backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Selain Dermatitis Kontak, Ada 6 Lagi Jenis Ekzema Yang Anda Boleh Kenal Pasti!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/02/2024

    Selain Dermatitis Kontak, Ada 6 Lagi Jenis Ekzema Yang Anda Boleh Kenal Pasti!

    Masalah kulit kering dan bersisik antara gejala ekzema. Tetapi adakah anda tahu apakah jenis ekzema yang ada?

    Anda mungkin pernah mendengar mengenai ekzema atopik. Namun, tahukah kalian terdapat 7 jenis eczema, dan masing-masing mempunyai simptom dan pemicu tersendiri?

    Ikuti artikel ini untuk kenali pelbagai jenis ekzema, berserta simptom dan punca. Jom baca!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    7 jenis eczema untuk dikenal pasti!

    Untuk makluman, ekzema dewasa kadangkala turut digelar dermatitis atopik – antara paling biasa dialami.

    ‘Atopik’ merujuk kepada alergi/alahan. Individu dengan ekzema sering mengalami alahan atau asma bersama-sama kegatalan dan kemerahan kulit.

    #1 Ekzema atopik

    Ekzema atopik, atau dermatitis atopik, adalah ekzema yang paling kerap terjadi.

    Kondisi ini biasanya bermula di awal usia kanak-kanak dan bertukar jadi tahap lebih ringan atau hilang sepenuhnya menginjak umur dewasa.

    Seperti yang disebut di atas, ‘atopik’ membawa maksud alergi, sebab itulah ekzema atopik adalah sebahagian daripada apa yang doktor sebut sebagai atopic triad.

    Triad bermaksud 3, dan 2 lagi kondisi lain di dalam rangkaian ini merujuk kepada asma dan demam.

    Kebanyakan orang yang menghidap jenis ekzema atopik mempunyai ketiga-tiga kondisi ini.

    Simptom-simptom

    • Kulit gatal, kering, merekah, dan sakit
    • Ruam timbul di lipatan siku atau lutut
    • Kulit boleh menjadi lebih cerah, lebih gelap atau tebal di kawasan ruam muncul
    • Bayi mungkin mendapat ruam pada kulit kepala atau pipinya
    jenis ekzema
    Kondisi ekzema di kaki.

    Punca

    Ekzema atopik berlaku apabila pelindung kulit semula jadi anda menjadi lemah, lantas mengurangkan perlindungan daripada alergen dan perengsa.

    Ia berkemungkinan disebabkan oleh gabungan faktor seperti berikut:

    • Gen
    • Kulit kering
    • Masalah sistem imun
    • Pencetus persekitaran seperti debu, debunga, dan bulu haiwan

    Jenis ekzema #2 Dermatitis kontak

    Sekiranya kulit bertukar menjadi kemerahan dan terengsa apabila menyentuh bahan tertentu, anda mungkin mengalami dermatitis kontak, juga disebut sebagai jenis ekzema kontak.

    Terdapat 2 jenis dermatitis kontak: Alahan dan perengsa.

    Allergic contact dermatitis adalah tindak balas sistem imun tubuh terhadap perengsa seperti lateks atau logam, sedangkan irritant contact dermatitis berlaku apabila bahan kimia atau faktor lain merengsakan kulit anda.

    Simptom-simptom

    • Kulit gatal, berubah menjadi kemerahan, seakan terbakar, dan menyengat
    • Hives (ruam gatal) mungkin muncul pada kulit
    • Lepuh berisi cecair boleh terbentuk – berpotensi pecah
    • Lama-kelamaan kulit menjadi lebih tebal atau bersisik

    Punca

    • Bahan pencuci
    • Peluntur
    • Barang kemas
    • Lateks
    • Nikel
    • Cat
    • Tumbuhan merengsakan seperti poison ivy
    • Alat solek
    • Sabun dan minyak wangi
    • Pelarut
    • Asap tembakau

    #3 Penyakit eczema dishidrotik

    Jenis ekzema dishidrotik, kadang-kadang turut dipanggil Pompholyx, sebabkan lepuh kecil terbentuk di tangan dan kaki. Ia juga lebih banyak menimpa golongan wanita berbanding lelaki.

    Simptom-simptom

    • Lepuh terasa gatal atau menyakitkan
    • Lepuh berisi cecair di jari, jari kaki, telapak tangan, dan telapak kaki
    • Kulit menjadi bersisik, mengelupas atau merekah

    Punca

    • Alahan
    • Tangan dan kaki yang lembap
    • Tekanan/stres
    • Pendedahan kepada barang tertentu seperti nikel, cobalt, atau chromium salt
    jenis ekzema
    Kondisi ekzema di tangan.

    4. Dermatitis seborrheic, salah satu jenis ekzema

    Dermatitis seborrheic memicu kemerahan, tompokan bersisik pada kulit dan kelemumur.

    Selalunya menyerang kulit kepala tetapi ia juga boleh muncul di kawasan badan berminyak seperti muka, dada, dan belakang.

    Simptom-simptom

    • Kulit mungkin menjadi kemerahan dan gatal-gatal
    • Rambut mungkin gugur
    • Menimbulkan kulit bersisik yang berkeruping
    • Tompok kulit berwarna putih atau kekuningan
    • Kulit di kawasan yang terjejas menjadi berminyak

    Punca

    Hingga kini, punca sebenar dermatitis seborrheic masih tidak diketahui, tetapi ia dikatakan mungkin dipicu oleh 2 faktor utama.

    Faktor pertama, minyak berlebihan di kulit bertindak sebagai perengsa. Faktor kedua pula, sejenis kulat yang ditemui secara semula jadi dalam minyak kulit.

    Kulat ini kadangkala tumbuh secara abnormal, akibatkan kulit menghasilkan lebih banyak minyak daripada biasa.

    Antara jenis ekzema #5. Neurodermatitis

    Neurodermatitis serupa seperti dermatitis atopik. Ia menyebabkan tompokan tebal dan bersisik muncul di permukaan kulit.

    Simptom-simptom

    • Tompokan ini boleh menjadi sangat gatal, terutamanya ketika anda sedang berehat atau tidur
    • Jika ia digaru, boleh berdarah dan dijangkiti
    • Tompokan tebal dan bersisik muncul di lengan, kaki, belakang leher, kulit kepala, bahagian bawah kaki, belakang tangan, atau alat sulit

    Punca

    Neurodermatitis biasanya terbentuk pada orang yang sudah pun mempunyai ekzema atau psoriasis yang lain.

    Doktor juga tidak dapat pastikan penyebabnya dengan tepat, walaupun faktor tekanan boleh menjadi pencetus.

    6. Ekzema nummular

    Ekzema ini menyebabkan tompokan berbentuk bulat seakan syiling pada kulit anda. Perkataan ‘nummular’ juga membawa maksud duit syiling dalam bahasa Latin.

    gatal ekzema
    Tip mengurangkan gatal ekzema.

    Pun begitu, jenis ekzema nummular kelihatan sangat berbeza jika dibandingkan dengan yang lain, dan boleh akibatkan kegatalan.

    Simptom-simptom

    • Tompokan berbentuk bulat seakan syiling terbentuk pada kulit anda
    • Tompokan boleh menjadi gatal atau bersisik

    Punca

    Penyakit eczema nummular dapat dipicu oleh reaksi gigitan serangga, atau oleh reaksi alahan terhadap logam mahupun bahan kimia. Kulit kering juga boleh menyumbang!

    7. Dermatitis stasis, antara jenis ekzema

    Dermatitis stasis berlaku apabila cecair keluar dari urat yang lemah ke dalam kulit anda. Cecair ini menyebabkan kebengkakan, kemerahan, kegatalan, dan kesakitan.

    Simptom-simptom

    • Bahagian bawah kaki mungkin membengkak
    • Kaki anda terasa sakit atau berat
    • Kulit di atas urat varikos akan mengering dan gatal
    • Mengalami luka terbuka pada kaki
    • Mungkin mempunyai urat varikos, urat kaki yang tebal dan rosak

    Punca

    Dermatitis stasis berlaku pada mereka yang alami masalah aliran darah di bahagian kaki bawah.

    Sekiranya injap yang menolak darah ke atas melalui kaki ke arah jantung rosak, darah bakal terkumpul di kaki.

    Itulah 7 jenis eczema yang ada. Jadi, segera jumpa doktor untuk tahu pantang larang ekzema dan apa ubat eczema paling berkesanuntuk membantu merawat kondisi ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan