Seseorang yang mempunyai psoriasis mungkin mempunyai tompok atau kondisi kulit yang kelihatan bersisik.
Tetapi, kondisi ini mungkin berbeza bagi setiap orang dan juga bergantung pada tahap keparahan serta jenis tertentu.
Bagi jenis psoriasis inverse (terbalik), ia berkemungkinan besar terjadi pada lipatan kulit, tapi untuk psoriasis plak (jenis paling umum) boleh berlaku hampir di mana sahaja pada anggota badan.
Justeru, semasa memutuskan lokasi tatu yang sesuai, pesakit dinasihatkan untuk melakukannya di tempat yang tidak akan berlaku perubahan kulit.
Walau bagaimanapun, keradangan dan kerengsaan mungkin berlaku akibat kecederaan yang ditimbulkan oleh tusukan jarum.
Tambahan itu, adalah mustahil untuk mencacah tatu secara berkesan terutamanya di kawasan yang mempunyai tekstur bersisik kerana kewujudan pengumpulan sel-sel kulit.
Selain masalah pemilihan lokasi tatu, risiko jangkitan dan reaksi alergi juga berpotensi untuk tercetus.
Ini kerana jarum tatu menembusi lapisan kulit untuk memasukkan pewarna.
Ini secara langsung meningkatkan risiko bakteria dan kuman berbahaya ke dalam kulit, lalu menyebabkan jangkitan serius.
Bukan itu sahaja, pigmen dakwat pewarna yang digunakan kadangkala boleh menyebabkan reaksi alergi terutamanya bagi pesakit psoriasis.
Juga, mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami reaksi yang disebut fenomena Koebner.
Apa pula yang dimaksudkan fenomen Koebner dan bagaimana ia berkaitan dengan penyakit kulit ini? Jom baca!
Apakah fenomena Koebner?

Fenomena Koebner boleh menyebabkan psoriasis plak terbentuk di kawasan kulit yang sihat akibat kecederaan atau jangkitan.
Kecederaan kulit yang ringan seperti kesan cakar sudah cukup mencetuskan fenomena ini, apatah lagi disebabkan tindak balas oleh proses tatu, terutama pada penderita psoriasis.
Pesakit mungkin beranggapan dengan memilih lokasi tatu di kulit yang sihat dan tidak bermasalah ialah pilihan terbaik.
Walau bagaimanapun, setelah mencacah tatu, kesan luka psoriasis yang baharu boleh terbentuk, dan biasanya berlaku dalam tempoh masa beberapa minggu kemudiannya.
Dalam fenomena Koebner, gejala biasanya hanya mempengaruhi kawasan di mana kerosakan kulit telah berlaku. Ia bukanlah sejenis jangkitan, dan bukan juga bersifat berjangkit.
Apa yang membimbangkan, para doktor juga tidak dapat memahami sepenuhnya mengapa fenomena Koebner ini berlaku.
Oleh sebab itu, penderita penyakit ini harus menyedari risiko luka yang boleh terjadi di kawasan bertatu, walaupun psoriasis plak tidak pernah terjadi di kawasan itu sebelumnya.
Risiko yang harus difikirkan
Tahukah anda, trauma kulit merupakan pencetus umum bagi psoriasis?
Pencetus lain turut merangkumi tekanan, pendedahan cahaya matahari yang berlebihan, dan tabiat merokok.
Tambahan itu, pesakit harus beringat bahawa mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami luka baharu setelah melakukan tatu.
Risiko yang sama juga harus dipertimbangkan oleh mereka yang tidak mempunyai masalah ini apabila hendak melakukan tatu. Sebagai contoh:
- Pencemaran silang: Terdapat peraturan yang ketat untuk membersihkan alatan dan jarum, tetapi tidak ada jaminan bahawa setiap pencacah tatu akan mematuhinya dengan betul. Sekiranya mereka menggunakan jarum yang sama atau tidak menyimpan jarum dalam keadaan steril, seseorang individu berisiko dijangkiti penyakit serius, seperti HIV, hepatitis B atau C
- Pencemaran dakwat: Pernah terjadi, ada syarikat yang menarik balik beberapa produk akibat pencemaran bakteria yang berlaku di dalam dakwat tatu
Kesimpulannya…
Sebagai penutup kata, individu dengan penyakit psoriasis harus menimbang tara keputusan untuk melakukan tatu sedalam-dalamnya.
Seperti yang telah dikupaskan oleh artikel ini, walaupun tatu dicacah pada kawasan kulit yang sihat, namun masih tiada jaminan fenomena Koebner tidak akan berlaku.
Apa pun, bagi pesakit psoriasis yang benar-benar berminat dengan tatu seni badan, dapatkan khidmat nasihat doktor atau pakar terlebih dahulu sebelum melakukannya.