terdedah kepada nitrogen dioksida, hidrokarbon dan ozon yang terkandung di dalam pencemaran udara akan menyebabkan kulit mengalami kerosakan oksidatif yang meningkatkan inflamasi.

    Bukan itu sahaja, faktor lain seperti stres dan kaitannya dengan hormon manusia juga memainkan peranan penting dalam kesihatan kulit.

    Hati-hati guna produk rambut

    Cuba perhatikan sama ada produk rambut kegemaran anda mempunyai satu bahan yang dikenali dengan nama propylene glycol.

    Bahan ini boleh menyebabkan kulit kepala, dahi dan leher menjadi kering dan mengalami iritasi. Malah, propylene glycol juga boleh membuatkan kulit jadi berkuping.

    Selain itu, jika anda kerap mengalami jerawat di sekitar kawasan gigi rambut, dahi atau pipi, mungkin bahan yang terdapat di dalam produk rambut anda merupakan dalangnya. 

    Apabila produk rambut mempunyai minyak sebagai salah satu bahan utama, minyak ini boleh melekat pada kulit dan menyebabkan pori tersumbat.

    Seperti yang ramai sudah tahu, pori yang tersumbat akhirnya akan menyebabkan jerawat.

    Sebenarnya, masalah kulit wajah atau breakout yang berpunca daripada produk rambut bukanlah sesuatu yang asing. 

    Malah, ada terma medical untuk kondisi ini iaitu acne cosmetic, yang bermaksud jerawat yang disebabkan oleh produk kosmetik yang diaplikasikan pada rambut atau kulit.

    Basuh kulit wajah guna air panas, bagus ke?

    tips penjagaan muka

    Berbeza daripada apa yang kita sangkakan bagus untuk kesihatan kulit, basuh muka menggunakan air panas sebenarnya mempunyai lebih banyak keburukan daripada kebaikan, malah ini adalah tips penjagaan muka yang salah. 

    Air yang panas akan menanggalkan sebum, sejenis minyak sihat untuk kulit. Kesannya, kulit akan jadi semakin kering dan nampak kusam jika cuci wajah guna air panas.

    Oleh sebab itu, mereka yang mengalami ekzema atau psoriasis tidak digalakkan untuk membasuh muka dengan air panas. 

    Sama jugalah dengan mereka yang mempunyai jerawat. Air panas hanya akan membuatkan jerawat jadi semakin teruk.

    Tips penjagaan muka – Jaga kulit wajah dengan sebaiknya

    Kulit wajah amat sensitif dan perlu dijaga dengan rapi. Jangan diamkan diri jika anda mengalami masalah kulit yang serius.

    Berjumpalah dengan doktor secepat mungkin untuk mendapatkan sesi konsultasi. Belajar mengenai kondisi kulit akan membuatkan anda rasa lebih yakin dari segi fizikal dan juga emosional.

    Jangan semberono ikuti tips penjagaan muka cantik dan glowing di online. Buat kajian terlebih dahulu ya sebelum melakukan apa-apa!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 02/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan