
Semasa berada di sekolah rendah, masih segar di ingatan penulis, disuapkan dengan sejenis cecair putih. Hanya satu frasa yang terlintas pada ketika itu, ‘ubat cacing’. Terus terfikir, bagaimana boleh terdapat cacing dalam badan penulis dan apakah punca sebenar kepada masalah kecacingan ini.
Adakah anda juga terfikir, bagaimana seseorang boleh mendapat masalah kecacingan? Apakah penyebab yang menjadikan cacing bertempat di dalam perut anda? Ingin tahu jawapannya? Ikutinya di sini.
Jenis-jenis cacing yang ada dalam perut
Sebelum anda pergi dengan lebih lanjut, eloklah untuk anda mengetahui jenis cacing terlebih dahulu. Terdapat dua jenis cacing usus yang sering mendiami tubuh badan manusia iaitu:
- Flatworms, yang terdiri daripada cacing pita dan flukes
- Roundworms, yang menyebabkan jangkitan ascariasis, pinworm dan hookworm
Ini dia penyebab masalah kecacingan
Antara salah satu faktor yang menjadi penyebab kepada masalah kecacingan atau cacing usus ialah, memakan daging yang separa masak atau kurang masak daripada jenis haiwan yang telah dijangkiti dengan cacing. Haiwan-haiwan ini termasuklah ikan, lembu dan kambing.
Selain itu, terdapat juga beberapa faktor lain yang menyebabkan keberadaan cacing di dalam perut, seperti:
- Penggunaan sumber air yang tercemar
- Penggunaan sumber tanah yang tercemar
- Tersentuh najis yang telah tercemar
- Tahap sanitasi yang teruk
- Tahap kebersihan yang teruk
Simptom-simptom kecacingan
Terdapat beberapa simptom kecacingan yang boleh anda lihat dan rasa. Ini termasuklah:
- Kesakitan badan
- Cirit-birit
- Mual
- Muntah-muntah
- Kembung perut
- Keletihan
- Kehilangan berat badan tanpa sebab
Bagaimana cacing memasuki perut anda?
Apabila anda mempunyai hubungan dengan faktor-faktor yang telah tercemar seperti meminum air yang telah tercemar, cacing ini akan bergerak ke bahagian usus anda dan memasukinya.
Cacing-cacing ini kemudiannya membiak dan membesar di dalam usus anda. Apabila saiz dan jumlahnya semakin meningkat dan bertambah, simptom kecacingan akan mula muncul.
Siapakah yang mudah mendapat masalah kecacingan?
Untuk pengetahuan semua terutamanya ibu bapa dan penjaga, kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah terdedah untuk mendapat kecacingan. Mengapa?
Antara sebabnya, kanak-kanak adalah golongan yang sering bermain dengan persekitaran yang mengandungi jenis tanah yang tercemar seperti taman permainan.
Selain itu, individu dewasa yang sudah berumur juga mempunyai risiko yang sama disebabkan oleh sistem imun yang semakin lemah.
Kesimpulan
Penulis tidak pasti samada kanak-kanak di sekolah rendah masih lagi diberikan ubat cacing atau tidak. Jika tidak, anda masih boleh membawa anak anda ke klinik atau hospital berdekatan bagi mendapatkan kepastian mengenai kecacingan dan rawatan yang sepatutnya.
Jangan tunggu sehingga najis anak anda dipenuhi dengan cacing-cacing yang berkeliaran. Anda juga pasti geli untuk melihatnya.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.