Benarkah Gula Perang Jauh Lebih Sihat Berbanding Gula Putih? Ini Penjelasan Yang TEPAT

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 24/07/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Gula dalam sejarah dunia

Sebelum kita berbincang tentang perbezaan antara gula perang dan juga jenis-jenis gula yang lain, mari kita imbau kembali sejarah gula dalam peradaban manusia. Di benua Asia, gula mula dihasilkan di sub-benua India sejak zaman purba. Dari situ, penyebarannya mula berlaku sehingga ke Afghanistan masa kini. Penting untuk diingatkan bahawa gula bukanlah sesuatu yang mudah didapati mahupun murah ketika zaman purba. Malahan, di kebanyakan bahagian-bahagian lain di dunia ketika itu, pemanis utama yang digunakan adalah madu. Asalnya, manusia awal mengunyah tebu demi mendapatkan rasa manis gula di dalamnya. Mujurlah untuk penduduk Asia Tenggara dan sub-benua India, tebu merupakan spesis tumbuhan yang natif kepada kawasan tersebut, membolehkan penemuan ciri-ciri dan potensi tebu. Antara rujukan sejarah terawal berkaitan tebu boleh didapati dalam manuskrip Cina, dikatakan bertarikh sekitar abad ke-8 BCE. Dalam tradisi perubatan tamadun India (Ayurveda), gula asalnya bukanlah sesuatu yang dikira penting sehinggalah mereka menjumpai kaedah untuk menukarkan gula daripada tebu menjadi granul kristal, memudahkan proses simpanan dan penghantarannya. Gula dalam bentuk granul kristal ini mula ditemui pada zaman empayar Gupta sekitar abad ke 5 CE.  Pelayar-pelayar India yang membawa mentega dan juga gula ini kemudiannya bertindak mengajar pelayar dan pedagang lain yang mereka temui dalam perjalanan mereka. Tidak lama kemudian, sami Buddha yang bermusafir pula membawa ilmu penghasilan gula ini ke tanah besar China.

Struktur dan jenis gula

Gula, dalam bentuk karbohidrat, merupakan salah satu daripada makronutrien polimer semula jadi yang penting untuk kestabilan fungsi badan manusia selain lemak dan protein. Ianya merupakan nutrisi utama kerana monomer atau bahan binaan asasnya (glukosa) merupakan ‘bahan bakar’ utama metabolisma badan kita, membekalkan tenaga untuk aktiviti sel, tisu dan juga organ. Selain itu, ianya juga penting bagi membentuk struktur-struktur kompleks yang menjadi bahan binaan sel-sel dalam badan kita. Dari segi strukturnya, glukosa terdiri daripada tiga elemen asas iaitu karbon, hidrogen dan oksigen. Gula dapat dikelaskan kepada tiga paras yang berbeza berdasarkan paras rantaiannya. Ketiga-tiga paras tersebut adalah:

 

  • Monosakarida – Monosakarida ialah kumpulan struktur gula yang paling asas dan kecil. Dalam erti kata lain, ianya adalah batu-bata kepada struktur polimer yang lebih kompleks. Gula asas atau gula mudah dalam kumpulan monosakarida ini tidak boleh lagi dipecahkan melalui proses hidrolisis kepada unit yang lebih kecil. Contoh gula asas dalam kumpulan ini adalah glukosa, galaktosa, fruktosa, ribosa, dan deoksiribosa.
  • Oligosakarida – Berada satu tahap lebih tinggi dalam bentuk struktur berbanding kumpulan monosakarida. Ianya adalah kumpulan yang membabitkan gabungan lebih daripada satu struktur gula asas, serendah-rendah gabungan dua unit, sehinggalah setinggi lapan unit monosakarida. Dalam pembentukan rantaian monosakarida yang lebih panjang dan kompleks ini, setiap unit terikat dengan yang lain melalui ikatan glikosida. Oligosakarida boleh dibahagikan kepada kumpulan disakarida, trisakarida, dan seterusnya menurut bilangan unit monosakarida yang terdapat dalam molekulnya. Contoh Oligosakarida yang mungkin anda pernah dengari termasuklah maltosa, laktosa dan juga sukrosa.
  • Polisakarida – Polisakarida merupakan kelas karbohidrat yang mempunyai lebih daripada lapan unit monosakarida, menjadikannya berada pada hierarki tertinggi dalam struktur rantaian gula. Polisakarida seterusnya dapat dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan homopolisakarida (contohnya kanji, glikogen dan selulusa) dan juga kumpulan heteropolisakarida (contohnya heparin).

Dari sudut nutrisi dan juga untuk kepentingan kesihatan, terdapat dua jenis karbohidrat utama yang selalu dibincangkan iaitu ringkas dan kompleks. Jenis yang ringkas atau disebut sebagai refined carbs dalam bahasa Inggeris, merujuk kepada gula ringkas yang terdapat di dalam kek, gula-gula, biskut, makanan diproses, atau air bersoda. Gula putih juga dianggap sebagai karbohidrat ringkas. Gula ringkas boleh didapati di dalam susu, buah-buahan dan sayur-sayuran. Gula ringkas mudah dihadam dan diserap ke dalam darah. Gula ringkas menyebabkan insulin lebih cepat meningkat. Ini bukanlah sesuatu yang diinginkan kerana peningkatan paras gula yang laju dan mendadak dalam darah akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah dalam jangka panjang.

 

Bagi gula kompleks pula, ianya terdiri daripada dua kumpulan iaitu jenis yang berkanji dan juga bijirin penuh. Kedua-duanya mengambil lebih masa untuk diuraikan dan untuk dihadam oleh badan. Turut disebut sebagai whole carbs dalam bahasa Inggeris, ianya merupakan alternatif yang lebih sihat berbanding gula ringkas kerana keupayaannya untuk tidak mengakibatkan peningkatan paras gula dalam darah yang mendadak dan cepat. Selain itu, ianya juga berupaya untuk membekalkan tenaga dalam tempoh yang lebih lama akibat daripada peningkatan paras gula yang beransur-ansur dan terkawal. Tambahan lagi, bijirin penuh adalah sumber serat dan nutrien yang baik. Sesetengah bijirin tertentu mungkin mengandungi zat besi dan asid folik (seperti beras putih dan roti putih).Contoh makanan yang tergolong dalam kumpulan gula kompleks ini adalah seperti berikut:

Berkanji 

  • Sayuran berkanji seperti kentang, kacang, jagung
  • Roti, bijirin

Bijirin penuh

  • Oatmeal
  • Kacang dan bijian (badam, walnut, kacang tanah)
  • Buah-buahan (beri, epal)
  • Kacang kering
  • Roti gandum
  • Beras perang
  • Sayuran

Apa itu gula perang?

Gula perang adalah gula yang berteraskan sukrosa yang kaya dengan molases. Ianya boleh terjadi melalui beberapa cara sama ada tanpa proses tapisan, melalui sedikit proses tapisan dan mempunyai warna perang akibat sisa molases (gula perang semula jadi) ataupun ianya boleh dihasilkan dengan penambahan molases kepada gula putih komersil sedia ada di pasaran (gula perang komersil). Majoriti daripada gula perang yang berada di pasaran adalah daripada kategori yang terakhir iaitu dengan penambahan molases daripada gula tebu kepada kristal gula putih yang ditapis di kilang. Gula perang yang disediakan dengan cara ini mempunyai tekstur yang lebih kasar berbanding gula perang yang tidak terhasil melalui cara ini. Molasesnya juga dapat dipisahkan dengan mudah daripada kristal gula putih dengan hanya membasuhnya. 

Gula perang semula jadi

Gula perang semula jadi, gula mentah atau gula tebu penuh adalah gula yang mengekalkan sebilangan molases di dalamnya. Memandangkan terdapat lebih banyak molases dalam gula perang semula jadi, ianya mengandungi lebih sedikit nilai nutrisi dan juga kandungan mineral berbanding gula komersial biasa. Sesetengah daripadanya mempunyai nama atau terma yang khusus dan juga ciri-ciri yang unik. Berdasarkan perbezaan ini, ianya boleh dijual dengan nama-nama seperti Turbinado, Demerara dan juga gula mentah jika ianya telahpun melalui proses centrifuge pada darjah yang tinggi. Turbinado, Demerara dan juga gula mentah ini dihasilkan daripada jus gula tebu separa meruap yang sudah menjadi kristal terlebih dahulu sebelum melalui proses centrifuge yang disebut tadi bagi membuang hampir kesemua kandungan molasesnya. 

Jika ianya tidak melalui proses centrifuge pada darjah yang tinggi (atau tidak melalui proses penapisan), ianya akan mengandungi kandungan molases yang lebih tinggi dan disebut dengan pelbagai nama mengikut negara dan juga budaya serata dunia seperti Panela, Rapadura, Jaggery, Muscovado, Piloncillo dan sebagainya. Kesemua gula yang disebut tadi dan juga gula perang gelap yang lain sama ada melalui proses centrifuge pada kadar yang minima, atau tidak langsung melaluinya. Lazimnya, gula daripada jenis ini dihasilkan di kilang-kilang kecil di negara-negara membangun di seluruh dunia kerana kebanyakan kilang kecil ini tidak mempunyai teknologi centrifuge ataupun vakum tahap industri. Ia sebaliknya dididihkan dalam kuali panas menggunakan dapur kayu sehingga jus gula tebu mencapai kira-kira 30% daripada isipadu asal dan pembentukan kristal sukrosa mula berlaku. Kemudiannya, ianya akan dituang ke dalam acuan untuk mengeras atau dalam periuk penyejuk sebelum diketuk dan dipecahkan untuk menjadi bentuk pasir yang halus. 

Manfaat kesihatan gula perang

Terdapat ramai orang yang mempercayai bahawa ianya merupakan alternatif yang jauh lebih sihat berbanding gula putih biasa selain mempunyai rasa yang berbeza dan lebih enak. Trend kesihatan ini telah mempelopori pelbagai perkara seperti industri penghasilan dan penjualan gula perang, bisnes minuman dan juga penghasilan manisan berteraskannya. Antara dakwaan manfaat kesihatan yang dicanangkan adalah ianya mampu untuk melegakan kejang akibat datang bulan dan juga mampu memberikan kesan antipenuaan. Namun yang demikian, adakah ianya benar bahawa memilih gula perang ini adalah lebih baik? Adakah dakwaan terhadap manfaat dan kebaikannya bersandarkan kepada kajian saintifik?

 

Persoalan manfaat kesihatan itu lebih mudah untuk dijawab, maka ianya akan dibincangkan terlebih dahulu. Ianya mudah untuk dijawab kerana tidak ada sebarang manfaat kesihatan yang terbukti ataupun telah dikaji yang dapat dikaitkan dengan gula perang. Kemungkinan besar, rasa sihat dan hebat yang terhasil setelah mengambilnya dapat disandarkan kepada kesan placebo semata-mata. 

 

Dari sudut nutrisi pula, tidak ada perbezaan yang ketara antara gula perang dan gula putih tapisan yang komersial. Ianya mengandungi 377 kalori untuk setiap satu ratus gram, pengurangan yang sangat sedikit berbanding gula putih tapisan komersial yang mengandungi 387 kalori bagi jumlah yang sama. Kesemua mineral yang terdapat di dalamnya berpunca daripada kandungan molases. 

Namun yang demikian, kuantiti mineral dan vitamin yang terdapat di dalamnya adalah terlalu rendah untuk memberi apa-apa kesan yang signifikan atau bermakna kepada mereka yang mengambilnya. Untuk tujuan itu, kebanyakan pakar nutrisi dan juga mereka yang benar-benar arif tentang pemakanan akan menyimpulkan bahawa tidak ada manfaat tambahan dengan menjadikannya alternatif kepada gula putih tapisan komersial. 

 

Sebaliknya, ia hanyalah gimik kesihatan yang cuba untuk melariskan sesuatu produk dengan menjenamakannya sebagai makanan yang lebih sihat dan bersih. Seperti yang diceritakan dalam bab yang sebelumnya, kebanyakan daripada gula perang komersial yang berada di pasaran adalah versi yang telah diolah daripada gula putih tapisan melalui penambahan molases. Oleh yang demikian, anda tidak perlulah berasa bersalah sekiranya anda memilih gula putih berbanding pilihan ‘sihat’ ini kerana hakikatnya, tiada perbezaan yang ketara antara kedua-duanya dan pelbagai faktor lain yang memberikan kesan yang lebih signifikan kepada kesihatan anda seperti kuantiti dan corak diet anda.

Kesan pengambilan gula yang berlebihan

Di Malaysia, makanan yang tinggi dengan gula bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Minuman manis mudah didapati dan diambil dengan hampir semua hidangan. Minuman seperti teh ais, kopi, milo dan sebagainya menjadi kegemaran buat si kecil mahupun orang dewasa. Apa yang lebih merisaukan adalah minuman manis yang kaya dengan gula ini lazimnya diambil dengan hidangan yang turut kaya dengan kalori daripada gula dalam bentuk berbeza -nasi. Nasi adalah polimer kompleks bagi gula atau lebih tepat lagi, karbohidrat. Ianya merupakan makanan ruji di Malaysia, mendominasi sebahagian besar pinggan-pinggan hidangan di negara ini. Dalam satu hidangan bersertakan satu minuman sahaja, sebahagian besar keperluan kalori harian seseorang itu telahpun dipenuhi. Akibat daripada tabiat mengambil makanan yang tinggi dengan kalori daripada gula atau karbohidrat, ianya menyebabkan badan seseorang itu terus menerus membawa dan mengumpul kalori yang berlebihan dan juga simpanan gula (glukosa) yang tinggi dalam badan. 

 

Apabila gula dimakan dan dihadam, 4 kilo kalori tenaga dihasilkan untuk setiap satu gram gula mudah. Penghadaman karbohidrat bermula di mulut – di peringkat mulut, enzim amylase akan dikeluarkan oleh kelenjar-kelenjar air liur di sekitar bahagian dalaman mulut manusia. Proses pemecahan gula kompleks kepada gula yang lebih pendek dan asas ini berlaku melalui penguraian ikatan glikosida antara unit-unit gula. Penghadaman gula ini berlaku dengan tidak lengkap dan akan disambung semula apabila bahan makanan sampai ke bahagian usus kecil. Di dalam bahagian awal usus kecil, turut dikenali lebih tepat lagi sebagai Duodenum, enzim amylase dikeluarkan oleh struktur pankreas dan bertemu dengan bahan makanan, menghadam dengan lebih lanjut gula yang terdapat di dalamnya.

 

Pengambilan karbohidrat yang banyak mampu membekalkan tenaga yang banyak, dengan syarat, ianya digunakan. Oleh sebab itu, atlet profesional mengambil karbohidrat yang banyak bagi membekalkan badan mereka dengan jumlah tenaga yang tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga harian mereka. Namun yang demikian, rakyat Malaysia rata-ratanya mengamalkan gaya hidup sedentar walaupun mereka mengambil jumlah karbohidrat dan gula yang tinggi. Apabila kandungan gula berlebihan dalam badan berlaku, terdapat beberapa proses yang akan berlaku bagi mengawal paras gula dalam darah. Antaranya ialah proses glikogenesis (penghasilan glikogen). Glikogen ini adalah gula dalam bentuk simpanan. Organ yang banyak bertanggungjawab dalam melaksanakan proses ini adalah organ hati. Glikogenesis hati menyumbang kepada penurunan paras glukosa dalam darah. Hormon yang paling penting dalam pengawalan kepekatan glukosa dalam plasma darah adalah insulin. Insulin yang terikat pada reseptor spesifik pada permukaan sel dalam tisu adipos dan otot, meningkatkan kadar kemasukan glukosa ke dalam sel-sel ini. 

 

Proses seterusnya dalam membantu mengawal kandungan gula berlebihan dalam darah adalah pembentukan lemak. Seperti yang dinyatakan di atas, reseptor untuk insulin boleh didapati pada permukaan tisu adipos (tisu lemak). Ini bermakna ianya juga boleh mengambil gula lebihan untuk disimpan. Dalam usaha untuk menurunkan paras gula dalam darah, gula lebihan akan diproses menjadi suatu struktur yang dikenali sebagai asetil coA. Asetil coA adalah bahan binaan asas yang digunakan untuk membina tisu lemak sekali gus menambah bilangan lemak pada badan seseorang.

 

Pertambahan glukosa susulan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi dan dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil. Selain itu, ianya juga boleh menyebabkan rintangan insulin. Susulan daripada pengambilan gula berlebihan dan rintangan insulin ini adalah penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2). Tambahan lagi, pengumpulan lemak berlebihan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat penyakit obesiti. Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisma gula berlebihan ini juga dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari, yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan jantung akut dan juga kegagalan jantung. 

 

Sebagai konklusi, trend kesihatan belum tentu mempunyai asas saintifik yang kukuh. Oleh yang demikian, berhati-hati apabila anda mendengar dakwaan kesihatan tertentu tentang sesuatu dan lakukan bacaan daripada sumber ilmiah yang sahih.

 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Bukan Sahaja ‘Apa’, Penderita Kencing Manis Juga Kena Prihatin Dengan ‘Bila’ Anda Makan!

    Mungkin ramai yang ada kencing manis jenis 2 namun tidak tahu tip untuk mengawalnya bukan? Jadi jom klik artikel ini untuk baca dengan lebih lanjut!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Kencing Manis, Diabetes Jenis 2 21/09/2020 . 3 minit bacaan

    Pssttt… Rahsia Untuk Kurangkan Risiko Dapat Diabetes Jenis 2, Amalkan Pengambilan Serat!

    Serat yang diperoleh daripada makanan seperti sayuran mempunyai banyak manfaat. Salah satu manfaat serat ialah kurangkan risiko diabetes jenis 2!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Pusat Kesihatan, Diabetes 18/09/2020 . 3 minit bacaan

    Luka Lambat Sembuh? Hati-hati, Ia Mungkin Tanda Anda Menghidap Kencing Manis!

    Anda alami luka tetapi sudah berminggu-minggu masih belum baik? Luka lambat sembuh tersebut mungkin tanda bahawa anda alami luka kencing manis!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Pusat Kesihatan, Diabetes 10/09/2020 . 3 minit bacaan

    Pesakit Diabetes Tak Boleh Makan Lobak Merah Sebab Manis, Betul Ke?

    Pasti ramai yang tidak tahu khasiat lobak merah bukan? Selain baik untuk mata, sayur ini juga bagus untuk individu yang mempunyai diabetes.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Gaya Hidup Sihat, Pemakanan 03/09/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    diabetes

    Membongkar 4 Mitos Tentang Terapi Insulin

    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 20/10/2020 . 3 minit bacaan
    penjagaan diri

    Ini 5 Perkara Yang Mesti Pesakit Diabetes Lakukan Setiap Masa, Setiap Hari! Jangan Lalai

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 14/10/2020 . 4 minit bacaan
    apa itu dialisis

    Dialisis, Rawatan Untuk Pesakit Buah Pinggang Yang Berkos Tinggi, Ada Alternatif Lain Ke?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 05/10/2020 . 3 minit bacaan
    atrofi otot

    Makin Tua, Makin Cepat Penat? Anda Mungkin Kehilangan Jisim Otot! Nak Atasi, Ambil Makanan Ini

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Diterbitkan pada 30/09/2020 . 3 minit bacaan