Melalui ujian IQ berskala lengkap, mereka yang dilahirkan oleh ibu obes mempunyai IQ dengan 5 mata lebih rendah berbanding dengan anak yang dilahirkan oleh ibu berat normal.
Jangan salah ikut nilai BMI!
Interpretasi masalah obesiti dan berat badan berlebihan berbeza mengikut populasi etnik.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi orang Eropah, individu yang mempunyai nilai BMI 25 kg/m2 dan ke atas dianggap mempunyai masalah berat badan berlebihan.
Bagaimana pula dengan etnik yang lain seperti orang Asia?
Bagi orang Asia, mereka yang mempunyai nilai BMI 23 kg/m2 dan ke atas dianggap mempunyai masalah tersebut. Ini berikutan terdapat perbezaan pada jumlah dan distribusi lemak badan orang Asia dan Eropah pada nilai BMI yang sama.
Secara ringkasnya, risiko untuk mendapat penyakit kronik berkaitan nutrisi adalah lebih tinggi pada orang Asia.
Kaji Selidik Morbiditi dan Kesihatan Nasional (NHMS) 2011 telah menunjukkan bahawa prevalens masalah obesiti dalam kalangan wanita berusia 18 tahun dan ke atas telah meningkat daripada 5.7% kepada 17.6%.
Ini merupakan nilai peratusan yang agak membimbangkan berikutan risiko terhadap komplikasi kehamilan meningkat jika wanita tersebut membuat keputusan untuk hamil tanpa mengurangkan berat badan sebelum mengandung.
Bagaimanakah caranya untuk mengurangkan risiko tersebut?
Kurangkan berat badan anda dan gunakan nilai ketinggian dan berat badan sebagai panduan ke arah mencapai nilai BMI yang sihat.
Kesan obesiti terhadap ibu mengandung

Komplikasi kehamilan bukan sahaja berisiko untuk dialami oleh mereka yang mempunyai masalah kawalan berat badan sebelum tempoh kehamilan.
Anda yang mempunyai nilai kenaikan berat semasa hamil pada tahap yang berlebihan juga berisiko untuk mendapat komplikasi kesihatan.
Oleh itu, panduan kenaikan berat badan semasa hamil telah dibuat menggunakan BMI ibu.
- Kurang berat badan (<18.5 kg/m2) – jumlah kenaikan pada kadar 12.5 kg hingga 18.0 kg
- Berat badan normal (18.5-22.9 kg/m2) – jumlah kenaikan pada kadar 11.5 kg hingga 16.0 kg
- Berat badan berlebihan (23.0-27.4 kg/m2) – jumlah kenaikan pada kadar 7.0 kg hingga 11.5 kg
- Obes (>27.5 kg/m2) – jumlah kenaikan pada kadar 5.0 hingga 9.0 kg
Panduan yang disenaraikan di atas boleh diaplikasikan kepada wanita Asia. Jika ia melibatkan wanita dari negara Eropah, nilai BMI asal boleh digunakan bagi menentukan kadar kenaikan berat badan normal.
Wanita mengandung obes mempunyai risiko untuk mendapat pelbagai jenis komplikasi semasa hamil. Antaranya adalah:
- Diabetes gestasi
- Keguguran
- Preeklampsia
- Pendarahan berlebihan selepas bersalin
- Peningkatan pada risiko diagnosis diabetes jenis 2 selepas tempoh bersalin
Bukan ibu gemuk sahaja yang akan mengalami komplikasi ketika hamil, malah anak yang dikandung juga turut serta merasai natijahnya.
Selain daripada apa yang dikemukakan dalam dapatan kajian oleh Widen, masalah yang boleh dialami oleh bayi adalah seperti berikut:
- Kelahiran pramatang
- Kematian bayi semasa lahir
- Kecacatan kongenital
- Berat melebihi nilai normal (> 4.0 kg)
- Mengalami peningkatan risiko untuk mendapat penyakit kronik seperti sakit jantung dan kencing manis kelak
Oleh itu, mungkin bakal ibu gemuk ingin menurunkan berat badan semasa hamil bukan? Namun pastikan ia sesuai dengan BMI ketika hamil yang kalian perlukan ya?
Baca juga: