Penyakit batu karang merupakan sesuatu yang amat menyakitkan. Simptom yang ditunjukkan juga mungkin berbeza mengikut jenis batu karang yang pesakit alami. Kesan penyakit batu karang kepada penghidapnya amat serius kerana ia boleh menyebabkan jangkitan serta komplikasi tanpa sebarang rawatan.
Namun, apakah sebenarnya batu karang dan bagaimana ia terbentuk di dalam badan kita?
Batu karang sebenarnya merupakan gumpalan mineral di dalam pundi kencing atau buah pinggang.
90% daripada air kencing manusia terdiri daripada air. Selebihnya merupakan mineral seperti garam dan bahan buangan seperti protein.
Air kencing yang pekat dan mempunyai konsentrasi yang tinggi boleh menyebabkan mineral tersebut bergumpal lalu bertukar menjadi hablur.
Selalunya, air kencing akan menjadi pekat disebabkan dehidrasi atau kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing.
Mereka yang menghidap masalah prostat membengkak, penyakit prostat atau jangkitan saluran kencing amat berisiko untuk mengalami batu karang.
Batu karang yang kecil boleh keluar dengan sendirinya tanpa sebarang rawatan atau ubat-ubatan. Namun, apabila saiznya menjadi besar, pesakit akan alami kesukaran untuk membuang air.
Pada waktu inilah individu akan mengalami simptom dan kesan penyakit batu karang mulai muncul.
Jenis-jenis batu karang
Batu karang terhasil daripada mineral yang terkandung di dalam air kencing kita. Pada awalnya, mineral ini akan membentuk hablur. Lama-kelamaan ia akan bergumpal dan membesar menjadi kristal.
Hampir 85% batu karang diperbuat daripada kalsium. Yang selebihnya diperbuat daripada bahan lain seperti asid urik, cystine atau struvite.
Batu struvite merupakan gabungan antara magnesium, ammonium dan fosfat. Batu ini turut dikenali sebagai batu jangkitan (infection stones) kerana ia hanya terbentuk di dalam air kencing individu yang mempunyai jangkitan tertentu.
Batu karang datang dengan pelbagai bentuk, saiz dan warna. Jenis batu karang juga berbeza. Malah, setiap jenis batu karang ini mempunyai cara rawatan yang berlainan.
Mari kenali jenis batu karang serta cara untuk merawatnya:
1. Batu kalsium
Batu kalsium merupakan jenis batu karang yang paling lazim. Ada dua jenis batu karang kalsium iaitu kalsium oksalat dan kalsium fosfat.
Ada individu yang mempunyai terlalu banyak kalsium di dalam air kencing mereka, jadi mereka lebih berisiko untuk menghasilkan batu karang jenis ini.
Malah, individu yang mempunyai tahap kalsium dalam urin yang normal, batu karang jenis ini masih boleh terbentuk tanpa sebarang sebab yang jelas.
Untuk mengurangkan kesan penyakit batu karang jenis ini, elakkan mengambil terlalu banyak protein haiwan. Selain itu, elakkan juga makanan tinggi oksalat seperti bayam, coklat, kekacang, cili dan juga teh.
2. Batu asid urik
Batu asid urik akan terbentuk apabila berlakunya perubahan kimia di dalam badan. Hablur ini tidak dapat larut di dalam air kencing yang bersifat asidik. Dalam keadaan ini, batu karang asid urik akan terbentuk.
Individu yang mempunyai berat badan berlebihan, cirit-birit yang kronik, diabetes jenis 2 dan gout berisiko untuk membuat batu karang jenis asid urik.
3. Batu struvite
Batu struvite berlaku kepada 10% penghidap penyakit batu karang. Selalunya, batu jenis ini berkait rapat dengan penyakit seperti jangkitan saluran kencing atau UTI.
Selain itu, ada juga beberapa jenis bakteria yang akan membuatkan urin menjadi kurang berasid dan lebih alkali.
Kesan penyakit batu karang ini adalah pembentukan batu yang bersaiz besar, bercabang dan mampu membesar dengan cepat.
Individu yang mengalami UTI yang kronik, mempunyai penyakit seperti sklerosis berbilang atau lumpuh paling berisiko untuk membuat batu karang jenis ini.
4. Batu cystine
Cystine merupakan sejenis asid amino yang terdapat di dalam makanan. Individu yang mempunyai terlalu banyak cystine di dalam air kencing dikatakan menghidap cystinuria.
Kondisi ini merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku. Ia terjadi apabila buah pinggang tidak mampu menyerap cystine daripada air kencing. Apabila tahap cystine dalam urin tinggi, batu karang akan mulai terbentuk.
Hanya 1% batu karang sahaja yang terbentuk daripada cystine. Individu yang menghidap batu karang jenis ini selalunya akan mula mengalaminya sejak kecil.
Kesan penyakit batu karang
Jika tidak dirawat, kesan penyakit batu karang boleh membawa pelbagai komplikasi. Sebagai contoh:
- Masalah pundi kencing kronik. Batu karang yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah urinari jangka panjang seperti rasa sakit ketika membuang air kecil. Ia juga boleh tersangkut pada saluran urin dan menghalang air kencing daripada keluar.
- Jangkitan saluran kencing. Jangkitan yang berulang kali mungkin merupakan kesan penyakit batu karang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda berjumpa doktor jika mengalami sebarang simptom. Jangan tunggu sehingga simptom menjadi teruk barulah hendak berjumpa doktor.
Selain itu, minum banyak air setiap hari terutamanya air kosong. Amalan ini dapat membantu menghalang pembentukan batu karang dengan cara mencairkan air kencing.
Jumlah air yang perlu anda minum setiap hari berbeza mengikut umur, berat, tahap kesihatan dan aktiviti harian anda. Oleh sebab itu, berjumpalah doktor untuk sesi konsultasi jika mempunyai sebarang persoalan.