Jenis-jenis asma
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun 2014 sahaja, Malaysia telah merekodkan sebanyak 1,642 kematian akibat daripada penyakit asma atau penyakit lelah.
Penghidap penyakit asma boleh diklasifikasikan kepada empat kategori berikut:
Jenis ringan
Individu yang menghidap asma jenis ringan selalunya terjaga pada waktu malam akibat serangan lelah. Gejala asma turut membataskan aktiviti harian mereka. Selain itu, pesakit juga memerlukan alat sedut atau inhaler yang mengandungi ubat pelega seperti salbutamol. Salbutamol merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk meluaskan saluran pernafasan. Pesakit mungkin turut memerlukan alat sedut yang mengandungi gabungan kortikosteroid dan ubat seperti formoterol bagi mengawal simptom mereka untuk jangka masa panjang. Formoterol bertindak seperti salbutamol tetapi untuk kegunaan jangka masa panjang.
Jenis tidak terkawal
Asma jenis ini sama seperti asma jenis ringan tetapi pesakit turut memerlukan ubat makan kortikosteroid. Kortikosteroid atau steroid merupakan sejenis ubat anti-radang.
Sukar dirawat
Pesakit dalam kategori ini mengalami simptom dan/atau serangan asma yang kerap walaupun telah menerima rawatan pencegahan.
Antara faktor yang menyebabkan pesakit tergolong dalam kumpulan ini ialah teknik penggunaan alat sedut yang salah dan juga pengambilan ubat yang tidak mengikut saranan doktor.
Teruk
Pesakit yang mengalami asma jenis teruk ialah pesakit yang tidak mampu mencapai tahap kawalan asma yang baik, meskipun telah menerima dos maksimum daripada alat sedut yang mengandungi ubat pelega atau gabungan kortikosteroid & bahan aktif seperti formoterol. Selain itu, golongan ini juga selalu mengalami sesak nafas yang bertambah teruk. Golongan ini juga memerlukan:
- Ubat biologik
- Ubat makan (tablet) steroid
- Pelbagai jenis ubat-ubatan (dos sederhana atau tinggi) untuk mengawal gejala bagi jangka masa panjang
- Ujian kesihatan bagi mengesahkan jenis asma yang dihidapi

Apakah yang perlu anda ketahui mengenai asma jenis teruk?
Tidak dapat dinafikan bahawa serangan asma yang teruk sangat membebankan, menghadkan aktiviti harian dan boleh meragut nyawa. Keadaan ini lebih meruncing ketika pandemik COVID-19 masih membelenggu dunia.
Mereka bukan sahaja kerap mengalami gejala penyakit asma, malah terpaksa mengambil pelbagai jenis ubat dalam dos yang tinggi. Hal ini mendedahkan mereka kepada risiko dan kesan sampingan yang berbahaya.
Semua faktor tersebut memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan pesakit. Golongan remaja dengan masalah ini akan mengalami kesukaran untuk memilih pekerjaan yang bersesuaian dan mereka turut terbatas dalam melakukan aktiviti fizikal. Kestabilan emosi, keyakinan diri, pergaulan sosial dan kesihatan mental mereka turut sama terjejas.
Selain itu, penghidap penyakit asma yang teruk juga akan lebih kerap dimasukkan ke dalam hospital kerana mereka selalunya memerlukan rawatan khusus oleh doktor pakar. Pada kebiasaannya, pesakit-pesakit ini akan dirawat dengan steroid pada dos yang tinggi.
Berdasarkan sebuah kajian yang telah dijalankan di Britain, kos rawatan asma jenis teruk ialah lebih tinggi berbanding kos rawatan pesakit kencing manis dan strok. Kos ini bukan hanya akan membebankan pesakit, malah sistem kesihatan negara secara umum.
Perlu difahamkan bahawa penyakit asma jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan khas berbanding asma jenis lain. Oleh yang demikian, sangat penting bagi individu yang menghidap penyakit asma jenis teruk untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat.
Selain itu, pemahaman yang menyeluruh serta sokongan yang padu harus diberikan oleh ahli keluarga supaya penghidap penyakit asma dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik. Pengetahuan yang mendalam tentang punca penyakit asma juga penting agar langkah sewajarnya boleh diambil bagi mengelakkan serangan asma.
Untuk memastikan langkah pencegahan awal dapat diambil, setiap daripada kita haruslah melakukan penilaian risiko serangan asma. Anda boleh mengetahui tentang risiko menghidap penyakit asma dengan menyertai saringan pada pautan ini.
Approval code: MY-9106_03NOV2022
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen