backup og meta

Jaga-jaga Jika Gemar Berkebun & Ada Kucing Di Rumah? Anda Berisiko Kena JANGKITAN Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/08/2023

    Jaga-jaga Jika Gemar Berkebun & Ada Kucing Di Rumah? Anda Berisiko Kena JANGKITAN Ini

    Asyik menggaru tangan sebab gatal? Adakah keadaan kulit tangan ada urat timbul seakan cacing merayap? Itu masalah kulit CLM atau cacing dalam kulit yang perlu diberikan perhatian!

    Dapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Berjangkit, dapatkan di sini.

    Cacing dalam kulit?

    Cutaneous larva migrans (CLM) adalah masalah kulit yang disebabkan oleh spesies parasit. Keadaan itu juga mungkin dikenali sebagai cacing merayap bawah kulit. 

    Cutaneous Larva Migrans, secara umumnya bermaksud:

    Cutaneus – permukaan bawah kulit

    Larva – peringkat fasa tumbesaran cacing

    Migrans – bergerak, merayap

    Masalah kulit CLM ini biasanya berlaku di negara beriklim hangat dan dikatakan sering dialami oleh individu yang melancong atau menetap di negara tropika. 

    cacing dalam kulit

    Punca cacing dalam kulit

    Seseorang individu berkemungkinan besar dijangkiti keadaan kulit ini semasa berkebun dan tanah kebun tersebut mempunyai cacing jenis Ancylostoma caninum.

    Ia adalah sejenis cacing kait yang biasa terdapat dalam usus haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

    Cacing ini biasanya hidup dalam usus haiwan dan menumpangkan telurnya di dalam najis haiwan tersebut.

    Telur ini kemudian menetas menjadi larva yang dapat menyebabkan jangkitan.

    Jangkitan juga boleh berlaku apabila kulit anda bersentuhan dengan larva, biasanya di tanah atau pasir yang tercemar. 

    Apabila sentuhan terjadi, larva akan masuk ke lapisan atas kulit anda.

    Individu yang gemar berjalan tanpa memakai kasut atau duduk di atas tanah tanpa alas pelapik, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti masalah kulit ini. 

    cacing dalam kulit

    Kenali simptom cacing merayap bawah kulit

    Gejala cacing dalam kulit biasanya muncul antara 1 hingga 5 hari selepas jangkitan. Walau bagaimanapun, adakalanya ia memerlukan waktu lebih lama untuk timbulnya gejala. 

    Simptom dan tanda ada cacing di kulit biasa termasuklah:

    • Timbul lepuh merah dalam bentuk berputar. Corak luka ini akan kelihatan seakan ular yang berpusing. Ini disebabkan pergerakan larva di bawah kulit anda. Ia boleh bergerak sehingga 2 cm sehari
    • Gatal dan tidak selesa. Masalah kulit CLM cenderung menyebabkan rasa gatal, pedih atau kesakitan
    • Pembengkakan pada bahagian yang dijangkiti juga boleh berlaku
    • Jangkitan tidak hanya boleh terjadi pada tangan, tetapi menjangkiti seluruh badan seperti kaki dan belakang badan. Ia terutamanya pada anggota atau bahagian badan yang terdedah pada tanah atau pasir tercemar

    Keadaan lepuh disebabkan CLM ini boleh mengakibatkan rasa kegatalan, selalunya ia akan digaru sehingga menyebabkan calar pada kulit.

    Jika ia berlaku, akan wujud peningkatan risiko jangkitan bakteria sekunder.

    Baca juga:

    Cara rawatan jangkitan cacing dalam kulit

    Umumnya, jangkitan ini akan pulih dengan sendiri. Ini kerana larva atau cacing merayap bawah kulit biasanya akan mati selepas 5 hingga 6 minggu tanpa sebarang rawatan. 

    Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes tertentu, jangkitan mungkin memerlukan masa lebih lama untuk sembuh. 

    Penggunaan ubat topikal atau oral dapat membantu melawan jangkitan dengan lebih cepat.

    Antara ubat preskripsi yang sering digunakan untuk merawat jangkitan cacing ini dipanggil thiabendazole dan digunakan secara topikal pada lepuh beberapa kali sehari.

    Kajian kecil mendapati bahawa selepas 10 hari rawatan menggunakan ubat ini, kadar penyembuhan adalah setinggi 98%.

    Pun begitu, jika lepuh atau jangkitan yang dialami teruk, anda mungkin memerlukan ubat oral. 

    Pilihan ubat yang akan diberikan termasuklah albendazole dan ivermectin. Kadar penyembuhan jika menggunakan ubat oral ini adalah hampir 100%.

    Cegah cutaneous larva migrans

    Sudah pasti mencegah itu adalah sesuatu yang lebih baik daripada merawat, kan? Maka, berikut adalah  beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mencegah jangkitan:

    • Pakai kasut. Banyak jangkitan CLM berlaku di kaki. Ia selalunya disebabkan berjalan kaki tanpa alas kaki di kawasan yang tercemar.

    cacing dalam kulit

    • Pemakaian yang sesuai. Bahagian lain yang sering dijangkiti ialah paha dan punggung. Anda disarankan untuk memakai pakaian yang dapat menutup bahagian tubuh ini juga
    • Elakkan duduk atau berbaring di kawasan yang berpotensi tercemar. Ini meningkatkan risiko kawasan kulit yang boleh terkena larva
    • Gunakan alas sekiranya anda akan duduk atau berbaring di kawasan yang mungkin tercemar. Anda boleh meletakkan tuala, kain atau tikar bagi membantu mencegah penularan jangkitan

    Sentiasa berhati-hati

    Masalah cacing dalam kulit atau CLM biasa terjadi apabila berjalan atau bersentuhan dengan tanah, pasir atau kawasan basah yang tercemar. 

    Masalah kulit ini dicirikan dengan lepuh kulit gatal dengan corak berpusing seakan ular. 

    Sebagai langkah pencegahan yang mudah, pastikan anda sentiasa memakai kasut apabila berada di luar rumah, terutamanya kawasan yang mungkin tercemar. 

    Jika terdapat kebimbangan dengan keadaan kulit anda, lakukan pemeriksaan doktor untuk kepastian dan rawatan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan