backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Sakit Semasa Duduk Antara Dua Sujud? Ketahui 5 Punca Kenapa Keadaan Ini Berlaku

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/04/2021

    Sakit Semasa Duduk Antara Dua Sujud? Ketahui 5 Punca Kenapa Keadaan Ini Berlaku

    Pernah tak anda dengar ada yang cakap posisi duduk antara dua sujud itu tidak baik untuk kesihatan?

    Kita sering dipaparkan dengan adegan posisi duduk tersebut apabila menonton filem klasik Jepun.

    Ia menggambarkan disiplin dan kehalusan tatatertib semasa berhadapan dengan seseorang yang mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi.

    Walau bagaimanapun, adakah benar ia merupakan satu perkara yang sepatutnya dielakkan sekiranya anda ingin hidup sihat?

    Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Lazim namun sukar bagi mereka yang mempunyai masalah lutut

    posisi duduk

    Gaya duduk antara dua sujud atau posisi seiza ini merupakan salah satu posisi yang lazim di dunia.

    Orang Islam sebagai contoh, mereka duduk dalam posisi ini berulang kali semasa melakukan ibadah solat.

    Secara amnya, dalam solat, ia tidak mendatangkan kemudaratan memandangkan kita hanya kekal dalam posisi tersebut untuk seketika.

    Ia berbeza dengan orang Jepun yang duduk dalam posisi seiza semasa beraktiviti, makan dan melakukan hobi seperti menyusun bunga dalam tempoh yang agak lama.

    Anda mungkin berminat:

  • Betul Ke Jatuh Terduduk Boleh Sebabkan Tulang Retak Akibat Terlalu Rapuh?
  • BAHAYA! 5 Kesan Duduk Bersilang Kaki, Ibu Hamil Wajib Baca Nombor 5
  • Mereka yang duduk dalam posisi ini untuk satu tempoh masa yang lama boleh menyebabkan masalah berikut:

    1. Tekanan berlebihan kepada lutut semasa anda melipat kaki ke belakang. Ia boleh menyebabkan iritasi kepada tulang rawan pada kepala lutut anda. Perkara ini terutamanya jika anda duduk di atas permukaan keras.
    2. Berat badan anda boleh memberikan tekanan kepada pergelangan kaki anda.
    3. Pernah tak anda terlihat kaki seseorang menjadi putih atau biru semasa duduk antara dua sujud semasa berdoa. Jangan malu untuk tukar posisi ya sebab posisi itu boleh mengurangkan aliran darah akibat daripada tekanan yang diberikan oleh badan terhadap kaki.
    4. Boleh menyebabkan masalah sendi sedia ada menjadi bertambah teruk.

    Saya susah nak duduk antara dua sujud, rasa sakit pada lutut. Kenapa ya?

    duduk antara dua sujud

    Rasa sakit ketika duduk antara dua sujud bukanlah satu perkara asing.

    Malah, mereka yang mempunyai masalah sendi sering mengalaminya. Lihat sahaja pada posisi badan mereka.

    Namun, jarak masa di antara duduk antara dua sujud dengan sujud seterusnya tidak lama.

    Ini bermakna, posisi tersebut di dalam solat tidak mendatangkan mudarat.

    Pun begitu, terdapat beberapa sebab kenapa anda berasa sukar untuk duduk antara dua sujud atau bagi yang bukan Islam, duduk dalam posisi seiza. 

  • Otot kejang: Semasa anda mengalami kekejangan otot, kaki anda lebih cenderung untuk melunjur dan sukar dibengkokkan. Maka posisi ini boleh memberikan kesakitan dan rasa tidak selesa.
  • Sindrom patelofemoral: Apabila anda berasa sakit pada bahagian hadapan atau sekitar kepala lutut, anda mungkin ada sindrom ini. Ia boleh berlaku disebabkan oleh salah posisi kaki, otot quadriceps lemah dan sendi sering digunakan seperti dalam konteks pelari. Oleh sebab itulah nama lain bagi sindrom ini adalah lutut pelari.
  • Osteoarthritis: Ia merupakan keradangan pada sendi kronik. Secara amnya, masalah ini boleh berlaku di mana-mana sendi namun ia lazim terjadi pada sendi lutut. 
  • Bursitis lutut: Bursa adalah ruangan yang mengandungi cecair pada bahagian sendi. Ia bertindak sebagai kusyen bagi menyerap impak luar. Manusia mempunyai lebih daripada 100 bursa di seluruh badan. Apabila keradangan berlaku pada bursa yang terletak pada lutut, ia boleh menyebabkan anda sukar duduk antara dua sujud.
  • Keradangan pada tendon. Tendon menghubungkan struktur tulang dengan tulang. Jika terdapat proses keradangan padanya, ia boleh menyebabkan lutut terasa sakit semasa melakukan aktiviti harian termasuklah duduk seiza.
  • Cara duduk yang lebih selesa 

    duduk antara dua sujud

    Mungkin duduk dalam posisi seiza nampak sopan namun jika dilakukan dalam satu tempoh masa yang panjang, ia boleh menyebabkan keadaan kesihatan.

    Jika anda hendak duduk dengan lebih selesa dan mengurangkan tekanan terhadap lutut, boleh cuba gaya berikut:

  • Duduk bersila: Jika hendak duduk di atas lantai, posisi ini merupakan posisi terbaik. Ia mengurangkan tekanan terhadap lutut dan berat badan disokong oleh struktur pinggul.
  • Duduk di atas kerusi, lutut bengkok, kaki mencecah lantai: Posisi ini baik untuk lutut memandangkan kerusi menjadi medium penyokong. Pastikan anda mengangkang sedikit bagi mengelakkan postur badan membongkok ke hadapan.
  • Duduk bersimpuh. Nampak macam tidak selesa, namun posisi ini baik untuk postur tulang belakang anda. Namun, jangan pula bersimpuh katak (posisi W).
  • Duduk kaki melunjur ke hadapan. Sama seperti posisi duduk lain, ia boleh mengurangkan tekanan terhadap lutut anda.
  • Konklusi

    Posisi duduk seiza atau duduk antara dua sujud tidak elok dijadikan sebagai posisi utama semasa anda melakukan aktiviti harian.

    Ia boleh menyebabkan tekanan berlebihan kepada lutut terutamanya jika seseorang itu berbadan besar.

    Jika anda rasa sakit semasa duduk dalam posisi ini (seperti ketika solat) dapatkan khidmat nasihat perubatan daripada doktor sekarang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan