backup og meta

Sebelum Kahwin, Tanya Dulu Pasangan Ada Talasemia Atau Tak, Ini Sebabnya!

Sebelum Kahwin, Tanya Dulu Pasangan Ada Talasemia Atau Tak, Ini Sebabnya!

Perkahwinan merupakan detik yang paling bermakna buat setiap individu. Ia menandakan perubahan fasa kehidupan daripada fasa bujang/tanpa tanggungan kepada fasa hidup bersama. Cabaran dan dugaan perlu ditempuhi bersama, namun persoalan berkenaan dengan pembawa talasemia (talasemia alfa atau beta) harus dikenalpasti sebelum berkahwin agar persiapan awal dapat dibuat.

Tanpa rawatan awal, penyakit tersebut boleh mempengaruhi kesihatan dan faktor-faktor lain seperti kewangan, psikologi dan sebagainya. Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya tentang talasemia.

Pembawa talasemia alfa dan beta: Kaitannya dengan masalah genetik

pembawa talasemia

Talasemia adalah penyakit genetik berkaitan dengan darah. Ia menyebabkan pemusnahan sel darah merah akibat ralat pada gen yang tertentu dalam pembuatan sel tersebut menyebabkan masalah anemia.

Sel darah merah penting bagi setiap individu kerana ia membantu menyebarkan oksigen dan nutrisi kepada sel. Di samping itu, ia juga bertanggungjawab dalam membawa bahan kumuh sel (karbon dioksida) ke paru-paru untuk dibuang. 

Bergantung kepada tahap keterukan dan jenis masalah talasemia (talasemia alfa atau beta), pembawa talasemia terpaksa menjalani terapi transfusi darah sekerap sebulan sekali bagi memenuhi kehendak sel badan untuk oksigen dan nutrisi.

Tanpanya, individu terlibat akan mudah mendapat masalah tumbesaran, kecacatan pada bentuk tulang dan pembesaran organ hati dan limpa. 

Namun, perlu diingatkan terapi tersebut bukanlah jalan penyelesaian definitif. Buat masa sekarang, tiada lagi rawatan yang dapat menyembuhkan masalah talasemia (talasemia alfa atau beta) melainkan prosedur pemindahan sumsum tulang.

Walau bagaimanapun prosedur tersebut dianggap radikal, mempunyai kadar mortaliti yang tinggi dan ia bergantung kepada jika terdapatnya penderma sumsum tulang yang ideal.

Mungkin anda berpendapat terapi transfusi darah adalah jalan penyelesaian yang paling ideal namun terapi tersebut mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri.

Beban lebih ferum (Iron overload) boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan seperti masalah jantung, kencing manis, masalah tiroid dan sebagainya.

Ini berikutan proses patologikal beban lebih ferum yang akan menyebabkan pendepositan lebihan zat besi pada organ-organ lain yang menyebabkan kerosakan. 

Pembawa talasemia dan halangan untuk berkahwin: Adakah ia cinta sebenar?

pembawa talasemia

Walaupun tahap kesedaran berkenaan dengan penyakit ini agak rendah, terdapat beberapa individu yang mengambil tindakan drastik memutuskan hubungan mereka kerana kedua-duanya merupakan pembawa (carrier) kepada masalah talasemia (pembawa talasemia).

Kebanyakan garis panduan talasemia menyarankan mereka yang ingin berkahwin untuk melalui ujian saringan dan kaunseling bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik buat pasangan.

Namun, tidak mudah untuk membuat keputusan lebih-lebih lagi jika anda sudah komited terhadap perhubungan tersebut. Apabila dua pembawa penyakit talasemia berkahwin, mereka mempunyai risiko setinggi 25% untuk mendapat bayi yang mempunyai masalah talasemia.

Ujian saringan pranatal dan kaunseling mempunyai peranan yang penting dalam menyediakan kedua pasangan bagi menerima anak yang mempunyai masalah talasemia.

Pengguguran mempunyai isu etika yang kebiasaannya menjadi tabu dalam kepercayaan masyarakat setempat.

Oleh sebab itu, pasangan yang ingin berkahwin, perlu membuat keputusan bagi memastikan anak mereka kelak mempunyai tahap kesihatan yang optimum. Bukan mudah untuk menjadi rasional apabila sesuatu keputusan itu melibatkan perasaan, namun tahap kesanggupan pasangan kebiasaannya menjadi faktor pemisah.

Tiada siapa yang bersalah jika hubungan itu terlerai disebabkan oleh ketidaksanggupan untuk mempunyai anak yang bermasalah talasemia.

Perbincangan perlu dibuat dengan matang dan fikirkan kesannya terhadap semua pihak. Kepada mereka yang ingin meneruskan perkahwinan, jangan lupa untuk melalui ujian saringan talasemia setiap kali anda mengandung.

Persediaan fizikal, mental dan kewangan boleh dibuat. Kedua-dua pasangan mesti komited dalam proses penjagaan bagi mereka yang bermasalah talasemia.

Konklusi

pembawa talasemia

Tanya kepada pasangan anda berkenaan dengan penyakit genetik ini. Jika anda berdua tidak mengetahui status masing-masing, ambillah ujian genetik. Jika kedua-duanya adalah pembawa, buat temu janji untuk sesi kaunseling.

Pastikan anda memahami dengan lebih dalam dan telah mengumpulkan maklumat sebanyak mungkin sebelum membuat keputusan.

Jika anda ragu-ragu, berjumpalah dengan pakar bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Thalassemia. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/thalassemia/symptoms-causes/syc-20354995#:~:text=Thalassemia%20(thal%2Duh%2DSEE,you%20might%20not%20need%20treatment. Accessed June 21, 2022.
  2. What is Thalassemia? https://www.cdc.gov/ncbddd/thalassemia/facts.html. Accessed June 21, 2022.
  3. Thalassemia. https://medlineplus.gov/ency/article/000587.htm. Accessed June 21, 2022.
  4. Thalassemia. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK545151/. Accessed June 21, 2022.
  5. Thalassemias. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/14508-thalassemias. Accessed June 21, 2022.
  6. Thalassaemia carriers. https://www.nhs.uk/conditions/thalassaemia/carriers/. Accessed June 21, 2022.
  7. Alpha Thalassemia. https://kidshealth.org/en/parents/thalassemias.html. Accessed June 21, 2022.
  8. I have a thalassemia trait. https://www.thalassemia.org/i-have-a-thalassemia-trait/. Accessed June 21, 2022.
  9. Alpha Thalassemia. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/alpha-thalassemia. Accessed June 21, 2022.
  10. Hematologic Features of Alpha Thalassemia Carriers. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3920506/. Accessed June 21, 2022.
  11. Pre-Marital Screening for Thalassemia. http://www.myhealth.gov.my/en/pre-marital-screening-for-thalassemia/. Accessed June 21, 2022.
  12. Investigating the reasons for marriage among couples with thalassemia minor, in Iran. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8554895/. Accessed June 21, 2022.

 

Versi Terbaru

21/06/2022

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Ini Jenis Penyakit Darah Yang Anda MESTI Tahu Selain Anemia Dan Talasemia!

Wanita Hamil Ada Talasemia? Ini 4 Risikonya Pada Tubuh Dan Kandungan!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 21/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan