backup og meta

Badan Gatal-gatal Kena Gigit Pepijat? Ini Cara Atasinya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/11/2022

    Badan Gatal-gatal Kena Gigit Pepijat? Ini Cara Atasinya

    Pepijat, ataupun nama saintifiknya Cimex lectularius merupakan sejenis binatang yang kecil, berwarna merah kehitaman yang menghisap darah manusia dan juga haiwan. Namun, tahukah anda kesan gigitan pepijat ini?

    Pepijat ini mempunyai telur kecil yang berbentuk bujur dan berwarna hitam.

    Serangga kecil ini selalunya aktif pada waktu malam dan pandai menyorok dalam gelap. Pepijat sukar untuk dilihat dengan mata kasar kerana saiznya yang kecil.

    Jika anda sering alami ruam dan gatal-gatal pada waktu malam, maka tidak salah lagi, ini kesan gigitan pepijat!

    Inilah punca ketidakselesaan yang sering anda alami pada waktu tidur!

    Pepijat merupakan serangga yang berbahaya. Walaupun ia tidak terbukti lagi boleh membawa penyakit, tapi gigitannya boleh menyebabkan anda tidak lena tidur.

    Malah, ruamnya juga menyebabkan anda rasa gatal-gatal sepanjang hari.

    Walaupun anda beli tilam baru ataupun basuh cadar setiap hari, belum tentu lagi pepijat ini akan hilang.

    Jadi, apakah cara yang terbaik untuk mengelakkan diri daripada kesan gigitan pepijat? Jika anda ingin tahu jawapannya, jom ikuti tip yang kami sediakan di bawah! 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Alahan, sila dapatkannya di sini.

    Badan dipenuhi kesan gigitan pepijat? Macam mana hendak atasi?

    kesan gigitan pepijat

    Jika anda selalu menjadi mangsa pepijat, anda boleh lakukan beberapa langkah untuk elakkan kesan gigitan pepijat ini. Sebagai contoh, anda boleh:

    1.   Pakai baju yang menutup kulit

    Pepijat selalunya tidak boleh menggigit kulit yang berlapik. Jika anda sering gatal-gatal, cuba pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang ketika tidur. Kalau pepijat selalu gigit tapak kaki anda, cuba pakai stoking!

    2.   Gunakan semburan serangga

    Pastikan anda beli semburan serangga yang bersesuaian. Semburan nyamuk mungkin tidak akan berkesan terhadap pepijat.

    3.   Gunakan kelambu

    Penggunaan kelambu mungkin dapat mengurangkan kesan gigitan pepijat. Namun, pastikan anda alas tilam terlebih dahulu. Periksa kawasan tidur anda sebelum melelapkan mata.

    Apa guna kelambu jika pepijat juga ‘tidur’ di atas katil bersama anda!

    Bolehkah saya membunuh pepijat tanpa bantuan orang lain?

    Membuang pepijat pada tilam bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun sudah berkali-kali dijemur, pepijat pasti akan muncul semula.

    Makhluk kecil yang degil ini sukar untuk dihapuskan. Oleh sebab itu, anda dinasihatkan untuk memanggil pasukan kawalan serangga yang profesional untuk berhadapan dengan masalah pepijat yang anda alami.

    Namun, anda boleh cuba untuk membuang pepijat tanpa bantuan pakar jika anda rasa kosnya terlalu mahal. Selain itu, anda juga mungkin boleh melakukannya sendiri jika kawasan infestasinya kecil. 

    Anda boleh membuang bed bug daripada katil ataupun sofa anda. Tetapi, ia bergantung kepada:

    1.       Berapa banyak pepijat yang ada pada tilam atau sofa anda.
    2.       Berapa banyak tempat yang boleh dijadikan tempat persembunyian pepijat.
    3.       Adakah jiran anda juga mempunyai masalah yang sama.
    4.       Adakah jiran anda juga ingin turut serta membunuh pepijat di rumah mereka.

    Membunuh pepijat boleh mengambil masa selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, bergantung kepada tahap infestasi yang anda alami.

    Antara langkah yang anda perlu ambil untuk atasi masalah pepijat ialah:

    1. Kenal pasti kawasan infestasi pepijat

    Lebih awal anda kawal penyebaran pepijat, lebih mudahlah tugas anda nanti. Cuba kenal pasti kawasan yang telah dicemari pepijat. Anda boleh cari pepijat di kawasan yang gelap, sempit dan pada penjuru bilik.

    2. Kawal penyebaran bagi elak kesan gigitan pepijat

    Cara yang paling mudah untuk mengawal penyebaran pepijat di rumah adalah dengan menggunakan alat penyedut hampagas.

    Lalukan vacuum anda pada kawasan seperti tilam, almari, karpet dan di belakang alat elektronik seperti televisyen dan sebagainya.

    Selain itu, basuh cadar dan sarung bantal sekerap mungkin. Anda boleh juga basuh cadar anda di dobi dan gunakan alat pengering pada suhu yang panas. Dengan cara ini, tidak ada lagi pepijat ataupun telur yang terlepas.

    3. Bunuh pepijat dan telur yang ada

    Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk membunuh pepijat, antaranya adalah dengan menggunakan alat seterika stim ke atas tilam anda. Cara ini boleh digunakan untuk membunuh pepijat dan telur yang masih hidup.

    Jika anda tidak mempunyai seterika stim, anda juga boleh menggunakan pengering rambut sebagai alternatif.

    Jika anda mempunyai infestasi pada barang-barang anda yang lebih kecil, anda boleh masukkan barang-barang tersebut ke dalam beg kedap udara dan letakkan di dalam peti ais selama 4 hari.

    Pastikan anda letakkan barang anda pada bahagian sejuk beku ya!

    4. Panggil pihak profesional jika infestasi masih berlaku

    Disebabkan pepijat merupakan sejenis serangga yang tahan lasak, jadi sukar untuk anda menangani infestasi secara bersendirian.

    Mungkin anda perlu panggil pihak yang profesional supaya serangga ini dapat dihapuskan dari tempat tinggal anda.

    Langkah yang paling berkesan untuk membunuh pepijat adalah melalui semburan racun serangga.

    Pihak kawalan serangga perosak mungkin perlukan masa untuk memeriksa rumah anda. Anda boleh berbincang dengan mereka tentang infestasi yang anda alami.

    Anda juga mungkin perlu lakukan beberapa persiapan sebelum pihak kawalan serangga melakukan semburan. Selepas semburan dijalankan, anda mungkin perlu tinggalkan kawasan ataupun bilik tersebut sehinggalah racun tersebut kering.

    Kesimpulan

    kesan gigitan pepijat

    Pepijat selalunya tidak akan mendatangkan masalah kesihatan yang serius. Namun, kesan gigitan pepijat ini boleh menyebabkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu waktu tidur.

    Jika anda kerap digigit pepijat, anda boleh merawat kesan gigitan menggunakan krim antiseptik.

    Kadangkala, masalah infestasi pepijat boleh jadi makin teruk jika anda cuba menanganinya sendiri. Jika anda tidak pasti tentang cara yang terbaik untuk membunuh pepijat di rumah anda, dapatkan khidmat pakar.

    Pepijat boleh merebak dari satu tempat ke tempat yang lain jika anda tidak berhati-hati.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan