backup og meta

Mudah Saja Nak Dapatkan Prostat Yang Sihat, Salah Satunya Kena Banyak Minum Kopi- Kajian

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/11/2021

    Mudah Saja Nak Dapatkan Prostat Yang Sihat, Salah Satunya Kena Banyak Minum Kopi- Kajian

    Mungkin ada yang menganggap kelenjar prostat sebagai organ yang tidak penting, namun peranannya dalam hubungan seksual dan sistem reproduktif manusia tidak boleh disangkal.

    Tanpa prostat, sperma yang dihasilkan oleh testis tidak dapat digerakkan ke arah ovum bagi memulakan proses persenyawaan.

    Kesihatan prostat merupakan antara elemen penting dalam memastikan kualiti hidup lelaki berada pada paras yang optimum.

    Masalah seperti kanser prostat lazim didiagnosis di seluruh dunia terutamanya bagi mereka yang sudah mencecah usia 65 tahun ke atas atau mempunyai sejarah kanser prostat dalam keluarga.

    Ia merupakan keadaan kesihatan yang boleh mengganggu fungsi prostat. Oleh sebab itulah langkah terbaik yang boleh kita ambil adalah untuk menghindarkan penyebab prostat (kanser).

    Artikel ini akan membincangkan tip yang boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan prostat supaya hubungan seksual berjalan lancar. 

    #1 Ambil banyak makanan berserat seperti buah dan sayur

    Walaupun kebanyakan individu sedar akan kepentingan mengambil buah dan sayur dalam pemakanan seharian, namun masih ramai yang tidak mencapai kadar saranan yang ditetapkan oleh pakar.

    Menurut Akademi Dietetik dan Nutrisi, setiap individu perlu mengambil 25 hingga 30g makanan berserat setiap hari.

    Ia boleh membantu mengurangkan risiko kanser selain daripada membekalkan vitamin dan mineral yang diperlukan oleh manusia.

    Pengambilan sayuran dan buahan dalam pelan pemakanan anda boleh mengurangkan kecenderungan untuk mengambil makanan ringan kelak.

    Ini bermakna, bukan sahaja makanan berserat baik untuk prostat, ia juga boleh mencegah daripada pelbagai jenis kanser yang disebabkan obesiti.

    #2 Ambil minuman kopi secara kerap, namun kawal amaun

    penyebab prostat

    Mungkin anda tidak gemarkan kopi. Tidak perlu risau, anda boleh ambil apa sahaja jenis minuman, asalkan ia mengandungi kafein seperti teh.

    Teh juga mengandungi pelbagai jenis kompaun antioksida yang berupaya untuk merendahkan risiko penyebab prostat (kanser).

    Menurut kajian metaanalisis yang diterbitkan oleh Universiti Perubatan Guangxi pada tahun 2014, pengambilan 4 ke 5 cawan kopi sehari boleh merendahkan risiko kanser prostat.

    Kesan penurunan yang boleh dinikmati penggemar kopi boleh mencecah 11 peratus bagi setiap 3 cawan kopi yang diambil.

    Walau bagaimanapun, anda perlu berpada-pada dalam mengambil minuman yang mengandungi kafein.

    Kajian menunjukkan pengambilan kafein pada kepekatan 400 mg sehari masih selamat untuk kebanyakan orang dewasa (kira-kira 4 cawan kopi).

    Walau bagaimanapun, anda perlu ingat, bukan semua jenis kopi mengandungi jumlah kafein yang sama.

    Oleh itu, cuba kekalkan pengambilan kopi di antara 2 hingga 3 cawan sehari.

    #3 Jangan takut hendak ambil makanan berlemak

    Mungkin anda paranoid apabila mendengar istilah lemak. Namun, bukan semua lemak tidak baik untuk badan.

    Kajian yang diterbitkan oleh Universiti Waterloo pada tahun 2014 menunjukkan kaitan di antara pengambilan lemak haiwan dan risiko kanser prostat.

    Oleh itu, anda digalakkan untuk menukar makanan yang berasaskan lemak haiwan kepada makanan yang berasaskan lemak tumbuhan.

    Sebagai contoh:

    • Minyak zaitun
    • Buah avokado
    • Kekacang

    Anda juga boleh menggantikan sebarang makanan berdaging dengan ikan salmon yang kaya dengan khasiat dan lemak yang baik untuk kesihatan badan.

    Cuba juga untuk elakkan daripada ‘terlebih masak’ daging memandangkan tindakan tersebut boleh menghasilkan kompaun pencetus kanser yang dikenali sebagai karsinogen.

    #4 Berhenti merokok, ia punca kepada pelbagai jenis kanser termasuk kanser prostat

    penyebab prostat

    Bukan kanser prostat sahaja. Tabiat merokok telah dibuktikan melalui kajian saintifik sebagai punca kepada pelbagai jenis kanser seperti kanser peparu, kolorektal dan sebagainya.

    Pesakit kanser prostat yang merokok juga lebih cenderung untuk mendapat semula kanser selepas sembuh dan risiko mereka untuk mati juga meningkat.

    Mungkin anda rasa sukar untuk berhenti merokok, namun kita mempunyai pelbagai jenis alternatif profesional bagi membantu anda berhenti merokok.

    Pesakit kanser prostat yang telah berhenti merokok lebih daripada 10 tahun mempunyai risiko kematian yang lebih kurang sama dengan mereka yang tidak merokok.

    Oleh itu, tunggu apa lagi? Inilah masanya untuk anda berhenti merokok.

    #5 Jangan mudah percaya maklumat penyebab prostat (kanser) yang menimbulkan kontroversi

    Walaupun kajian menunjukkan terdapat beberapa jenis makanan yang boleh meningkatkan risiko kanser prostat, namun kesahihan dapatannya masih boleh dipersoalkan.

    Malahan, kajian susulan seringkali menunjukkan dapatan yang berbeza.

    Dalam kes sebegini, lebih elok jika anda rujuk kepada doktor yang merawat bagi mendapatkan nasihat kesihatan serta tindakan susulan yang wajar diambil.

    Sebagai contoh, makanan tenusu. Terdapat kajian yang menunjukkan peningkatan risiko kanser prostat bagi mereka yang kerap mengambil makanan tenusu.

    Jika ia benar, maka langkah pencegahan prostat yang wajar diambil adalah untuk menghindari makanan tersebut.

    Namun dapatan daripada kajian berbeza menunjukkan percanggahan yang ketara.

    Keadaan ini bermakna, tiada kata putus lagi yang boleh dibuat berkenaan dengan risiko kanser prostat terhadap sesuatu pemalar.

    Maka, langkah yang paling munasabah adalah untuk anda merujuk kepada doktor yang bertauliah.

    Konklusi

    Langkah pencegahan kanser prostat perlu diambil lebih awal bagi mengelakkan keadaan kesihatan tersebut daripada berlaku sama sekali.

    Ia bukan sahaja boleh memberikan impak terhadap kesihatan hubungan seksual anda, malah kesihatan tubuh badan secara menyeluruh.

    Jika tindakan selanjutnya tidak diambil, proses patologi kanser prostat boleh mempengaruhi keupayaan dan kesihatan hubungan seksual anda. Oleh itu, ayuh kita berusaha cegah kanser prostat!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan