Tahu tak penyakit radang usus sebenarnya turut beri kesan kepada kulit? Mesti tak sangka, kan? Jom ketahui 13 masalah kulit yang boleh menjadi tanda radang usus.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.
Penyakit radang usus punca masalah kulit
Penyakit radang usus atau Inflammatory bowel disease (IBD) adalah keadaan penyakit yang mempengaruhi saluran usus melalui proses keradangan.
Pesakit yang menderita IBD akan mempunyai penyakit lain yang turut menjejaskan fungsi sistem organ lain.
Keadaan itu disebut sebagai extraintestinal manifestation. Tahap kesakitannya adalah sama seperti penyakit radang usus atau mungkin lebih teruk daripada itu.
Ulcerative colitis (UC) adalah keadaan radang usus kronik yang menyerang usus besar. Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan masalah kulit, termasuklah ruam yang menyakitkan.
13 masalah kulit tanda radang usus
Umumnya, kulit adalah salah satu sistem organ yang paling kerap dijangkiti oleh pesakit yang menderita IBD. Di bawah, kami akan terangkan mengenai masalah kulit tanda radang usus:
1. Erythema Nodosum
Nama itu membawa maksud ‘lebam merah’. Nodul merah lembut ini biasanya muncul di atas tulang keting atau pergelangan kaki. Adakalanya ia juga boleh berlaku pada bahagian lengan.
Wanita dikatakan lebih kerap menghidapi keadaan erythema nodosum ini berbanding lelaki. Selalunya masalah kulit ini akan muncul bersama peningkatan radang usus.
Pun begitu, nodul merah lembut pada kulit ini akan pulih jika keadaan radang usus terkawal.
2. Pyoderma Gangrenosum
Keadaan kulit ini dikenal pasti dengan nanah pada kulit yang kelihatan seperti luka yang dalam.
Seperti erythema nodosum, pyoderma gangrenosum kerap berlaku pada tulang keting atau pergelangan kaki. Tetapi ia turut boleh terjadi pada lengan.
Masalah kulit ini bermula sebagai lepuh kecil, luka itu akan menjadi lebih dalam dan membentuk bisul yang teruk.
Luka yang dialami boleh sembuh jika gejala radang usus dapat diatasi. Penggunaan antibiotik, suntikan ubat ke bisul atau salap topikal antara pilihan rawatan yang disarankan.
3. Enterocutaneous Fistula tanda radang usus
Fistula adalah terowong kecil yang menghubungkan 2 bahagian badan.
Enterocutaneous fistula pula adalah saluran yang tidak normal daripada usus ke kulit – selalunya melibatkan rektum ke faraj, pundi kencing atau punggung.
Ia juga mungkin berlaku disebabkan komplikasi pembedahan. Keadaan kulit ini lebih kerap terjadi pada pesakit Crohn daripada UC – sejenis penyakit kronik keradangan usus berulang.
4. Skin Tag
Lebih kerap terjadi kepada individu dengan penyakit Crohn.
Ia berkembang sekitar pembengkakan buasir di dalam dan di sekitar dubur. Apabila bengkak berkurang, kulit di sekeliling akan menebal dan membentuk kepingan kecil.
Kewujudan skin tag boleh merengsakan kulit dan menyebabkan ketidakselesaan.
5. Anal Fissure
Merupakan luka kecil sekitar lapisan saluran dubur. Anal fissure merupakan antara penyakit kulit yang berlaku sebagai tanda radang usus.
Masalah kulit yang dialami ini mungkin menyebabkan kulit merekah dan berdarah. Kesannya akan mengakibatkan rasa sakit dan gatal.
6. Aphthous Stomatitis
Ulser mulut kecil ini sering dijumpai pada bahagian antara gusi dan bibir bawah atau di sepanjang sisi atau pangkal lidah.
Ia biasa terjadi apabila penyakit radang usus menyerang dengan teruk dan akan mereda apabila keadaan IBD terkawal.
Pengambilan ubat kumur mungkin dapat membantu, selain amalan diet seimbang dan pengambilan suplemen multivitamin.
7. Acrodermatitis Enteropathica
Dalam kes radang usus kritikal ia boleh menyebabkan masalah kulit lain yang berkaitan dengan kekurangan nutrisi pemakanan.
Contohnya, individu yang alami cirit-birit teruk boleh kehilangan zink dalam najisnya. Kekurangan zink boleh menyebabkan acrodermatitis enteropathica – kuping ruam yang muncul pada wajah, tangan, kaki dan perineum.
Kekurangan vitamin juga boleh mewujudkan masalah kulit seperti:
- gusi berdarah
- bengkak
- ruam mengelupas
Umumnya, keadaan ini jarang berlaku kerana pengetahuan tentang kepentingan pemakanan baik bagi penghidap masalah radang usus.
8. Pyoderma Vegetan
Merupakan gangguan kulit yang jarang berlaku dan dipercayai disebabkan aktiviti sistem imun yang tidak normal.
Biasanya menyerang individu dengan Ulcerative colitis dan muncul sebagai lepuh, plak atau tompokan pada sekitar pangkal paha dan di bawah lengan.
Apabila sembuh, ia akan meninggalkan kawasan kulit yang gelap.
9. Vasculitis tanda radang usus
Juga dikatakan sebagai masalah kulit yang jarang terjadi dan berpunca daripada aktiviti sistem imun abnormal.
Membawa maksud ‘keradangan saluran darah’, vasculitis dikenal pasti dengan bahagian yang kemerahan. Adakalanya masalah kulit ini menjadi luka. Ia pulih apabila keadaan penyakit radang usus bertambah baik.
10. Epidermolysis Bullosa Acquista
Terjadi kepada individu yang menderita penyakit Crohn selama bertahun-tahun. Ia adalah keadaan kulit melepuh, muncul pada lutut, siku, tangan dan kaki.
Tanda radang usus 11: Vitiligo
Membuatkan kulit kehilangan warna secara tompokan. Ia kerap terjadi pada individu dengan IBD, mungkin disebabkan hubungan genetik atau berkaitan dengan sistem imun.
12. Psoriasis
Masalah kulit ini akan menyebabkan kulit menjadi kemerahan, kering, bersisik, gatal dan menyakitkan.
Penyelidik tidak pasti kaitan IBD dengan psoriasis tetapi dikatakan pesakit Crohn 8x berisiko mengalaminya.
13. Acne
Beberapa ubat yang digunakan untuk merawat radang usus boleh menyebabkan masalah kulit sebagai kesan sampingan.
Fakta
[embed-health-tool-bmr]