backup og meta

Guna Penapis Rokok Kononnya Untuk Kurangkan Bahaya? Lepas Baca Ini, Fikirkan Semula!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 29/09/2021

    Guna Penapis Rokok Kononnya Untuk Kurangkan Bahaya? Lepas Baca Ini, Fikirkan Semula!

    Tabiat menghisap rokok adalah satu perkara yang dianggap normal oleh kebanyakan orang padahal ia sebenarnya mengundang banyak kesan negatif. Ada yang kata adalah tidak mengapa mempunyai tabiat ini asalkan anda menggunakan penapis rokok!

    Persoalannya, adakah benar bahawa penapis rokok boleh menapis bahaya yang dibawa oleh sebatang rokok?

    Rokok, tabiat yang membahayakan lagi merugikan!

    Meskipun kita semua sudah didedahkan bahawa rokok adalah antara perkara yang perlu dielak untuk menjaga tahap kesihatan tubuh badan, namun masih ramai yang tidak mengendahkannya.

    Mungkin tabiat merokok sudah tidak mampu dibuang akibat daripada keperluan atau ketagihan tubuh badan penghisap tegar terhadap nikotin yang terdapat di dalam rokok.

    Ataupun, mereka tidak menganggap ia sebagai tabiat yang membahayakan lagi merugikan jika hanya sekadar menghisap sebatang rokok?

    Sebatang atau lebih, kesan tetap sama?

    perokok

    Menurut kajian yang dijalankan oleh pakar dari University Columbia di Amerika Syarikat, didapati bahawa kesan merokok bagi perokok ringan dan perokok tegar adalah tidak jauh berbeza.

    Kajian ke atas 25,000 sukarelawan yang melibatkan perokok, bekas perokok serta bukan perokok ini menunjukkan bahawa kerosakan paru-paru bagi mereka yang menghisap sebatang rokok atau lebih, adalah lebih kurang sama.

    Keputusan kajian menunjukkan fungsi paru-paru bagi perokok tegar yang menghisap sekitar 30 batang rokok sehari menurun 11.24 ml setahun lebih berbanding individu yang tidak merokok.

    Manakala individu perokok ringan yang hanya merokok dalam anggaran kurang daripada 5 batang rokok sehari pula menunjukkan penurunan fungsi paru-paru pada kadar 7.65 ml setahun.

    Pakar mengatakan bahawa perokok ringan kehilangan kapasiti paru-paru yang sama dalam tempoh setahun seperti yang dialami oleh perokok tegar untuk jangka masa sembilan bulan.

    Sebatang atau lebih, kesan rokok tetap sama dalam jangka masa yang panjang!

    Bagaimana pula dengan vape dan pod?

    Kebanyakan penghisap rokok yang kononnya mahu berhenti cenderung beralih kepada kaedah berasap secara elektronik yakni dengan vape dan pod.

    Mereka mungkin percaya bahawa menghisap rokok jenis elektronik ini adalah kurang berisiko berbanding daripada rokok jenis tradisional.

    Adakah dakwaan benar-benar berasas? Mungkin tidak dan mungkin ya!

    Berdasarkan pelbagai kajian lepas, terdapat lebih daripada 40 jenis bahan kimia di dalam perisa vape dan pod yang telah dikenal pasti.

    Sesetengah daripadanya adalah sangat berbahaya kepada kesihatan dan berupaya untuk dilepaskan ke udara sekeliling (risiko perokok pasif).

    Antara 5 bahan kimia yang mampu meningkatkan kadar kematian tersebut adalah Benzena, Toluena, Plumbum, Asetaldehid dan N-Nitrosonornicktina (NNN).

    Dalam erti kata yang lebih mudah, tidak jauh beza bahaya rokok tradisional dengan rokok elektronik.

    Penapis rokok adalah penyelamat perokok?

    penapis rokok

    Sekiranya anda tidak tahu mengenainya, penapis rokok adalah sejenis alat yang diletakkan di bahagian muncung puntung rokok sebelum ia dihisap.

    Kononnya, penapis rokok ini dikatakan mampu berfungsi menapis sedikit kandungan nikotin dan pelbagai lagi bahan kimia berbahaya ketika ia disedut.

    Sekiranya difikirkan secara logik, mungkin benar bahawa ia mampu menapis walaupun sedikit segala anasir jahat yang terdapat di dalam rokok.

    Namun kenyataannya bukan begitu!

    Menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Peter D. Shields dari The Ohio State University’s Wexner Medical Center di Columbus, penapis rokok membuat rokok itu lebih berbahaya.

    Ini kerana, lubang pengudaraan yang wujud pada objek ini akan mengubah cara tembakau itu dibakar lantas membuat perokok berfikir bahawa asap yang disedut lebih ringan.

    Sebenarnya, ia bukan menapis sebaliknya melambatkan sahaja kemasukan bahan kimia rokok ke dalam tubuh badan manusia menerusi sedutan demi sedutan.

    Akibatnya, perokok yang menggunakan penapis ini mungkin akan menghisap lebih banyak rokok berbanding biasa kerana tidak puas hanya dengan sebatang sahaja.

    Berhenti merokok sebelum terlambat!

    Pendek kata, apapun teknik dan kaedah merokok adalah tidak selamat kerana ia tetap akan mendatangkan bahaya terhadap tubuh badan dalam jangka masa yang panjang.

    Oleh itu, sila cuba berhenti merokok sebelum terlambat dengan cara:

    #1. Mulakan dengan niat

    Semuanya bermula dengan niat jadi sila tanam dalam diri untuk cuba berhenti merokok agar mental dan fizikal mampu kekal bermotivasi.

    #2. Perlahan tapi konsisten

    Tidak perlu mengejut kerana adalah mustahil untuk berhenti merokok secara tiba-tiba. Jadi sila cuba dengan perlahan tapi konsisten.

    #3. Elakkan perkara yang mencetuskan keinginan merokok

    Antaranya adalah pengambilan air bergas, berkafein atau beralkohol yang perlu dielak dan diganti dengan pengambilan minuman yang lebih sihat lagi.

    merokok

    #4. Bertangguh dan bertangguh

    Sekiranya anda terasa ingin merokok, tangguhkan ia dan ulangi proses ini sebanyak mungkin sehingga keinginan itu hilang dengan sendiri secara perlahan.

    #5. Kekal aktif dengan beraktiviti

    Daripada mengamalkan tabiat yang tidak baik ini, apa kata kalian cuba untuk kekal aktif dengan bersenam dan bersukan untuk tubuh badan yang lebih sihat serta kuat?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 29/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan