backup og meta

Simptom Sama, Tapi Lain Penyakit! Ini Cara Nak Bezakan Strok dan Sklerosis Berbilang!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 28/06/2021

    Simptom Sama, Tapi Lain Penyakit! Ini Cara Nak Bezakan Strok dan Sklerosis Berbilang!

    Pernahkah anda dengar tentang penyakit sklerosis berbilang? Penyakit ini mempunyai simptom yang hampir sama dengan strok ataupun angin ahmar.

    Di Amerika Syarikat, hampir 400,000 individu disahkan menghidap sklerosis berbilang (MS).

    Penyebab penyakit ini masih tidak dapat dikenal pasti dan doktor percaya ia mungkin disebabkan gabungan faktor persekitaran dan genetik.

    Tidak ada lagi ubat atau penawar untuk penyakit MS. Namun, simptomnya boleh dikawal dengan rawatan yang rapi dan pemantauan daripada doktor.

    Apa yang anda perlu tahu tentang strok dan sklerosis berbilang

    Strok atau angin ahmar berlaku ketika terdapat gangguan pada salur darah seperti darah beku ataupun salur darah bocor pada bahagian otak.

    Pesakit akan diserang strok jika oksigen dan juga nutrisi penting tidak sampai pada tisu otak.

    Jika strok berlaku, pesakit perlukan rawatan kecemasan secepat mungkin. Rawatan yang cepat boleh kurangkan risiko pesakit untuk mendapat kecederaan pada otak ataupun komplikasi serius yang lain.

    Sklerosis berbilang atau multiple sclerosis (MS) pula ialah satu kondisi yang mempengaruhi otak dan saraf tunjang.

    Ia menyebabkan pesakit mengalami masalah penglihatan, sukar menggerakkan tangan atau kaki dan mengalami kesukaran untuk mengimbangkan diri.

    Individu yang mempunyai MS menghidap penyakit ini sepanjang hayat. Ia boleh sebabkan kecacatan yang serius kepada individu yang menghidapnya.

    Disebabkan kedua-dua jenis penyakit ini menyerang bahagian otak pesakit, jadi simptomnya sukar untuk dibezakan.

    Pesakit sklerosis berbilang juga boleh menghidap strok.

    Oleh itu, penting untuk kenal pasti perbezaan antara dua penyakit ini kerana strok merupakan penyakit yang lebih serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan kadar segera.

    Simptom sklerosis berbilang hampir sama dengan strok

    angin ahmar

    Disebabkan simptom MS yang serupa dengan simptom strok, pesakit yang menghidap MS mudah untuk rasa keliru dengan simptom yang mereka rasai.

    Ramai pesakit MS yang menghidap strok tetapi tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya kerana mereka anggap simptom yang dirasai ialah sebahagian daripada simptom MS.

    Namun, perbezaan utama antara dua penyakit ini ialah jangka masa simptom berlaku. Simptom sklerosis berbilang berlangsung selama beberapa hari.

    Tetapi, simptom strok pula berlaku secara tiba-tiba dan lebih agresif. Oleh itu, pesakit MS perlu lebih peka dalam memantau simptom yang mereka sedang alami.

    Selain itu, disebabkan pesakit MS  mempunyai faktor risiko yang sama seperti strok (contoh merokok), jadi mereka patut berada dalam keadaan lebih berjaga-jaga kerana mempunyai kadar yang lebih tinggi untuk diserang strok.

    Imbasan MRI boleh menentukan sama ada seseorang itu mengalami strok ataupun sklerosis berbilang.

    Cara ini dapat bantu doktor kenal pasti sama ada pesakit alami strok ataupun MS. Lesi yang terdapat pada otak akibat sklerosis berbilang berbeza dengan strok.

    Anda mungkin juga berminat:

    Apa persamaan simptom angin ahmar dan sklerosis berbilang?

    Sklerosis berbilang dan strok kedua-duanya boleh buatkan anda:

    1. Rasa keliru dan mengalami perubahan dalam cara berfikir dan fokus.
    2. Pening kepala.
    3. Rasa kebas pada kawasan muka, tangan atau kaki.
    4. Sukar melihat.
    5. Sukar bercakap.

    Kenal pasti tanda amaran strok guna kaedah F-A-S-T

    sklerosis berbilang

    Jika anda tidak pernah didiagnosis dengan sklerosis berbilang, simptom di atas merupakan tanda anda sedang diserang strok.

    Selain gejala yang digariskan di atas, anda juga boleh mengikut kaedah F-A-S-T untuk kenal pasti simptom strok.

    Penting untuk anda mengenali simptom supaya pesakit boleh dirawat secepat mungkin.

    Rawatan untuk pesakit strok hanya berkesan jika dirawat dalam masa 3 jam pertama setelah simptom pertama dikenal pasti.

    Jika anda rasa seseorang mungkin sedang diserang strok, cuba suruh mereka lakukan ujian ini:

    • F – Face (Muka) – Suruh pesakit senyum. Adakah sebelah muka pesakit senget atau meluyut?
    • A – Arms (Tangan) – Cuba suruh pesakit angkat kedua-dua belah tangan. Adakah sebelah tangan tidak dapat diangkat ataupun bengkok ke bawah?
    • S – Speech (Percakapan) – Suruh pesakit ulang kembali satu ayat yang mudah. Perhatikan cara percakapan mereka itu normal ataupun tidak. Pesakit yang diserang strok sukar untuk bercakap (slurring).
    • T – Time (Masa) – Masa itu emas bagi pesakit strok. Jika nampak semua ciri-ciri ini, cepat telefon 999!

    Jika anda merupakan pesakit sklerosis berbilang, sukar untuk anda bezakan simptom strok dan juga simptom sklerosis berbilang.

    Salah satu cara adalah dengan perhatikan jangka masa simptom datang menyerang. Jika simptomnya menyerang dengan lebih kuat dan secara tiba-tiba, anda mungkin sedang terkena serangan strok.

    Selain itu, perhatikan juga jika ada kelainan ataupun sesuatu yang luar biasa berkenaan simptom anda.

    Jika anda tiba-tiba mengalami simptom baru yang anda tidak pernah rasa sebelum ini, lebih baik anda berjumpa doktor dalam kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 28/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan