Walaupun secara fizikalnya telur ayam yang ingin dimakan nampak elok seperti biasa, namun anda mungkin tidak tahu bahawa ia telah tercemar dengan bakteria walaupun telur masak.
Contoh telur busuk merupakan antara tanda telur telah dicemari dengan bakteria Salmonella. Ini ciri-ciri telur yang telah tercemar serta tip jika hendak memilih telur elok.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Penyakit Berjangkit, anda boleh klik di sini.
Bagaimana telur ayam boleh dicemari bakteria Salmonella?
Untuk pengetahuan anda, telur ayam atau mana-mana telur lain boleh dicemari dengan bakteria Salmonella melalui dua cara.
Pertama, ketika telur tersebut masih dalam proses pembentukannya di dalam perut ayam.
Pada ketika ini, bakteria Salmonella sudah menjangkiti isi telur walaupun sebelum kulit telur terbentuk.
Kedua, bakteria boleh mencemari telur sewaktu telur telah dikeluarkan daripada ayam.
Pada waktu ini, Salmonella memasuki telur disebabkan oleh najis dan kotoran ayam yang melekat pada kulit telur.
Perlu diketahui bahawa kulit telur mempunyai lubang-lubang atau pori kecil yang memungkinkan bakteria untuk masuk ke dalam menerusi pori-pori tersebut.
Tanda telur dicemari bakteria
Sebenarnya, tidak terdapat sebarang ciri atau tanda khusus yang menunjukkan bahawa sesuatu telur itu telah dicemari dengan bakteria Salmonella, tidak kiralah sama ada telur yang masih mentah atau telur masak.
Kewujudan bakteria ini hanya dapat diketahui melalui ujian makmal dan tidak boleh dilihat melalui penglihatan mata kasar.
Namun, jika anda ke pasar, elakkan memilih telur yang mempunyai tanda-tanda berikut pada kulitnya:
- Kulit telur retak
- Terdapat banyak najis atau kotoran yang melekat pada kulit
- Kulit telur terlalu nipis
- Pori-pori telur terlalu besar
Jika anda tidak membeli telur dengan tanda-tanda sedemikian, maka anda kurang berisiko untuk mendapat penyakit seperti keracunan makanan akibat daripada bakteria Salmonella.
Tip pilih telur ayam
Walaupun bakteria Salmonella tidak dapat dilihat dengan mata kasar, akan tetapi anda boleh mengurangkan risiko daripada memakan telur yang dicemari dengan bakteria ini.
Caranya adalah seperti berikut:
Ketika membeli telur:
- Jika ada telur yang disimpan di peti penyejuk, ambil telur tersebut berbanding telur yang disimpan pada suhu bilik
- Pastikan kotak atau bekas telur tidak rosak dan kotor
- Jangan beli telur yang sudah retak
Ketika menyimpan telur:
- Sebaiknya, cuci bersih telur terlebih dahulu sebelum disimpan untuk mengelakkan pencemaran silang
- Simpan telur dalam peti sejuk di rumah
- Jika anda ingin menyimpan telur masak, pastikan ia dimakan dalam tempoh 3 atau 4 hari sahaja
- Jangan biarkan telur yang telah masak di tempat terbuka lebih dari 2 jam
Ketika memasak telur:
- Buat telur masak dengan sempurna. Elakkan makan telur separuh masak atau telur mentah
- Jika merebus telur ayam, pastikan anda merebus sekurang-kurangnya 8 minit
- Cuci bersih peralatan dapur yang bersentuhan dengan telur mentah menggunakan sabun
- Jika anda memerlukan hidangan telur separuh masak, cuba dapatkan telur yang berkualiti tinggi seperti telur omega
- Elakkan merasa adunan yang dicampur dengan telur mentah
Simptom dijangkiti bakteria Salmonella
Apakah tanda jika anda dijangkiti dengan bakteria Salmonella? Biasanya, mereka yang telah dijangkiti bakteria ini akan mengalami beberapa gejala seperti sakit perut, cirit-birit, demam dan kekejangan pada perut.
Gejala-gejala ini akan muncul dalam tempoh 6 jam sehingga 6 hari bermula daripada pendedahan pertama dengan makanan yang telah tercemar.
Walaupun jangkitan bakteria ini boleh sembuh dengan sendirinya, tetapi anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor jika mengalami simptom-simptom yang agak serius seperti di bawah ini:
- Rasa terlalu haus
- Cirit-birit yang berlarutan sehingga dua hari
- Sukar untuk membuang air kecil
- Muntah tanpa henti atau melebihi dua hari
- Demam dengan suhu badan melebihi 39 darjah Celsius
- Pening kepala
- Mulut mengalami kekeringan
Oleh sebab itu, untuk mengelakkan anda dijangkiti Salmonella, pastikan anda membeli telur dengan kualiti yang bagus dan memasaknya dengan sempurna bagi mematikan bakteria yang mungkin ada dalam telur tersebut.