Pernah dengar mengenai tahi palat pada zakar dan faraj? Jika tidak dibersihkan, ia boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan serta bengkak!
Tahi palat pada zakar dan faraj?
Tahi palat atau smegma adalah kerak keputihan yang terdiri daripada minyak dan sel kulit mati.
Ia boleh terkumpul di bawah kulup zakar lelaki yang tidak disunat atau sekitar lipatan labia pada wanita.
Jangan bimbang, ia bukan tanda jangkitan penyakit kelamin (STD). Bahkan, ia tidak mendatangkan bahaya.
Cuma sekiranya tidak dirawat, smegma pada zakar dan faraj boleh menyebabkan bau yang kurang enak.
Malah dalam beberapa kes, tahi palat boleh mengeras dan mengakibatkan kerengsaan pada alat kelamin.
Membersihkan smegma pada zakar dan faraj
Sebenarnya untuk membersihkan tahi palat ini tidaklah sesukar mana.
Cara paling mudah adalah dengan mengubah rutin penjagaan kebersihan diri harian.
Jom ketahui tip membersih dan merawat masalah smegma ini.
Merawat smegma pada lelaki
Pada individu lelaki, untuk membuang tahi palat di zakar bermakna anda perlu membersihkan alat kelamin dengan betul.
Ini termasuklah pada bahagian sekitar dan di bawah kulup.
Umumnya, badan anda akan menghasilkan pelincir untuk membantu kulup kembali kepada keadaan asal (retract).
Pelincir itu boleh berkumpul di bawah kulup bersama minyak semula jadi lain, sel kulit mati, kotoran dan bakteria.
Disebabkan itu, masalah smegma kurang terjadi pada lelaki yang sudah bersunat.
Membilas zakar dengan betul adalah tip termudah untuk menghilangkan tahi palat.
1. Tarik kulit kulup ke belakang dengan lembut.
Jika smegma sudah mengeras, mungkin anda akan berdepan kesukaran untuk menarik kulup habis ke belakang.
Elakkan daripada memaksa bukaan kulup atau ia akan mengakibatkan rasa sakit atau luka. Keadaan itu sekali gus mendedahkan zakar kepada jangkitan.
2. Gunakan sabun ringan dan air suam untuk mencuci bahagian yang biasanya terlindung oleh kulup.
Jangan menggosok terlalu kuat. Ia boleh menyebabkan kerengsaan pada bahagian kulit sensitif.
Sekiranya tahi palat sudah mengeras, anda boleh menyapu minyak terlebih dahulu untuk melembutkannya sebelum mencuci.
3. Bilas sehingga bersih. Kemudian, lap dengan perlahan bahagian itu sehingga kering.
4. Tarik kulup kembali ke hujung zakar.
5. Ulang langkah ini setiap hari, sehingga tiada lagi kerak keputihan itu.
Seperkara perlu anda ketahui, mengikis smegma yang telah keras menggunakan alat tajam atau kapas boleh menyebabkan kerengsaan. Jadi elakkan, okay?
Andai masalah kerak keputihan pada zakar tidak bertambah baik setelah seminggu membersihkannya dengan betul atau keadaan semakin teruk, berjumpalah dengan doktor.
Ini kerana bakteria boleh berkembang pada smegma serta menjadikan kepala zakar kemerahan dan bengkak. Keadaan ini dirujuk sebagai balanitis.
Adakalanya balanitis boleh menyebabkan kulit kulup menjadi ketat dan sukar untuk ditarik ke atas atau kembali ke keadaan asal.
Jika terdapat kemerahan, bengkak atau bau busuk, segera berjumpa doktor.
Penjagaan kebersihan zakar bayi dan kanak-kanak belum bersunat (zakar dan faraj)
Tahi palat pada bayi lelaki mungkin tampak seperti bintik putih atau ‘mutiara’ di bawah kulit kulup.
Bagi kebanyakan bayi, kulit tersebut tidak dapat ditarik ke belakang sepenuhnya.
Hanya apabila si kecil mencecah usia 5 tahun, barulah ia boleh ditarik ke belakang sepenuhnya.
Pun begitu, ada sesetengah kanak-kanak lelaki, ia mungkin lebih lambat daripada itu.
- Jangan menarik kulit kulup bayi atau anak kecil. Sebaiknya, berundinglah terlebih dahulu bersama pakar pediatrik tempoh yang sesuai untuk melakukannya
- Anda digalakkan untuk membersihkan alat kelamin dengan sabun lembut dan air sebagai sebahagian daripada rutin mandi biasa
Seperti individu lelaki dewasa, menarik kulit kulup secara paksaan boleh menyebabkan kesakitan, pendarahan atau menjejaskan kulit pada bahagian tersebut.
Merawat tahi palat pada wanita
Walaupun tidak mempunyai kulit seperti kulup, tetapi smegma juga boleh terjadi pada faraj wanita dan mengakibatkan bau.
Ia boleh berkembang pada lipatan labia atau sekitar atas kelentit.
Sama seperti lelaki, cara termudah untuk menghilangkan smegma dari alat kelamin wanita adalah melalui kebersihan diri yang betul.
1. Buka lipatan faraj dengan lembut. Anda boleh melakukannya dengan meletakkan 2 jari dalam bentuk V untuk membantu membuka lipatan.
2. Gunakan air suam. Jika perlu barulah menambahkan sabun lembut untuk membersihkan lipatan.
Tetapi elakkan daripada membiarkan sabun masuk ke dalam lubang faraj.
3. Bilas bahagian tersebut sehingga bersih.
4. Pastikan bahagian itu kering dengan mengelap secara lembut.
Para wanita disarankan untuk memakai seluar dalam daripada material bahan bernafas seperti kapas.
Sebarang perubahan pada keputihan dan bau mungkin petanda jangkitan. Berjumpa dengan doktor jika masalah tahi palat tidak hilang atau bertambah teruk.
Mencegah smegma pada zakar dan faraj
Masalah tahi palat pada zakar dan faraj adalah satu isu normal yang disebabkan oleh pengumpulan sel kulit mati, rembesan minyak dan kelembapan.
Mengamalkan rutin kebersihan pada alat kelamin dapat membantu mencegah dan mengurangkan pengumpulan smegma sama ada pada lelaki atau wanita.
Bersihkan alat kelamin setiap hari dan elakkan penggunaan sabun atau produk yang tidak bersesuaian pada bahagian ini.
Untuk wanita, elakkan meruang kerana ia boleh menyebabkan jangkitan atau masalah kesihatan lain pada faraj.
Jika masalah smegma agak teruk walaupun anda mengamalkan rutin kebersihan diri yang baik, atau mengesan perubahan pada alat kelamin, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera!
[embed-health-tool-bmi]