backup og meta

Nak Tahu Ubat Gatal Kulit Berkesan Yang Dijual Di Farmasi? Dapatkan 3 Jenis Ini!

Nak Tahu Ubat Gatal Kulit Berkesan Yang Dijual Di Farmasi? Dapatkan 3 Jenis Ini!

Jika anda mengalami gatal-gatal kulit, pastinya anda ingin mencari ubat gatal kulit paling berkesan untuk hilangkan kegatalan yang dialami. Jangan khuatir, anda boleh cuba ubat gatal kulit paling berkesan di farmasi ini. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.

Punca yang boleh sebabkan gatal kulit

Kulit gatal merupakan satu keadaan sensasi yang menyebabkan rasa tidak selesa dan menjengkelkan sehingga boleh mendorong anda untuk kerap menggaru.

Keadaan ini juga dikenali sebagai pruritus, iaitu keadaan kulit gatal yang selalunya disebabkan oleh kulit kering.

Ia biasa berlaku dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua, kerana kulit cenderung menjadi lebih kering seiring dengan peningkatan usia.

Cara melegakan kegatalan kulit dengan rutin kebersihan diri:

  • Pastikan kulit lembap setiap hari
  • Menggunakan pembersih lembut
  • Mandi dengan air suam

Kelegaan jangka panjang pula memerlukan anda untuk mengenal pasti punca dan seterusnya merawat punca kulit gatal tersebut.

3 jenis krim gatal kulit 

Jika anda mempunyai kulit gatal, terdapat beberapa jenis losyen dan krim antigatal yang anda boleh cuba untuk mendapatkan kelegaan.

Ada ubat yang boleh didapati di kaunter, dan ada juga pil gatal lain yang memerlukan preskripsi doktor.

Berikut merupakan tiga jenis ubat gatal kulit paling berkesan yang boleh anda dapatkan.

#1. Ubat gatal kulit paling berkesan:  Steroid topikal

Steroid topikal adalah krim anti gatal terbaik untuk sebarang jenis keradangan kulit.

Ia sesuai digunakan untuk pelbagai isu kulit gatal termasuklah ruam (dermatitis), ekzema dan psoriasis.

ubat gatal kulit paling berkesan
Petua untuk melegakan ekzema.

Ubat steroid topikal boleh didapati dalam pelbagai kekuatan dan formula, dengan dan tanpa preskripsi. Antaranya ialah krim hidrokortison yang sering didapati di farmasi.

Salap dan krim adalah jenis steroid topikal yang paling kuat. Manakala jenis gel dan semburan adalah yang paling ringan.

Untuk pengetahuan anda, steroid topikal mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding daripada steroid yang diambil melalui mulut.

Bukan itu sahaja, formulasi berkekuatan rendah juga memberikan risiko kesan sampingan yang lebih rendah berbanding formulasi yang lebih kuat.

Apa pun jenis steroid topikal yang anda gunakan, kesemuanya harus digunakan dengan berhati-hati berdasarkan nasihat dan preskripsi profesional kesihatan.

Penyerapan dan keberkesanan ubat steroid topikal ini pula bergantung kepada beberapa perkara, antaranya: 

  • Ketebalan kulit
  • Keluasan kulit yang dirawat
  • Kekuatan krim
  • Berapa kerap krim digunakan
  • Jenis ubat (contohnya, salap berbanding gel)

#2. Ubat antihistamin

ubat gatal kulit paling berkesan
Jenis ubat untuk merawat kegatalan kulit.

Alahan boleh berlaku apabila sistem imun badan anda bertindak balas secara berlebihan kepada bahan pencetus, yang dikenali sebagai alergen.

Ia kemudiannya akan membebaskan bahan kimia yang dipanggil histamin.

Histamin menyebabkan gejala alahan, seperti kegatalan yang ringan dan teruk berlaku.

Antihistamin ialah ubat yang menyekat tindakan histamin ini dan mengurangkan tindak balas alahan dalam badan anda.

Krim antihistamin boleh disapu pada kulit untuk membantu mengurangkan atau menghilangkan kegatalan yang berkaitan dengan alahan.

Contohnya, jika anda mempunyai alahan logam, anda mungkin akan menggunakan antihistamin topikal jika anda mengalami reaksi terhadap pemakaian jam tangan.

Krim gatal jenis ini juga boleh membantu dalam merawat ekzema.

Antihistamin topikal seperti krim Benadryl atau losyen Caladryl, harus digunakan pada dos terendah untuk tempoh masa yang paling singkat.

Penggunaan jangka panjang antihistamin topikal boleh menyebabkan peningkatan kesan sampingan apabila anda mengambil antihistamin oral.

Reaksi negatif lain akibat daripada penggunaan berlebihan antihistamin topikal termasuklah kerengsaan, ruam, dan sensitiviti terhadap cahaya matahari.

#3. Ubat gatal kulit paling berkesan: Anestetik topikal

ubat gatal kulit paling berkesan
Penyebab kegatalan kulit badan.

Anestetik topikal biasanya digunakan untuk menghilangkan rasa sakit.

Namun, ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan kegatalan yang berkaitan dengan masalah kulit tertentu seperti luka terbakar ringan, atau gigitan serangga.

Pil gatal ini berfungsi dengan menyekat hujung saraf dalam kulit daripada menghantar isyarat ke otak.

Perlu diingat bahawa sesetengah ubat bius seperti krim Benzocaine, juga boleh menyebabkan ruam gatal yang dikenali sebagai dermatitis kontak.

Walau bagaimanapun, krim gatal ini perlulah diambil menerusi preskripsi doktor.

Bagaimana hendak pilih ubat gatal kulit paling berkesan?

Untuk memilih krim gatal kulit yang tepat dan bersesuaian, anda perlulah mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kegatalan pada kulit anda.

Jika punca kegatalan telah diketahui, barulah pil gatal boleh dibeli dan memberikan kesan seperti yang diharapkan.

Jika tidak pasti punca sebenar yang menyebabkan kegatalan kulit, anda perlu berjumpa dengan doktor atau pakar kulit bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

Perhatian!

Ubat topikal steroid, antihistamin dan juga anestetik merupakan ubat gatal kulit paling berkesan yang biasa digunakan untuk melegakan kegatalan yang dialami.

Walau bagaimanapun, sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu mengenai simptom kegatalan kulit anda sebelum menggunakan ubat-ubatan tersebut.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Itching. https://medlineplus.gov/itching.html#:~:text=Itching%20is%20an%20irritating%20sensation,have%20a%20rash%20or%20hives. Accessed on July 30, 2022. 

Anesthetic, Local (Topical Application Route). https://www.mayoclinic.org/drugs-supplements/anesthetic-local-topical-application-route/precautions/drg-20070024?p=1#:~:text=Topical%20anesthetics%20are%20used%20to,nerve%20endings%20in%20the%20skin. Accessed on July 30, 2022. 

How To Relieve Itchy Skin. https://www.aad.org/public/everyday-care/itchy-skin/itch-relief/relieve-itchy-skin. Accessed on July 30, 2022. 

Pruritus (Itchy Skin). https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/11879-pruritus. Accessed on July 30, 2022. 

Pruritus (Itchy Skin). https://familydoctor.org/condition/pruritus/. Accessed on July 30, 2022. 

Versi Terbaru

17/07/2024

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Awas, Kulit Gatal Simptom Penyakit Hati KRONIK! Atasinya Dengan 5 Tip Ini!

Kulit Gatal-Gatal Sampai Ada Biji-Biji Kecil? Jangan Garu! Ia Mungkin Penyakit Dishidrosis


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/07/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan