backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Apa Maksud Penuaan Yang Sihat: Info Lengkap Yang Anda Perlu Tahu

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/04/2021

Apa Maksud Penuaan Yang Sihat: Info Lengkap Yang Anda Perlu Tahu

Apa itu penuaan? Ia merupakan satu proses biologi yang mempengaruhi semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini.

Tiada siapa yang boleh elak daripada mengalami proses penuaan. Maka, beberapa perubahan dan langkah persediaan perlu dilakukan bagi memastikan anda bersedia melaluinya.

Penerimaan terhadap proses biologi semula jadi ini akan meningkatkan kecenderungan anda untuk lebih peka dengan tahap kesihatan semasa bagi menghindarkan sebarang komplikasi kelak.

Proses penuaan tidaklah semudah seperti apa yang kita sangka. Ia bukanlah sekadar perubahan yang menyebabkan sendi menjadi sakit atau rambut mula beruban.

Pengetahuan berkenaan dengannya boleh mempersiapkan anda untuk menghadapi sebarang perubahan di masa akan datang.

Fahami proses penuaan dan usia lanjut

Apabila usia kita meningkat dan badan semakin tua, sel badan turut mengalami proses penuaan membuatkan fungsinya menjadi tidak begitu efisien.

Lazimnya, usia lanjut merujuk kepada mereka yang berumur di antara 50 hingga 60 tahun atau apabila seseorang itu bersara daripada kerja mereka.

Segelintir individu masih mempunyai tahap kesihatan yang optimum apabila mereka mencecah usia 50-an.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan daripada mereka berisiko untuk mengalami masalah kesihatan yang berpunca daripada proses penuaan.

Perbezaan kesan proses penuaan manusia bergantung kepada banyak faktor seperti:

  • Proses penyakit
  • Gen
  • Tingkah laku 
  • Persekitaran
  • Faktor-faktor tersebut boleh mempengaruhi seseorang itu apabila mereka mengalami proses penuaan.

    Menurut definisi yang telah diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), proses penuaan secara sihat adalah apabila seseorang itu boleh bersosial dengan rakan-rakan, mengekalkan hubungan dan menyumbang kepada masyarakat walaupun usia mereka semakin meningkat.

    Anda mungkin familiar dengan proses penuaan kulit namun ia bukan satu-satunya proses penuaan yang berlaku.

    Bagi merealisasikan proses penuaan secara sihat, anda perlu tahu berkenaan dengan kesan penuaan semula jadi terhadap tubuh badan anda. 

    Dengan cara ini, anda boleh mengekalkan tahap kesihatan apabila melalui proses penuaan kelak.

    Kesan proses penuaan terhadap jantung (sistem kardiovaskular)

    proses penuaan manusia

    Jantung bertanggungjawab mengepam darah seumur hidup individu. Secara puratanya, jumlah darah yang dipam keluar boleh mencecah sehingga 2.5 juta liter.

    Apabila kita semakin tua, pelbagai perubahan fungsi akan berlaku pada organ jantung.

    Salur darah akan menjadi keras dan kaku menyebabkan jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras.

    Lemak juga akan mula terkumpul pada dinding salur darah anda menyebabkan seseorang itu lebih berisiko untuk mendapat masalah darah beku pada jantung.

    Perkara ini boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan kronik seperti hipertensi, strok dan serangan jantung.

    Kesan proses penuaan terhadap deria manusia

    Proses penuaan boleh mempengaruhi fungsi penglihatan dan pendengaran manusia.

    Perubahan yang berlaku pada organ deria boleh menyebabkan kualiti hidup merudum sehingga membuatkan anda tidak berupaya untuk menikmati kehidupan normal.

    Kesan usia lanjut kepada deria pendengaran

    Apabila seseorang itu hilang keupayaan untuk mendengar kesan daripada proses penuaan, istilah yang menggambarkan keadaan tersebut adalah ‘presbikusis’.

    Telinga manusia yang berusia boleh mengalami kesukaran untuk membezakan bunyi.

    Kerosakan fungsi pada struktur dalaman telinga juga menyebabkan masalah keseimbangan sehingga meningkatkan risiko mereka untuk jatuh.

    Kesan usia lanjut kepada deria penglihatan

    Kualiti penglihatan orang tua boleh menjadi teruk. Tambahan pula, mata mereka boleh sensitif terhadap silau dan cahaya terang-benderang.

    Selain itu, proses penuaan juga boleh menyebabkan penglihatan periferal (pandangan sisi) anda semakin kabur.

    Oleh sebab itulah kebanyakan orang tua tidak disarankan untuk memandu terutamanya jika mereka mengalami masalah penglihatan.

    Perubahan deria bau dan rasa

    Terdapat elemen campuran di antara deria rasa dan bau. 

    Lama-kelamaan, tunas rasa yang terdapat pada lidah akan semakin berkurangan sehingga mengganggu keupayaan anda untuk menghidu.

    Kesan penuaan terhadap tulang, sendi dan otot

    Apabila usia seseorang itu semakin lanjut, mereka boleh menjadi semakin rendah akibat perubahan struktur pada tulang belakang dan lengkungan kaki.

    Tulang anda juga akan menjadi kurang tumpat menyebabkan anda berisiko untuk mengalami masalah keretakan.

    Keadaan ini turut boleh berlaku akibat masalah kesihatan yang dikenali sebagai osteoporosis.

    Tisu sendi anda boleh menjadi haus sehingga menyebabkan masalah artritis. Akibatnya pergerakan sendi akan menjadi kurang fleksibel.

    Walau bagaimanapun, senaman boleh membantu menghindarkan masalah ini.

    Kesan penuaan terhadap sistem penghadaman manusia

    usia tua

    Proses penuaan boleh menyebabkan sistem penghadaman anda menjadi tidak efisien.

    Akibatnya, masalah kesihatan seperti sembelit mudah berlaku berikutan proses pencernaan yang menjadi perlahan apabila seseorang itu tua.

    Oleh itu, penting bagi mereka untuk mengubah corak pemakanan agar kena dengan keperluan pemakanan seseorang dan masalah kesihatan yang dialaminya (jika ada).

    Selain itu, golongan tua mungkin mengalami kesukaran untuk menelan disebabkan oleh fungsi esofagus yang semakin menyusut.

    Kesan penuaan terhadap buah pinggang dan pundi kencing

    Jika anda tidak mempunyai masalah kesihatan dan menjalani gaya hidup sihat, fungsi buah pinggang anda mungkin tidak akan terjejas.

    Namun, bagi yang menghidap penyakit kronik atau mengambil ubat tertentu secara kerap, ia mungkin boleh mempengaruhi fungsi buah pinggang anda.

    Begitu juga dengan pundi kencing anda, apabila usia semakin meningkat, ia boleh menjadi kurang fleksibel menyebabkannya sukar untuk menyimpan air kencing seperti biasa.

    Perkara ini boleh mengakibatkan anda sukar untuk menahan kencing (inkontinens urin) dan mengalami masalah kencing tak lawas (kencing tidak habis).

    Kesan penuaan terhadap memori dan proses pemikiran

    usia lanjut

    Usia boleh mempengaruhi kebolehan kognitif seseorang.

    Apabila usia anda semakin meningkat, anda akan sukar untuk menumpukan perhatian atau mengingati sesuatu.

    Ia berikutan perubahan struktur yang berlaku di dalam otak itu sendiri. Otak anda menjadi semakin kecil.

    Perubahan tersebut menyebabkan sel neuron sukar untuk berkomunikasi di antara satu sama lain menyebabkan fungsi otot dan sel saraf terjejas.

    Kesan penuaan terhadap kulit

    Kesan penuaan tidak terhad kepada organ dalaman semata-mata, ia juga boleh mempengaruhi organ yang menutupi permukaan luar kulit.

    Apabila usia anda semakin meningkat, proses penuaan kulit akan membuatkannya menjadi lebih rapuh dan nipis.

    Ini bermakna anda akan lebih mudah untuk mengalami masalah lebam dan kecederaan kulit.

    Jika anda mendapat luka, ia akan lebih sukar sembuh.

    Proses penuaan kulit juga akan menyebabkan penghasilan minyak semula jadi menurun. Perkara ini boleh mengakibatkan masalah kulit kering dan kedut.

    Kesan penuaan terhadap hubungan seksual

    Keperluan hubungan intim tidak semestinya berfaktorkan usia lanjut. Namun begitu, keupayaan fizikal anda mungkin berubah semasa hubungan seks sedang berlangsung.

    Bagi lelaki, proses penuaan boleh memberikan kesukaran kepada mereka untuk mengalami atau mengekalkan ereksi.

    Bagi wanita pula, proses penuaan boleh menyebabkan faraj menjadi kering. Keadaan ini membuatkan hubungan seks menjadi tidak selesa.

    Walau bagaimanapun, masalah-masalah tersebut boleh diatasi dan golongan profesional boleh memberikan nasihat berkenaan dengannya.

    Rumusan

    Penuaan boleh mempengaruhi setiap aspek dalam kehidupan kita, termasuklah kesihatan dan kesejahteraan hidup. Jadi, persiapkanlah diri anda untuk menghadapi proses ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan