backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bukan Wanita Saja, Kaum Adam Pun Perlu Amalkan Penjagaan Alat Sulit! Ini Tip Untuk Zakar Sihat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 19/10/2022

    Bukan Wanita Saja, Kaum Adam Pun Perlu Amalkan Penjagaan Alat Sulit! Ini Tip Untuk Zakar Sihat

    Zakar yang sihat mestilah bebas luka, ketuat, atau lendiran abnormal. Biasanya, ia berwarna seakan kulit badan, mungkin lebih gelap atau cerah. Untuk memiliki ‘adik’ yang sihat, penjagaan zakar memainkan peranan penting!

    Apabila bercakap mengenai kesihatan zakar, ramai orang mengaitkannya dengan penyakit kelamin (STD) dan mati pucuk (ED).

    Ya, kondisi-kondisi ini sememangnya menjejaskan bahagian intim anda, namun aspek kesihatan zakar merangkumi lebih daripada itu.

    Ini kerana terdapat banyak perkara yang boleh mempengaruhi kesihatan zakar anda; amalan kebersihan, gaya hidup, dan penyakit dihidapi.

    Bersempena Bulan Kesihatan Lelaki, Hello Doktor telah menyediakan beberapa pengetahuan asas berkaitan penjagaan zakar. Jom baca!

    Apa yang menjejaskan kesihatan zakar?

    Terdapat banyak perkara yang boleh menjejaskan zakar seseorang lelaki, dan kesihatan zakar yang dimaksudkan adalah:

    Faktor-faktor berikut boleh mempengaruhi kesihatan zakar anda, seperti:

    • Kebersihan: Mengekalkan kawasan zakar dan pangkal paha bersih adalah cukup mustahak! Penjagaan zakar yang lemah boleh akibatkan pengumpulan smegma, bahan berminyak, busuk, dan iritasi di bawah kulup zakar
    • Seks: Menggunakan kondom dengan betul setiap kali anda bersama adalah satu-satunya cara untuk mengurangkan risiko STD. Seks kasar pula boleh memudaratkan zakar dek kerana risiko ia membengkok/patah
    • Paras hormon: ED boleh dipicu oleh ketidakseimbangan hormon, seperti tahap testosteron yang rendah
    • Umur: Apabila meningkat usia, anda cenderung alami disfungsi seksual seperti ED, kerana tahap testosteron secara semula jadi akan menurun dari masa ke masa
    • Penyakit: Tekanan darah tinggi, diabetes mellitus, dan kondisi neurologi tertentu boleh menyebabkan ED. Masalah psikologi seperti kegelisahan dan kemurungan juga akan memperburukkan lagi ED

    Tip umum penjagaan zakar

    penjagaan zakar

    #1 Makan makanan seimbang

    Makanan seimbang adalah kunci dalam mengurangkan risiko menghidap diabetes dan penyakit jantung, kedua-duanya boleh mengakibatkan mati pucuk!

    Makanan tertentu juga berupaya meningkatkan paras testosteron dan kesuburan anda! Ini merangkumi:

    • Bayam
    • Avokado
    • Makanan pedas dengan capsaicin

    #2 Lakukan senaman secara berkala

    Melakukan aktiviti fizikal dengan bersederhana dapat mengurangkan risiko mati pucuk!

    1 kajian tahun 2015 memerhatikan penderita ED dan myocardial infarction, yang biasanya dikenali sebagai serangan jantung.

    Hasil kajian mendapati bahawa program berjalan kaki dari rumah berupaya mengurangkan mati pucuk.

    Oleh itu, cubalah bersenam sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu, bahkan kerap berjalan kaki sudah dapat meningkatkan kesihatan zakar anda!

    #3 Kekal hidrat

    Minum air dengan mencukupi!

    Penghidratan amat penting untuk kesihatan keseluruhan anda, termasuklah zakar.

    Mati pucuk turut dikatakan mungkin berkaitan dengan dehidrasi, jadi cuba minum sekitar 2 liter air sehari ya!

    #4 Manfaat senaman lantai pelvik

    Senaman lantai pelvik atau lebih popular dengan nama senaman Kegel, sering dikaitkan dengan kesihatan faraj, tapi ramai tidak sedar bahawa ia sebenarnya bagus untuk kedua-dua jantina!

    Kegel dapat tingkatkan kemampuan anda untuk mendapatkan dan mengekalkan ereksi, serta mencegah kebocoran setelah kencing.

    1 kajian kecil pada tahun 2005 dijalankan pada 55 orang penderita ED dan hasil mendapati senaman Kegel membantu 40% peserta mendapatkan semula fungsi ereksi yang normal!

    #5 Mengekalkan berat badan yang sihat

    Mendapat dan mengekalkan berat badan yang sihat amat mustahak!

    Ini kerana, ia bukan sahaja membantu dari segi penampilan badan, malah mengurangkan risiko anda menghidap diabetes, kolesterol tinggi, dan penyakit jantung, yang kesemuanya bakal menjejaskan kesihatan zakar anda.

    #6 Penjagaan zakar ada kaitan dengan stres

    Stres atau tekanan bukan sahaja memberi impak pada kesihatan mental, bahkan fizikal dan termasuklah zakar!

    Mengamalkan pengurusan tekanan amat bermanfaat untuk kesihatan secara menyeluruh, lebih-lebih lagi untuk bahagian sulit anda.

    Untuk makluman, tekanan dan kegelisahan mampu menjejaskan prestasi di ranjang dan kesuburan seksual anda!

    Bukan itu sahaja, ia turut tingkatkan peluang anda menghidap penyakit kardiovaskular, yang boleh menyebabkan ED.

    Teknik pengurusan tekanan merangkumi:

    • Deep breathing
    • Penjurnalan
    • Bermeditasi
    • Luangkan masa dengan orang tersayang

    Penjagaan zakar: Cara-cara mencuci

    Anda harus membersihkan zakar sekurang-kurangnya sekali sehari menggunakan sabun yang ringan.

    Menggunakan sabun dengan kandungan kimia yang kuat dan wangi dapat merengsakan kulit zakar.

    Zakar perlu dicuci pada semua bahagian, termasuk:

    • Skrotum
    • Bulu kemaluan
    • Batang zakar
    • Kawasan antara kaki dan skrotum
    • Kawasan di dalam kulup, jika tidak disunat

    Bagaimana pula penjagaan bulu zakar?

    Sesetengah lelaki suka merapikan bulu kemaluan mereka, namun ada juga yang sebaliknya.

    Sama ada anda memilih untuk membuang bulu alat sulit atau tidak, itu semua terpulang pada diri masing-masing kerana ia adalah keputusan peribadi.

    Tapi, bagi yang ingin merapikan bulu, ada beberapa opsyen yang boleh dicuba! Antaranya:

    penjagaan zakar

    1. Mencukur: Mencukur adalah kaedah yang paling tidak menyakitkan! Pastikan untuk mencukur ke arah yang sama dengan bulu menumbuh. Gunakan juga krim pencukur semasa bercukur dan sapukan krim kortison selepasnya untuk mengurangkan kegatalan. Jangan sekali-kali berkongsi pisau cukur dengan orang lain tau!
    2. Waxing: Waxing melibatkan penggunaan lilin hangat pada kulit dan menarik bulu dari folikel. Waxing agak menyakitkan berbanding mencukur dan semuanya bergantung pada toleransi kesakitan anda. Sekiranya tidak dilakukan dengan betul, kaedah penyingkiran bulu ini boleh menyebabkan bengkak dan ruam.
    3. Trim: Anda boleh merapikannya dengan gunting atau perapi elektrik. Pastikan untuk membasmi kuman sebelum dan selepas digunakan.

    Demikian adalah beberapa tip yang dapat dikongsikan berkenaan penjagaan zakar.

    Ternyata ia cukup penting dalam mengekalkan kesihatan zakar pada tahap yang optimum!

    Jika wujud sebarang persoalan atau kebimbangan di minda, usah segan silu untuk menemui doktor dan mendapatkan diagnosis yang tepat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 19/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan