Bercakap mengenai penjagaan muka, ada beberapa jenis bahan yang mungkin tidak sesuai untuk digunakan pada wajah. Nak tahu apa dia? Ikuti perkongsian artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Kepentingan penjagaan muka
Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik?
Tanyalah mana-mana wanita, pastinya setiap daripada mereka mahu tampil cantik, atau sekurang-kurangnya tanpa cela di wajah.
Lebih daripada itu, wajah juga merupakan perkara pertama yang akan dipandang oleh individu sekeliling, kan?
Jadi sudah tentulah, aspek penjagaan muka menjadi keutamaan. Bahkan, wajah yang bersih juga membantu seseorang individu itu untuk tampak lebih berkeyakinan.
Apabila bercakap tentang penjagaan kulit muka, ada sesetengah wanita gemar menghasilkan atau menggunakan produk penjagaan atau kecantikan sendiri.
Namun, seperkara yang mungkin tidak diketahui, bukan semua jenis bahan yang dirasakan boleh digunakan, adalah benar-benar selamat untuk wajah anda.
Apakah jenis bahan-bahan itu?
7 jenis bahan tidak sesuai untuk penjagaan muka
Mesti anda tidak sabar untuk mengetahui jenis bahan yang tidak digalakkan untuk disapukan pada wajah anda.
Berikut beberapa jenis bahan-bahan yang tidak sepatutnya diletakkan di muka, seperti:
- Madu
Jenis bahan ini telah digunakan untuk merawat luka sejak berzaman lamanya. Hari ini, ia dikatakan mampu membantu untuk menghilangkan jerawat.
Madu juga dipercayai boleh melawan kuman dan mengurangkan keradangan. Banyak bukan kebaikan madu?
Namun, ada 1 kajian mendapati madu berfungsi hanyalah seperti sabun bakteria sahaja.
Ia juga boleh menimbulkan reaksi alergi bagi mereka yang mempunyai alahan bunga.
- Lemon
Penggunaan lemon untuk penjagaan muka adalah sangat baik kerana buah ini kaya vitamin C – dapat mencerahkan kulit dan mengurangkan garis halus.
Tetapi, lemon juga merupakan buah yang berasid dan boleh merengsakan wajah anda.
Individu cenderung untuk mengalami ruam daripada masalah phytophotodermatitis – berlaku reaksi kulit jika jenis bahan ini terdedah kepada cahaya matahari.
Ia boleh mengakibatkan bengkak, kemerahan dan tompok lepuh pada kulit.
Penggunaan lemon juga meningkatkan risiko untuk mengalami leukoderma atau turut dikenali sebagai vitiligo.
Ia adalah keadaan kulit yang menyebabkan timbul tompok atau bintik putih besar berkembang pada kulit.
Risiko untuk mengalami selaran matahari juga tinggi sekiranya meletakkan lemon pada muka.
- Minyak kelapa
Sememangnya minyak kelapa adalah bahan yang kaya dengan asid laurik – terbukti mampu melawan jerawat.
Namun, ia juga mengandungi 90% lemak tepu yang boleh menyumbat liang pori di wajah anda.
Anda boleh menggunakan minyak kelapa sebanyak yang mungkin, kerana berdasarkan penyelidikan, ia dapat membantu atasi masalah kulit kering atau ekzema teruk, TETAPI hanya pada bahagian badan sahaja, ya.
- Air terlalu panas
Penggunaan wap panas dalam penjagaan muka dikatakan dapat membantu membuka pori pada wajah. Tetapi hanya wap panas dan bukannya air yang panas.
Ini kerana jika anda menggunakan air panas untuk mencuci wajah, ia boleh menyingkirkan kelembapan kulit.
Apa yang berlaku seterusnya?
Kelenjar minyak pada kulit akan cuba menggantikan kelembapan yang hilang dengan mengeluarkan lebih banyak minyak. Kesannya? Muncullah jerawat.
- Ubat gigi
Bunyi macam tidak logik, tetapi ada yang mengatakan penggunaan ubat gigi pada jerawat boleh melenyapkannya. Benarkah?
Walaupun bahan ini selamat digunakan dalam mulut (pada gigi), namun bagi aspek penjagaan muka, ia tidak sesuai.
Ubat gigi mungkin boleh membantu mengeringkan jerawat.
Akan tetapi, dalam masa yang sama ia juga cenderung menyebabkan kerengsaan dan berpotensi mengakibatkan kulit menjadi terlalu kering.
- Soda bikarbonat
Mesti anda biasa mendengar mengenai penggunaan jenis bahan ini sebagai skrub wajah, kan?
Tetapi bahan yang turut dikenali sebagai baking soda ini mempunyai pH yang tinggi, 9. Manakala pH kulit adalah sekitar 4.5 hingga 5.0.
Maka penggunaannya pada wajah berkemungkinan akan merosakkan kulit dan mengakibatkan kerengsaan serta kekeringan. Jadi elakkannya, okay?
- Cuka
Sesetengah individu mengesyorkan cuka sebagai toner wajah. Tetapi adakah ia sesuai untuk kulit muka anda?
Umumnya, cuka adalah jenis bahan berasid kuat – pH rendah – bermaksud ia boleh menghakis dan membahayakan kulit yang sihat.
Bahkan, penggunaan cuka sari epal bagi penjagaan muka boleh mengakibatkan luka terbakar kimia yang teruk.
Sayangkan muka anda? Maka hindarinya!
Kesimpulannya
Sekarang, jika anda sudah membaca perkongsian artikel ini dan kebetulan ada menggunakan antara jenis bahan yang disenaraikan di atas, USAH PANIK!
Sebaliknya, bertenang dan cuci muka anda dengan sebersihnya.
Sekiranya mempunyai masalah berkaitan penjagaan muka dan kulit, penyelesaian terbaik adalah untuk melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rundingan pakar dermatologi.