backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

3

Tanya Doktor
Simpan

Air Ketum Jadi Minuman Tenaga? Semak Dulu Baik Buruknya!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20 jam lalu

Air Ketum Jadi Minuman Tenaga? Semak Dulu Baik Buruknya!

Air ketum merupakan sejenis minuman yang ramai percaya ia ‘ajaib’ kerana dikatakan mampu memberi tenaga dan motivasi untuk tubuh badan bekerja.

Di negara kita juga, minuman yang berasal daripada tumbuhan daun ketum ini adalah sangat popular meskipun statusnya yang diharamkan untuk diambil.

Mungkin sebenarnya kita juga boleh menyamakan daun ketum ini dengan daun ganja di mana ia dipercayai bagus namun diharamkan di sesetengah tempat.

Persoalannya, apakah benar minuman air ketum bermanfaat pada kesihatan? Jika ya, kenapa ia diharamkan? Jom ikuti artikel ini untuk tahu lebih lanjut!

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Rawatan Tradisional & Herba, anda boleh klik di sini.

Apa itu air ketum?

Untuk pengetahuan anda, ketum (Mitragyna speciosa) adalah sejenis tumbuhan yang banyak wujud di benua Asia Selatan termasuklah Malaysia.

Ekstrak daripada daun ketum ini seringkali dijadikan sebagai stimulan atau sedatif yang kononnya mampu memberi tenaga dan motivasi kepada pengguna.

Jika anda masih belum tahu, air ketum ini diharamkan untuk digunakan di negara kita, Thailand, Australia serta beberapa negara di benua Eropah.

Pun begitu, minuman yang berasal daripada tumbuhan ketum ini tiada masalah untuk digunakan sebagai ubat alternatif di negara seperti Amerika Syarikat.

Apa yang mungkin akan membuat kita semua terfikir dan tertanya adalah, adakah wujud sebarang manfaat pengambilan air ketum terhadap kesihatan?

Apa manfaat air ketum?

Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, ada individu yang mengambilnya dalam usaha mendapatkan lebih tenaga dan motivasi kepada tubuh badan.

Mungkin ia benar kerana pada dos yang rendah, minuman ketum memang mampu berfungsi sebagai stimulan atau sedatif untuk merangsang tubuh badan manusia.

Hasilnya, ia mungkin akan mampu membuat pengambil minuman daripada tumbuhan ini lebih cergas, kuat dan berasa lebih baik dari aspek fizikal serta mental.

Menurut kajian European Monitoring Centre for Drugs and Drug Addiction (EMCDDA), dos kecil minuman ketum mungkin mampu memberikan kesan positif seperti berikut:

  • Kepekaan
  • Ketenangan
  • Kecergasan
  • Kekuatan

Selain daripada 4 aspek di atas, ia juga dipercayai mampu merawat sakit seperti sengal otot, lemah sendi, kepenatan, kegelisahan serta pelbagai keadaan kesihatan lain.

air ketum
Lakukan senaman sebagai cara yang lebih baik untuk tenangkan diri.

Ia mungkin adalah disebabkan oleh kandungan alkaloids mitragynine and 7-hydroxymitragyni di dalamnya yang mampu merangsang fungsi tubuh badan.

Pun begitu, sudah pasti ada sebab yang tersembunyi ekoran pengharaman minuman tumbuhan ini di sesetengah negara bukan? Jom teruskan membaca untuk tahu!

Kenapa ia diharamkan di banyak negara?

Ada dalam kalangan pengguna minuman ketum menyangka bahawa pengambilannya adalah tidak salah ekoran ia merupakan sejenis tumbuhan yang biasa ditanam.
air ketum
Ada negara yang mengharamkan penanaman ketum.
Hakikatnya, kerajaan negara kita serta beberapa negara lain mungkin tidak bersetuju dengannya kerana masih belum banyak kajian yang mengesahkan manfaatnya.
Dalam pada itu, pelbagai kajian terkini telah mengesahkan bahawa lebih banyak kontra berbanding pro mengambilnya jika dilihat pada sudut kesan sampingannya.
Antara kesan sampingan yang mungkin boleh terjadi akibat minuman daun ketum ini termasuklah:

Kesan pada fizikal

  • Penurunan berat badan secara mendadak
  • Hilang selera makan
  • Badan menggigil
  • Badan berpeluh
  • Kering mulut
  • Mual-mual
  • Muntah-muntah
  • Sistem perkumuhan terjejas
  • Sakit tubuh badan
  • Rosak organ hati

Kesan minuman ketum pada mental

  • Sakit kepala
  • Mabuk, khayal atau tidak keruan
  • Perubahan mood
  • Berhalusinasi
  • Berdelusi
  • Stres
  • Depresi
serbuk pati
Serbuk daun yang telah diproses.

Perhatian!

Minuman daripada tumbuhan daun ketum ini dikhuatiri mampu menyebabkan masalah lebih besar jika diambil dalam dos yang terlalu banyak.

Antara kesan sampingan air ketum yang paling ditakuti adalah kemungkinan pengguna mengalami sawan, koma atau lebih teruk lagi, meninggal dunia.

Wajar untuk teruskan atau hentikan?

Malangnya, masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang percaya dan minum ketum terutamanya mereka yang masih kurang pengetahuan tentangnya.

Ini juga mungkin disebabkan ketagihan ataupun keperluan mereka mengambilnya untuk memenuhi kemahuan tubuh badan pengguna yang sudah terbiasa meneguk minuman ini.

Sebenarnya, wujud juga kemungkinan di mana kecergasan serta kekuatan yang didapati selepas minum ketum adalah didalangi oleh efek plasebo sahaja.

Konklusinya, adalah sangat disarankan untuk anda mengelakkan daripada mengambil minuman jenis ini kerana ternyata lebih banyak kontra daripada pro terhadap tubuh badan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20 jam lalu

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan