backup og meta

Untuk Kaum Lelaki, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kesihatan Prostat

Untuk Kaum Lelaki, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kesihatan Prostat

Prostat adalah salah satu organ penting untuk orang lelaki. Ia boleh mengalami beberapa masalah yang sering diabaikan. Antara masalah prostat yang sering berlaku seperti pembesaran prostat dan juga radang prostat. 

Ketahui dengan lebih lanjut mengenai apa itu prostat dan gangguan yang boleh berlaku terhadapnya.  

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.

Apakah kelenjar prostat?

Prostat merupakan salah satu organ yang berada dalam sistem pembiakan kaum lelaki dan ia terletak di bawah pundi kencing. 

Saiz prostat agak kecil dan lembut. Ia dianggarkan sebesar antara saiz kacang walnut atau bola ping-pong. Fungsi utama prostat adalah menghasilkan air mani. 

Selain itu, prostat juga berperanan mengeluarkan hormon dan mengawal pembuangan air kencing. Prostat terletak jauh di dalam pelvis, iaitu antara zakar dan juga pundi kencing. 

Anda boleh merasakan kewujudan kelenjar prostat dengan meletakkan jari ke dalam rektum dan menekan ke arah bahagian hadapan. 

Uretra, tiub yang membawa air kencing dan air mani keluar dari badan, akan melalui prostat. Memandangkan kelenjar prostat mengelilingi tiub ini, maka sebarang masalah prostat juga boleh mempengaruhi aliran air kencing.

Apakah fungsi kelenjar prostat?

Membantu menghasilkan air mani

Fungsi utamanya adalah menyumbang cecair prostat kepada air mani. Menurut kajian, prostat menyumbang antara 20-30% daripada keseluruhan kandungan air mani. 

Selebihnya berasal dari vesikel mani (50–65%) dan testis (5%). Cecair prostat mengandungi komponen yang menjadikan air mani sebagai bahan yang ideal untuk sel sperma hidup.

Antara kandungan yang terkandung dalam cecair prostat termasuklah enzim,  zink dan asid sitrik. Salah satu enzim penting ialah antigen khusus prostat (PSA), yang membantu menjadikan air mani lebih nipis dan cair. 

Cecair dalam air mani membantu sperma bergerak ke uretra dan terus bertahan dalam perjalanannya menuju telur, untuk tujuan pembiakan. 

Cecair prostat adalah sedikit berasid, namun komponen air mani lain menjadikannya beralkali secara keseluruhan.

Ini adalah untuk mengatasi sifat keasidan faraj dan melindungi sperma daripada sebarang kerosakan.

Menutup uretra semasa ejakulasi

Semasa ejakulasi berlaku, prostat akan menguncup dan menyalurkan cecair prostat ke dalam uretra. 

Di sini, ia bercampur dengan sel sperma dan cairan dari vesikel mani untuk menghasilkan air mani. Ia kemudiannya akan dikeluarkan oleh tubuh. 

Ketika prostat berkontraksi semasa ejakulasi, ia akan menutup bukaan antara pundi kencing dan uretra, dan mendorong pengeluaran air mani dengan cepat. 

Oleh sebab itu, sangat mustahil untuk membuang air kecil dan mengalami ejakulasi secara serentak.

Menghasilkan hormon

Prostat memerlukan androgen, yang merupakan hormon seks lelaki, seperti testosteron untuk berfungsi dengan betul. 

Prostat mengandungi enzim yang disebut 5-alpha-reductase, yang mengubah testosteron menjadi bentuk aktif secara biologi yang disebut dihydrotestosteron (DHT). 

Hormon ini penting untuk perkembangan dan fungsi prostat yang normal. 

Bagi kaum lelaki yang sedang dalam proses kedewasaan, adalah sangat penting untuk mengalami perkembangan ciri seks sekunder, seperti rerambut atau bulu pada wajah.

Apa yang akan dialami sekiranya mengalami masalah pada prostat?

masalah prostat

Gangguan pada prostat sering menyebabkan masalah ketika anda ingin membuang air kecil seperti

  • Kawalan pundi kencing yang lemah lalu menyebabkan anda kerap membuang air kecil
  • Rasa kerap ingin membuang air kecil walaupun sedikit
  • Mengalami kesukaran ketika hendak membuang air kencing atau menghentikan air kencing
  • Aliran air kencing yang lemah atau sedikit
  • Masalah dengan fungsi seksual
  • Jangkitan saluran kencing
  • Batu karang
  • Dalam kes yang teruk, boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Sekiranya seseorang tidak dapat membuang air kecil, mereka harus mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. 

Anda juga perlu berjumpa doktor sekiranya mengalami gejala seperti berikut:

Apakah keadaan atau gangguan yang boleh berlaku pada prostat?

Terdapat beberapa keadaan kesihatan atau gangguan yang boleh berlaku pada kelenjar prostat. Antaranya ialah: 

Prostatitis (Radang prostat)

Prostatitis adalah pembengkakan atau keradangan prostat yang kerap berlaku. Ia adalah masalah prostat yang paling biasa terjadi dalam kalangan lelaki di bawah umur 50 tahun. 

Prostatitis akut adalah radang prostat yang berlaku secara tiba-tiba. Ia boleh terjadi disebabkan jangkitan bakteria. 

Radang prostat ini akan muncul secara tiba-tiba dan cepat sembuh dengan rawatan antibiotik yang sesuai. 

Apabila radang prostat berlangsung selama lebih dari 3 bulan, ia dikenali sebagai prostatitis kronik atau sindrom kesakitan pelvis kronik.

Pembesaran prostat

radang prostat

Prostat yang membesar juga dikenali sebagai hipertrofi prostat yang tidak berbahaya (BPH). Ia adalah masalah prostat yang paling biasa berlaku pada lelaki yang lebih berusia. 

Apabila kelenjar prostat membesar, ia akan menekan dan menyempitkan tiub uretra. Penyempitan uretra dan kurangnya keupayaan untuk mengosongkan pundi kencing boleh menyebabkan banyak masalah yang berkaitan dengan keadaan ini. 

Sekiranya keadaan ini berterusan, pundi kencing akan menjadi lemah dan tidak dapat dikosongkan dengan betul. 

Dalam beberapa kes yang serius, ia boleh menyebabkan anda tidak mampu untuk membuang air kencing. Masalah ini disebut sebagai pengekalan kencing (urinary retention), yang memerlukan pemeriksaan doktor dengan segera.

Kanser prostat

Menurut American Cancer Society, kanser prostat adalah jenis kanser yang paling biasa berlaku pada lelaki selepas kanser kulit.

Daripada segi puratanya, setiap 1 daripada 9 orang lelaki akan mengalami kanser ini pada umur 66 tahun. 

Bagaimana untuk mendiagnosis masalah pada prostat?

Bagi menentukan sebarang masalah yang sedang berlaku pada prostat anda, ada beberapa ujian yang perlu dilakukan oleh doktor seperti:

Pemeriksaan rektum digital

Doktor akan menggunakan sarung tangan khas dan memasukkan jari ke dalam rektum dan menyentuh prostat. 

Kaedah ini dilakukan untuk mengesan sebarang pembentukan benjolan, nodul dan tanda-tanda kanser.

Antigen khusus prostat (PSA)

Ujian darah dapat menilai tahap PSA ini. Tahap yang tinggi menunjukkan peningkatan risiko untuk mengalami kanser prostat.

Biopsi prostat

Sekiranya doktor mengesyaki kewujudan kanser prostat, mereka boleh mengambil sampel kecil tisu prostat untuk diuji. Bagi melakukan ujian ini, doktor akan memasukkan jarum ke dalam prostat melalui rektum.

Ultrasound prostat

Kaedah ini juga disebut sebagai transrectal ultrasound, di mana doktor akan memasukkan sejenis alat kecil ke dalam rektum dan meletakkannya berhampiran dengan prostat. 

Doktor biasanya akan melakukan biopsi dengan bimbingan ultrasound.

MRI prostat

Kaedah MRI ini boleh menunjukkan anatomi prostat dengan lebih terperinci, termasuk mengenal pasti kawasan yang disyaki mengalami kanser. 

Teknologi baharu seperti ini membolehkan doktor membuat sasaran di kawasan ini melalui biopsi gabungan MRI dan juga ultrasound.

Kesimpulan

Masalah prostat adalah antara keadaan biasa yang berlaku pada lelaki. Jadi, jika anda mendapati diri mempunyai tanda-tanda seperti yang disenaraikan, segera berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anil Bhavsar, Sadhna Verma, “Anatomic Imaging of the Prostate”, BioMed Research International, vol. 2014, Article ID 728539, 9 pages, 2014. https://doi.org/10.1155/2014/728539

InformedHealth.org [Internet]. Cologne, Germany: Institute for Quality and Efficiency in Health Care (IQWiG); 2006-. How does the prostate work? 2011 Feb 15 [Updated 2016 Aug 23]. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK279291/

https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/prostate-problems

https://www.pcf.org/about-prostate-cancer/what-is-prostate-cancer/prostate-gland/

https://www.cdc.gov/cancer/prostate/index.htm

https://www.cancer.org/cancer/prostate-cancer/about/key-statistics.html

https://www.cancer.org/cancer/prostate-cancer/detection-diagnosis-staging/acs-recommendations.html

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Jangan Buat Tak Endah Hal Berkaitan Prostat, Ini 5 Cara Pastikan Ia Kekal Sihat & Kuat!

Mudah Saja Nak Dapatkan Prostat Yang Sihat, Salah Satunya Kena Banyak Minum Kopi- Kajian


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan