Seperti apa yang dibuktikan melalui kajian yang diterbitkan pada September 2020, kawalan terhadap ketakutan COVID-19 (koronafobia) penting bagi memastikan pesakit kencing manis tidak kepenatan untuk melaksanakan pantauan harian mereka.
Ramai yang tahu, amalan gaya hidup sihat penting dalam memastikan paras gula dalam darah sentiasa terkawal.
Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya bagi pesakit kencing manis yang kebiasaannya obes (diabetes jenis 2), menyukarkan mereka untuk mematuhi disiplin pemakanan dan senaman yang diajukan oleh doktor.
Tip atasi kepenatan dalam pengurusan kencing manis

Bagi pesakit kencing manis, normal untuk mereka berasa letih dengan rutin rawatan yang berulang-ulang.
Meskipun mereka sedar akan kepentingan protokol rawatan tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa kekuatan mental dan motivasi pesakit turut menyumbang kepada kecenderungan untuk patuh kepada rejimen rawatan.
Pesakit boleh berasa tertekan dengan kawalan pemakanan yang perlu dilaksanakan bagi mencapai kawalan gula dalam darah yang ideal.
Ditambah lagi dengan risiko mereka untuk mendapat masalah kemurungan, ia merupakan keadaan yang tidak boleh dipandang ringan.
Bagi meminimumkan kesan rasa penat terhadap pelaksanaan rutin rawatan pesakit, Program Pendidikan Diabetes yang dianjurkan oleh CDC menyarankan beberapa tip untuk mengatasinya seperti:
- Ambil masa beberapa minit sehari untuk melakukan aktiviti kegemaran, bermeditasi atau mengamalkan teknik pernafasan dalaman yang betul.
- Simpan jurnal luahan jika anda sering berasa tertekan. Sebagai pesakit yang menghidap kencing manis, bukan sahaja rekod pemakanan dan paras glukosa, malah isu yang mengganggu tahap kestabilan mental anda juga penting.
- Belajar untuk menguruskan rutin rawatan anda dengan lebih efisien secara perlahan-lahan. Jangan kecewa jika anda gagal menunaikan kesemua rutin anda pada awal pelaksanaan rawatan. Biar lambat, asal selamat.
Selain daripada apa yang tersenarai di atas, pesakit kencing manis juga perlu sentiasa memaklumkan perkembangan semasa kepada doktor dan pendidik diabetes.
Dengan kata lain, mereka perlu patuh dengan janji temu supaya pengurus kesihatan tahu keadaan semasa dan boleh melakukan perubahan jika perlu.
Jika anda ingin mengambil sebarang suplemen, rujukan kepada golongan profesional ini juga penting.
Konklusi
Jika anda menghidap masalah kencing manis, normal untuk anda berasa penat dengan rutin yang perlu anda laksanakan setiap hari.
Namun, perkara tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk anda menguruskan keadaan kesihatan kronik yang anda hidapi secara sambil lewa.
Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan dengan pengurusan dan rawatan penyakit kencing manis, rujuk kepada doktor perubatan yang bertauliah.