home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Ini Kekerapan Membuang Air Besar Yang Normal, Lihat Juga 8 Tanda Bahaya Ini

Ini Kekerapan Membuang Air Besar Yang Normal, Lihat Juga 8 Tanda Bahaya Ini

Berapa kerapkah seseorang itu perlu membuang air besar? Adakah terdapat angka tertentu yang perlu dipatuhi? Ayuh ketahui lebih lanjut mengenai kekerapan buang air besar normal untuk seorang individu.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.

Membuang air besar

Sepertimana rakan penulis, dia sering membuang air besar berkali-kali setiap hari setibanya di pejabat kami. Pantang sahaja makan sesuatu, sejurus kemudian tandas pasti menjadi destinasi utamanya.

Ada individu yang mempunyai kekerapan berak yang tinggi sehingga berkali-kali dalam sehari, tetapi ada juga yang mungkin membuang air besar sekali dalam sehari atau sekali bagi setiap dua hari.

kekerapan buang air besar normal

Persoalannya di sini, berapakah kekerapan buang air besar normal bagi seseorang individu? Bagi menjawab persoalan ini, anda mungkin mahu membacanya dengan lebih lanjut di bawah ini.

Kekerapan buang air besar normal

Untuk pengetahuan anda, sebenarnya tidak terdapat bilangan khusus atau tepat untuk menentukan jika seseorang itu membuang air secara normal. Ia bergantung kepada setiap individu.

Sesetengah kajian berpendapat, jika anda membuang air besar tiga kali dalam sehari atau seminggu, ia masih dianggap normal. Kebanyakan individu mempunyai corak pembuangan air besar yang sama iaitu bilangan dan waktu yang sama setiap hari.

Kadangkala, bukanlah kekerapan membuang air tersebut yang menentukan tahap kesihatan seseorang, tetapi konsistensi najis seseorang yang lebih banyak memberi petunjuk.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak buang air besar lebih daripada tiga hari, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan kepastian berkenaan tahap kesihatan usus anda.

Baca juga:

Faktor yang mempengaruhi kekerapan buang air besar normal

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kekerapan anda buang air besar. Antaranya:

  • Pengambilan air
  • Umur
  • Aktiviti yang dilakukan
  • Diet atau jenis pemakanan
  • Sejarah perubatan
  • Penyakit kronik
  • Hormon
  • Faktor sosial atau persekitaran

Simptom yang perlu diambil berat berkaitan buang air besar

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu atau perkara yang perlu anda perhatikan dan berjumpa dengan doktor bagi memastikan tahap kesihatan anda yang berkaitan pembuangan air besar.

Antara simptom-simptom yang perlu diberi perhatian adalah:

kekerapan buang air besar normal

  • Darah dalam najis. Berjumpa dengan doktor sekiranya anda mendapati sebarang kesan darah yang berwarna merah atau hitam
  • Najis berwarna hitam
  • Muntah darah. Berjumpa dengan doktor sekiranya anda muntah darah
  • Tidak berak lebih daripada tiga hari
  • Kesakitan badan yang teruk
  • Kehilangan berat badan beserta cirit-birit
  • Sering mengalami masalah sembelit
  • Kerap cirit-birit dengan najis yang cair

Bagi sesiapa yang mempunyai tabiat seperti rakan penulis, ia mungkin normal bagi anda. Kerana gaya pemakanan dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi kekerapan buang air besar normal bagi setiap individu adalah berbeza.

Mungkin rakan penulis kerap makan buah-buahan berserat yang menyebabkannya kerap membuang air, manakala penulis pula menjaga pemakanan dengan mengehadkan pengambilan makanan sebanyak 3 kali sehari. Siapa tahu kan?

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz Disemak pada 2 minggu lalu
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung