Ketika menjalani proses buang air besar atau berak, macam-macam ragam manusia yang dapat kita huraikan.
Jika dahulu surat khabar biasa menjadi peneman tatkala di kamar kecil, kini ia sudah diganti dengan telefon pintar bagi memecahkan kesunyian dan kebuntuan semasa sedang berjuang.
Tidak kurang juga ada yang sanggup membawa peranti lebih besar seperti tablet atau komputer riba ke dalam bilik air semata-mata untuk menonton drama ketika proses ini berlangsung.
Normal untuk kita melakukan perkara yang lain atau ‘multitask’ ketika sedang berak kerana ia adalah proses yang agak lama dan bosan.
Pun begitu, pernahkah kalian terbaca atau terdengar bahawa ada orang yang menangis ketika membuang air besar?
Jangan terkejut kerana fenomena ini memang wujud. Jom kita ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.
Bukan anda seorang sahaja yang mengalaminya!
Jika anda fikir bahawa anda seorang sahaja yang menangis semasa berak, jangan risau kerana ada lagi orang lain yang turut berfikiran sama seperti anda.
Dalam laman sesawang Reddit, hal ini pernah diungkitkan pada tahun 2019 oleh seorang individu yang menyatakan kebimbangan terhadap perkara ini.
Hantaran ini telah mendapat perhatian netizen dan rata-rata mereka menyatakan ia adalah tidak normal.
Ada yang berpendapat bahawa ia terjadi akibat kurang makan serat, kurang minum air serta terlalu kuat meneran.
Namun apa pula kata sains?
Adakah menangis semasa berak itu normal?
Sebenarnya, adalah normal untuk seseorang itu mengalirkan menangis ketika buang air besar.
Ini kerana akan berlaku interaksi di antara salur darah, otot tubuh badan serta sistem saraf kompleks pada perut dan otak setiap kali kalian duduk atau cangkung di atas jamban.
Walaupun tidak dapat dipastikan peratus orang yang mengalami fenomena ini, tiada bukti yang mengatakan ia akan mendatangkan mudarat kecuali jika ia disebabkan oleh penyakit.
Jadi jangan terlalu bimbang jika ia berlaku kepada anda okay?
[embed-health-tool-bmi]
Apakah punca menangis ketika buang air besar?
Ramai yang percaya bahawa ia adalah disebabkan kesakitan akibat terlalu kuat meneran. Sehingga kini, para pengkaji sedang giat menyelidik punca sebenar fenomena ini berlaku.
Namun, kebanyakan pakar telah bersetuju dengan teori yang berikut:
#1. Tekanan intra abdomen
Ini adalah teori paling utama di sebalik fenomena menangis ketika buang air besar.
Ketika otot abdomen anda mengembang dan mengempis untuk membantu tinja keluar dari kolon, ia secara tidak langsung akan memberi tekanan pada organ dan membran di sekelilingnya.
Tekanan ini bersama dengan pernafasan, akan menyebabkan ketegangan salur darah dan sistem saraf pada abdomen lantas menghantar isyarat kepada otak untuk menghasilkan air mata.
Bukan di bahagian perut sahaja, tekanan pada abdomen ini juga akan memberi kesan pada leher serta kepala lalu mengakibatkan kelenjar lakrimal tertekan dan mengeluarkan air mata.
Ini boleh terjadi walaupun dalam keadaan kita tidak sedar atau rasa sakit, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Baca juga: