home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

7 Tanda Penyakit Buah Pinggang Yang Harus Anda Perhatikan, Jangan Biar Ia Semakin Parah!

7 Tanda Penyakit Buah Pinggang Yang Harus Anda Perhatikan, Jangan Biar Ia Semakin Parah!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.

Sakit buah pinggang sudah menjadi salah satu beban dari segi kesihatan buat negara kita. Pasti ramai yang tidak tahu bahawa buah pinggang kita adalah sama penting dengan otak dan jantung.

Oleh itu, mari kenali organ ini dengan lebih lanjut. Selepas membaca artikel ini, pasti anda terkejut akan kemampuan buah pinggang anda. Jangan pandang rendah, ya!

Kenali buah pinggang anda

Buah pinggang adalah sepasang organ utama bagi tubuh yang berbentuk seperti kacang. Ia terletak di bahagian belakang abdomen, betul-betul di bawah tulang rusuk anda.

Buah pinggang di sebelah kanan terletak lebih rendah berbanding pasangannya di sebelah kiri kerana organ hati telah menolaknya ke bawah.

Syukurlah organ penting ini datang secara berpasangan, kerana tubuh anda hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu buah pinggang untuk meneruskan kehidupan.

Fungsi buah pinggang

sakit buah pinggang

Organ ini adalah sebahagian daripada sistem urinari yang berfungsi untuk menapis bahan-bahan tertentu daripada darah untuk dibuang melalui air kencing.

Tahukah anda buah pinggang adalah organ pertama yang menerima darah? Mengejutkan bukan?

Hal ini kerana di dalamnya terdapat unit penting bergelar nephron yang bertanggungjawab untuk menjalankan proses penapisan darah.

Setiap buah pinggang mengandungi sekurang-kurangnya 1,000,000 nephron!

Semasa darah melalui nephron, sebahagian daripada bahan kumbahan badan akan dibuang melalui air kencing, manakala sebahagian lain akan dikembalikan semula ke dalam darah.

Jika sakit buah pinggang berlaku, di mana terdapat kerosakan atau kecederaan pada nephron, proses penapisan akan terjejas.

Bahan-bahan kumbahan badan akan berkumpul di pundi kencing melalui tiub ureter. Rasa ingin kencing akan datang apabila air kencing yang terkumpul di dalam pundi mencecah kira-kira 240 ml.

Selain membuang bahan toksik daripada badan, buah pinggang juga berfungsi untuk mengawal tekanan darah dengan menghasilkan enzim khas iaitu renin.

Apabila tekanan darah terlalu rendah atau badan tidak mempunyai garam yang cukup, renin akan dirembeskan dalam saluran darah anda.

Ia akan mencetuskan reaksi berantai yang menghasilkan hormon lain iaitu angiotensin dan memberi isyarat kepada kelenjar adrenal anda untuk melepaskan hormon lain bergelar aldosteron.

Angiotensin membuatkan pembuluh darah kecil menjadi lebih sempit, manakala aldosteron bertanggungjawab untuk mengawal kadar garam dan cecair. Kedua-dua hormon tersebut boleh meningkatkan tekanan darah anda.

Sekiranya proses itu tidak seimbang, tekanan darah boleh menjadi tidak stabil, sama ada terlampau tinggi atau rendah.

Buah pinggang yang sihat akan menghasilkan hormon yang dipanggil erythropoietin (EPO).

Erythropoietin mendorong tulang sumsum untuk membuat sel darah merah, yang kemudian membawa oksigen ke seluruh badan.

Ia juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan tulang. Vitamin D yang menjadi salah satu daripada nutrisi penting bagi tulang dihasilkan sebahagiannya melalui buah pinggang.

Apa yang berlaku semasa sakit buah pinggang?

Salah satu kelebihan organ ini adalah ia mempunyai potensi baik untuk beradaptasi dengan keadaan tubuh.

Oleh itu, tanda dan gejala penyakit buah pinggang selalunya akan muncul agak lewat ketika kerosakan telah menjadi sangat parah.

Cara terbaik untuk mengesan di peringkat awal adalah melalui ujian saringan, terutamanya dalam kalangan mereka yang berisiko mengalami sakit buah pinggang disebabkan masalah kesihatan mahupun keturunan.

Buah pinggang yang sihat berupaya untuk membuang sisa dan cecair tambahan daripada darah anda.

Dalam kes penyakit ginjal terutama sekali jika gagal, sisa dan cecair tambahan akan menimbun dalam darah dan mengakibatkan anda sakit.

Berikut merupakan 7 tanda penting yang harus diambil kira sekiranya anda mengalami sakit buah pinggang.

#1 Cepat letih tanda utama sakit buah pinggang

Anda akan mengalami keletihan dengan lebih cepat, kurang bertenaga dan menghadapi masalah untuk memberikan tumpuan – sekali gus menyebabkan anda tidak mampu berfikir dengan jelas.

Sakit buah pinggang kronik bermaksud terdapat penurunan yang banyak dalam fungsi buah pinggang. Ia cenderung membawa kepada pembentukan toksin dan kekotoran dalam darah, punca cepat letih, lemah dan sukar fokus.

Komplikasi lain sakit buah pinggang ialah anemia di mana kekurangan sel darah merah dalam tubuh boleh menjadi punca kepada rasa lemah dan letih. Anda juga mungkin akan berasa pening kepala dan terasa seperti hendak pitam.

#2 Kesukaran untuk tidur

Apabila sakit buah pinggang berlaku dan ia tidak mampu berfungsi dengan betul, toksin berkemungkinan akan kekal dalam darah dan tidak boleh keluar dari badan melalui air kencing.

Pengumpulan toksin dalam badan boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur. Selain itu, kajian mendedahkan kaitan antara obesiti dan apnea tidur dengan masalah sakit buah pinggang kronik.

#3 Sesak nafas

Anda mudah mengalami masalah sesak nafas walaupun hanya melakukan pergerakan yang minimum. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pertambahan cecair dalam badan yang terhasil dalam paru-paru.

Selain itu, ia boleh juga dikaitkan dengan masalah anemia, menyebabkan badan anda menerima kurang oksigen daripada keperluan asalnya dan pendek nafas.

#4 Kulit kering dan gatal, takkanlah sakit buah pinggang juga?

Perubahan kulit menjadi kering dan gatal boleh menjadi tanda utama penyakit tulang dan kekurangan mineral dalam badan.

Ia sering berlaku dalam kes sakit buah pinggang kronik, apabila ginjal tidak lagi mampu menjaga keseimbangan mineral dan nutrien yang betul dalam darah.

#5 Kerap kencing

Salah satu tanda yang paling senang untuk dikenal pasti oleh anda sendiri adalah kekerapan kencing berbanding biasa.

Jika perubahan ini berlaku terutamanya pada waktu malam, ia merupakan antara tanda sakit buah pinggang.

Sistem penapisan pada buah pinggang yang rosak boleh mengakibatkan peningkatan keinginan untuk membuang air kencing.

Ada masanya, ia boleh menjadi simptom untuk penyakit lain seperti jangkitan saluran kencing atau prostat bengkak.

#6 Tubuh bengkak

Sakit buah pinggang yang menjurus kepada kegagalan organ tersebut akan menyebabkan air yang berlebihan tidak dapat disingkirkan daripada badan.

Hal ini boleh menyebabkan kaki, pergelangan kaki atau tangan menjadi bengkak. Dalam sesetengah kes, ia turut berlaku pada bahagian muka dan mata.

Ia boleh menjadi petanda bahawa badan anda menyingkirkan sejumlah besar protein dalam air kencing dan bukan kekal dalam tubuh seperti yang sepatutnya.

#7 Kencing berdarah dan berbuih

Buah pinggang yang sihat akan menyimpan sel darah merah dalam tubuh semasa proses penapisan untuk menghasilkan air kencing.

Akan tetapi, sakit buah pinggang teruk boleh menyebabkan sel-sel tersebut ‘bocor’ dan masuk ke dalam air kencing.

Hasilnya, air kencing anda akan berubah warna merah jambu, merah atau perang bergantung kepada jumlah darah di dalamnya.

Selain itu, air kencing juga boleh kelihatan berbuih kerana mengandungi protein albumin yang telah berjaya keluar ke dalam air kencing anda.

Tips kesihatan buah pinggang

sakit buah pinggang

Kini, kita sudah mengetahui kepentingan buah pinggang bagi tubuh. Tanpanya, pelbagai masalah kesihatan berisiko untuk berlaku. Ikuti tip berikut untuk mengelakkan sakit buah pinggang di masa akan datang.

#1 Pengambilan ubat-ubatan

Ubat menangani keradangan tanpa steroid (NSAID) seperti ibuprofen dan naproxen boleh mengakibatkan sakit buah pinggang jika diambil dalam jumlah yang banyak atau terlalu kerap.

Sesetengah antibiotik boleh menurunkan fungsi buah pinggang ke tahap yang lebih teruk. Berbincanglah dengan doktor jika anda mempunyai faktor risiko untuk mendapat penyakit buah pinggang.

#2 Suplemen herba

Banyak produk herba di pasaran yang berisiko untuk menjejaskan fungsi buah pinggang anda. Suplemen seperti ini akan menjadi lebih berbahaya untuk diambil jika anda sudah mempunyai penyakit buah pinggang.

#3 Garam

Mineral ini memberikan kesan yang berbeza bagi setiap individu. Bagi sesetengah individu, ia akan meningkatkan jumlah protein dalam air kencing mereka.

Sudah tentu keadaan itu boleh membahayakan ginjal anda dan menjadikan keadaan semakin kronik.

Pengambilan garam secara berlebihan juga akan meningkatkan risiko untuk menghidap tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang dan batu karang. Kawal pengambilan garam anda setiap hari.

#4 Hidrasi tubuh anda

Air dapat membantu menyalurkan nutrien penting ke buah pinggang dan menyingkirkan sisa dalam bentuk air kencing. Pengambilan air yang tidak mencukupi ataupun dehidrasi boleh menjejaskan fungsi penapisan buah pinggang.

Selain merosakkan buah pinggang anda dalam jangka masa panjang, dehidrasi berpanjangan akan menyebabkan batu karang lebih senang terbentuk di ginjal anda.

#5 Pemeriksaan secara rutin

Jika anda mempunyai faktor risiko untuk mendapat sakit ginjal kronik, atau masalah keturunan seperti sista ginjal, anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan secara rutin setiap tahun.

Pemeriksaan secara rutin boleh membantu anda untuk mengesan sakit buah pinggang di tahap yang lebih awal.

Konklusi

Walaupun ginjal boleh berfungsi tanpa pasangannya, lebih elok jika kita mengambil langkah berjaga-jaga untuk memelihara sepasang organ utama tubuh ini.

Janganlah tunggu sehingga sakit buah pinggang menjadi kronik atau gagal sepenuhnya baru hendak mengambil tindakan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Nana Muhammad Disemak pada 11/06/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan
x