backup og meta

Hari Statistik Dunia 20 Okt: Angka Kesihatan Mental Dunia Meningkat Angkara COVID-19

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/12/2022

    Hari Statistik Dunia 20 Okt: Angka Kesihatan Mental Dunia Meningkat Angkara COVID-19

    Dalam sibuk mencari penawar untuk melawan pandemik COVID-19, adakalanya kita terlupa untuk menjaga aspek kesihatan mental.

    Pandemik COVID-19

    Bermula dengan sekadar wabak biasa, jangkitan Novel Coronavirus – kini dikenali sebagai COVID-19 – mula dikesan pada bulan Disember 2019 telah berkembang menjadi status pandemik global.

    Masih ketiadaan vaksin lagi, rawatan yang dilakukan kini hanya memfokuskan kepada individu dengan simptom serta langkah pencegahan untuk mereka yang berisiko dijangkiti.

    Kebanyakan negara telah mengambil tindakan berjaga-jaga untuk membendung penularan COVID-19 dengan langkah seperti kawalan pergerakan, amalan jarak sosial serta melakukan kuarantin diri.

    Pun begitu, tanpa disedari penularan wabak penyakit itu sendiri boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental.

    Bersempena Hari Statistik Dunia yang disambut setiap 20 Oktober, jom kita lihat statistik kesihatan mental dunia kesan daripada penularan wabak pandemik COVID-19 ini. 

    COVID-19 & impaknya pada kesihatan mental individu

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pengamal perubatan dan kesihatan awam seluruh dunia menyeru agar setiap individu mengamalkan penjarakan sosial dalam kehidupan seharian. 

    Ini bermaksud setiap individu disarankan untuk mengelakkan kawasan sesak, perhimpunan besar-besaran atau mengadakan hubungan rapat dengan individu yang berisiko bagi menghindari penyebaran virus.

    Namun, ia sebenarnya bertentangan dengan sifat manusia sebagai makhluk yang gemar bersosial.

    Gangguan kesihatan melibatkan mental

    Oleh itu, penjarakan sosial bukan hanya menguji keupayaan manusia untuk bekerjasama. 

    Tetapi dalam masa yang sama mewujudkan pelbagai implikasi pada mental seperti ketakutan, kegelisahan, kesedihan dan kemurungan.

    Ketakutan dan kegelisahan terhadap wabak pandemik COVID-19 berbahaya menambahkan lagi tekanan mental terhadap diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

    pandemik COVID-19

    Tidak dinafikan, amalan jarak sosial dapat meminimumkan hubungan sosial. Keadaan tersebut sekali gus dapat membantu mengekang penularan wabak COVID-19

    Walau bagaimanapun, dalam masa sama amalan penjarakan itu sedikit sebanyak akan menjejaskan irama sosial yang turut dianggap sebagai mekanisme untuk menghilangkan tekanan.

    Kesannya, ia menjadikan tahap kesihatan mental seseorang individu terpaksa dipertaruhkan. 

    PBB beri amaran peningkatan krisis kesihatan mental

    Menurut pakar kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), krisis kesihatan jiwa dan mental semakin meningkat apabila berjuta-juta individu di seluruh dunia dikelilingi kematian dan penyakit.

    Keadaan semakin parah apabila mereka dipaksa untuk melakukan pengasingan diri selain berdepan masalah kemiskinan dan kegelisahan kesan wabak pandemik COVID-19.

    Bagi Pengarah Jabatan Kesihatan Mental WHO, Devora Kestel, “Pengasingan, ketakutan, ketidakpastian, kemelut ekonomi – semuanya boleh menyebabkan tekanan psikologi.”

    Dalam pembentangan laporan berkaitan keadaan mental dunia, masyarakat di beberapa kawasan dan bahagian dunia dikatakan lebih terdedah dengan risiko mengalami tekanan jiwa. 

    Ini turut melibatkan kanak-kanak serta individu belia muda yang terpaksa mengasingkan diri daripada rakan dan sekolah.

    Impak tekanan jiwa juga berisiko dialami pekerja dalam sektor kesihatan kesan daripada keterpaksaan untuk melihat ribuan pesakit dijangkiti dan mati akibat jangkitan COVID-19.

    Kajian dan tinjauan menunjukkan kesan COVID-19  terhadap kesihatan mental di seluruh dunia. 

    Ahli psikologi mengatakan kanak-kanak cenderung berasa cemas dan peningkatan kes kemurungan dan kegelisahan telah direkodkan di beberapa negara. 

    Bukan itu sahaja, kes yang melibatkan keganasan rumah tangga atau penderaan domestik juga meningkat.

    Statistik tekanan mental kesan COVID-19

    Terdapat laporan mingguan CDC dalam kajian melibatkan individu dewasa di Amerika Syarikat berkaitan dengan pandemik COVID-19.

    Hasil laporan menunjukkan kebanyakan individu belia, kaum/etnik minoriti, pekerja bahagian penting yang tidak menerima gaji mengalami masalah kesihatan mental yang serius.

    Lebih membimbangkan wujud peningkatan keinginan untuk membunuh diri.

    Sumber @ www.cdc.gov/

    Satu tinjauan berskala besar telah dilakukan mengenai tekanan psikologi yang melibatkan seluruh penduduk China semasa gejolak wabak pendemik COVID-19.

    Hasil keputusan tinjauan mendapati beberapa kumpulan individu adalah lebih berisiko cenderung mengalami masalah psikologi.

    Mereka adalah termasuk wanita, individu dewasa muda yang memperoleh maklumat daripada media sosial dan mencetuskan tekanan, warga tua berisiko untuk kematian serta pekerja migran terjejas oleh krisis ekonomi. 

    Satu kajian tinjauan lain turut dilakukan di China, namun ia hanya melibatkan 1,257 pekerja sektor kesihatan yang perlu berdepan dengan pesakit COVID-19.

    Daripada hasil tinjauan, 50.4% daripadanya dilaporkan mengalami gejala kemurungan, 44.6% tanda-tanda kegelisahan, 34% insomnia dan 71.5% berdepan tekanan. 

    Walau bagaimanapun, data statistik di Malaysia mengenai kesan wabak COVID-19 ini terhadap kesihatan mental adalah terhad.

    Pun begitu, menurut Prestasi Penjagaan Kesihatan Mental Malaysia (Malaysian Mental Healthcare Performance) pada tahun 2016, gangguan mental individu dianggarkan pada 8.6%.

    Pastinya dengan penularan wabak COVID-19 yang berterusan ini, anda boleh menjangkakan peningkatan angka-angka ini secara mendadak. 

    covid-19

    Buangkan stigma

    Dalam menangani masalah melibatkan psikologi ini, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mengubah stigma individu bagi mendorong lebih ramai tampil mendapatkan rawatan.

    Pastinya, cara terbaik adalah dengan mendapatkan rawatan jika anda ada tanda-tanda mengalami kesihatan mental, apatah lagi dalam kita masih berusaha mencari penawar COVID-19 ini. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan