backup og meta

Mengapakah Kehamilan Luar Rahim Bahaya? Mari Ketahui Implikasinya!

Mengapakah Kehamilan Luar Rahim Bahaya? Mari Ketahui Implikasinya!

Adakah kenyataan kandungan luar rahim selamat itu fakta atau sebaliknya? Pasti anda tidak sabar untuk ketahui jawapannya!

Kehamilan ektopik merupakan sesuatu yang berbahaya kepada wanita. Tambahan pula, peluang untuk wanita yang mengandung luar rahim untuk selamat agak tipis. Bagi menyelamatkan nyawa ibu, kehamilan tersebut perlulah dihentikan.

Teruskan membaca artikel kami mengenai masalah kehamilan luar rahim bagi mengetahui kesannya terhadap ibu.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kehamilan, anda boleh klik di sini.

Apakah maksud kandungan luar rahim? 

mengandung
Scan baby pada awal kehamilan.

Kandungan luar rahim atau kehamilan ektopik berlaku dalam 1 hingga 2% kehamilan.

Wanita yang mengalami penyakit radang pelvis (PID) merupakan golongan yang paling berisiko untuk mengalami masalah kehamilan ektopik.

Kehamilan ektopik merupakan kehamilan yang terjadi di luar rahim.

Selalunya, wanita yang mengalami masalah kehamilan luar rahim berada dalam keadaan bahaya. Jarang sekali kandungan luar rahim selamat untuk ibu atau anak yang dikandung.

Bagi kehamilan normal, telur yang telah melalui proses persenyawaan akan bergerak dari tiub Fallopio ke uterus. Seterusnya, kehamilan tersebut akan terus berkembang di dalam rahim. Perkara sebaliknya pula berlaku kepada wanita yang mengalami masalah kehamilan ektopik. Hampir semua (sekurang-kurangnya 90%) kehamilan jenis ini berlaku di dalam tiub Fallopio.

Tiub Fallopio yang pecah boleh mengakibatkan pendarahan dalaman. Kondisi ini merupakan kes kecemasan yang boleh mengancam nyawa. Keadaan ini memerlukan pembedahan secepat yang mungkin.

Apakah kemungkinan kandungan luar rahim selamat? Jawapannya ialah hampir tiada. Risiko kehamilan ektopik amat tinggi terhadap ibu dan anak. Anak yang dikandung kerap kali meninggal dunia di dalam kandungan.

Dalam kebanyakan kes, doktor akan mencadangkan supaya kandungan tersebut digugurkan, sama ada melalui pembedahan atau pengambilan ubat-ubatan.

Adakah mengandung luar rahim boleh selamat?

kandungan luar rahim selamat
Kesan mengandung luar rahim.

Sebahagian besar kehamilan luar rahim berlaku di dalam tiub Fallopio. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa sebarang rawatan, kehamilan tersebut boleh menyebabkan pecahnya tiub Fallopio dan mengakibatkan komplikasi. Kesannya, ibu akan mengalami kesakitan serta pendarahan yang serius.

Sehingga kini, masih belum ada sebarang rawatan yang boleh menggerakkan kehamilan ektopik dari tiub Fallopio ke rahim.

Walaupun terdapat peluang bagi kandungan luar rahim selamat lahir melalui pembedahan, tetapi kemungkinan untuk hidup itu sangat tipis. Malah, uri juga tidak boleh keluar secara normal.

Wanita dengan masalah kehamilan ektopik mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalaminya lagi pada masa hadapan.

Oleh sebab itu, para ibu perlulah cakna mengenai tanda-tanda serta simptom kehamilan ektopik meskipun terdapat desas-desus yang mengatakan kandungan luar rahim selamat.

Selain itu, dapatkan pemeriksaan doktor untuk memastikan janin sedang berkembang di tempat yang sepatutnya.

Apakah simptom-simptom kehamilan ektopik?

kandungan luar rahim selamat
Gejala dan komplikasi hamil luar rahim.

Setiap wanita mengalami simptom yang berlainan. Ada yang menunjukkan tanda-tanda yang jelas, tidak kurang juga mereka yang tiada sebarang gejala.

Namun, kebanyakan wanita akan mengalami simptom fizikal masuk minggu ke-6 kehamilan. Minggu ke-6 kehamilan bersamaan dengan 2 minggu selepas tidak datangnya haid.

Jika haid tidak teratur, wanita mungkin akan terlepas pandang tanda kehamilan ektopik.

Disebabkan terdapat pelbagai gejala, sukar untuk doktor melakukan diagnosis kehamilan ektopik. Lantaran itu, doktor perlu melakukan pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan diagnosis kehamilan luar rahim.

Berikut merupakan tanda-tanda lain kehamilan ektopik:

  1. Sakit di bahagian bawah abdomen. Sakit ini akan berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab. Malah, kesakitan ini juga berlaku pada bahagian sisi abdomen.
  2. Pendarahan vagina. Wanita mungkin akan mengalami pendarahan yang berbeza daripada haid. Pendarahan ini mungkin lebih atau kurang daripada biasa. Darahnya pula berwarna lebih gelap.
  3. Sakit bahu. Selalunya, kesakitan ini akan bertambah teruk Ketika berbaring. Sakit ini jarang sekali hilang meskipun dengan pengambilan ubat tahan sakit.
  4. Perut meragam. Ibu yang mengalami kehamilan ektopik mungkin akan mengalami masalah cirit-birit.
  5. Sakit perut yang abnormal. Jika tiub Fallopio pecah, ibu hamil akan mengalami kesakitan yang teramat. Kadangkala, ibu boleh pengsan disebabkan kesakitan ini. Sakit perut ini juga boleh menjadi tanda utama kehamilan ektopik.

Kesimpulan

Adakah kandungan luar rahim selamat? Mungkin tidak. Masalah kehamilan ektopik juga sukar untuk dicegah.

Walau bagaimanapun, risikonya boleh dikurangkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Sebagai contoh, jangan merokok, pastikan berat badan berada dalam julat yang sihat dan amalkan seks selamat.

Jika anda pernah mengalami masalah kehamilan ektopik, bincanglah dengan doktor terlebih dahulu sebelum mencuba untuk hamil.

Kebanyakan wanita dengan masalah kehamilan luar rahim lampau boleh merancang untuk hamil pada masa hadapan walaupun berdepan risiko kehamilan ektopik yang tinggi.

Ibu yang mengandung luar rahim boleh selamat dengan bantuan doktor.

Masalah kehamilan, terutamanya yang melibatkan kematian boleh mencetuskan kesedihan yang berpanjangan. Ambil masa anda untuk pulih.

Jika anda atau pasangan sukar untuk mengatasi masalah ini, berjumpalah dengan doktor untuk sesi konsultasi. Kaunseling juga boleh membantu. Pokoknya, dapatkan sokongan daripada pasangan, ahli keluarga dan rakan-rakan sepanjang tempoh sukar ini. Semoga artikel ini memberi sedikit pencerahan tentang topik kehamilan ektopik atau kandungan luar rahim selamat.

[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Ectopic pregnancy. https://www.nhs.uk/conditions/ectopic-pregnancy/. Accessed on Feb 21, 2022.
  2. Ectopic Pregnancy. https://familydoctor.org/condition/ectopic-pregnancy/. Accessed on Feb 21, 2022.
  3. Ectopic pregnancy. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ectopic-pregnancy/symptoms-causes/syc-20372088. Accessed on Feb 21, 2022.
  4. Ectopic Pregnancy. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9687-ectopic-pregnancy. Accessed on Feb 21, 2022.
  5. Ectopic Pregnancy. https://www.acog.org/womens-health/faqs/ectopic-pregnancy. Accessed on Feb 21, 2022.
  6. Ectopic pregnancy. https://www.rcog.org.uk/en/patients/patient-leaflets/ectopic-pregnancy/. Accessed on Feb 21, 2022.

Versi Terbaru

25/11/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Bayi Kurang Gerak Di Akhir Kehamilan? Awas Ibu! Ini Sebabnya

Kehamilan Ektopik: Adakah Anda dalam Bahaya?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 3 minggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan