Setiap kali terdengar atau terbaca tentang ortopedik, sudah pasti kita semua akan mengaitkannya dengan tulang manusia bukan?
Bagaimana pula dengan istilah pembedahan ortopedik? Ya, ia bermaksud pembedahan yang dilakukan berkaitan dengan tulang!
Di dalam dunia ini, terdapat 8 pembedahan ortopedik yang paling banyak dilakukan terhadap manusia.
Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenai perkara ini dengan lebih mendalam lagi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tulang/Otot, sila dapatkannya di sini.
Fakta menarik tentang tulang manusia!
Untuk pengetahuan anda, tulang adalah sejenis organ tegar yang terdapat dalam setiap tubuh badan manusia yang lahir normal.
Organ ini berfungsi menyokong, melindungi dan menggerakkan pelbagai organ lain yang juga terdapat di dalam tubuh badan.
Bukan itu sahaja, tulang manusia juga merupakan tempat penghasilan sel darah putih dan sel darah merah serta sebagai tempat penyimpanan galian.
Apa yang menarik tentang organ ini adalah jumlahnya yang sangat banyak di dalam tubuh badan manusia!
Buat individu dewasa jumlahnya adalah 206 tulang manakala bayi pula jumlahnya adalah 300 tulang. Kenapa?
Jangan terlalu terkejut membaca fakta ini kerana ketahuilah bahawa tulang bayi adalah lebih banyak kerana ia masih belum bersambung.
Tulang manusia juga boleh rosak?
Tahukah kalian bahawa semasa kanak-kanak, anda berisiko mengalami patah tulang sebanyak 10 %?
Apabila mencapai umur lebih 50 tahun pula, risiko tersebut akan meningkat kepada 25% hingga 50%!
Ini membuktikan bahawa tulang manusia sememangnya boleh rosak sama ada ia patah, retak atau rapuh ekoran beberapa faktor risiko.
Antara punca kerosakan tulang adalah kecederaan, kemalangan ataupun didasari kondisi kesihatan seperti osteoporosis dan osteogenesis.
Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan jika tulang-tulang dalam tubuh badan manusia ini mengalami kerosakan?
Ya, tidak lain tidak bukan, kalian mungkin perlu menjalani pembedahan ortopedik untuk membaiki atau memperbetulkannya!
8 pembedahan ortopedik paling banyak dilakukan
Untuk pengetahuan anda, terdapat banyak jenis pembedahan yang boleh atau perlu dilakukan terhadap tulang yang mengalami kerosakan.
Berikut adalah antara jenis yang paling banyak dilakukan:
#1. Pembedahan membaiki ACL
Buat anda yang mungkin belum tahu, ACL bermaksud Anterior Cruciate Ligament yang merupakan salah satu daripada ligamen utama pada lutut.
Ia terletak betul-betul di bahagian hadapan kepala lutut dan berfungsi memberi kestabilan dan keutuhan apabila kalian memusingkan kaki.
Kebiasaannya, para atlet yang bermain sukan lasak seperti bola sepak, ragbi dan lain-lain banyak mengalami kecederaan terhadap ligamen ini.
Selepas melakukan pembedahan menggantikan ligamen dengan tendon pada tubuh badan lain, kalian mungkin memerlukan banyak masa sebelum kembali beraksi dalam sukan.
#2. Pembedahan menggantikan lutut
Bergantung kepada tahap kecederaan, pesakit mungkin perlu menggantikan hanya sebahagian atau keseluruhan sendi lutut.
Pembedahan ini mungkin akan dilakukan sekiranya sendi lutut rosak akibat trauma, bursitis, obesiti atau kesalahan dalam pergerakan.
Untuk pengetahuan anda, bahan besi akan digunakan untuk menggantikan sendi yang rosak.
#3. Pembedahan menggantikan bahu
Agak sama seperti kecederaan lutut, pembedahan ini juga mungkin akan dilakukan akibat trauma dan bergantung kepada tahap kerosakannya.
Doktor mungkin akan membuang bahagian bahu yang rosak sama ada pada humerus, rotator cuff dan menggantikannya dengan bahan besi atau plastik.
Untuk melekatkan bahan yang menggantikannya, skru dan plet juga akan digunakan.
#4. Pembedahan menggantikan pinggang
Tulang manusia di bahagian paha dikenali sebagai femur dan pinggang pula dikenali sebagai pelvis.
Sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada bahagian femur dan pelvis ini, maka ia akan digantikan dengan menggunakan besi atau plastik.
Prosedur ini boleh dilakukan melalui 2 kaedah sama ada tradisional yang menggantikan keseluruhannya atau moden (Birmingham Hip Resurfacing) yang menggantikan bahagian yang terjejas sahaja.
#5. Artroskopi tulang lutut
Apakah ia? Ia adalah satu kaedah invasif yang memerlukan doktor memasukkan kamera kecil ke dalam lutut untuk melihat kerosakan yang berlaku.
Imej tersebut akan terpapar pada skrin dan kemudian doktor akan menggunakan instrumen yang kecil untuk memperbetulkan kerosakan lutut.
#6. Artroskopi tulang bahu
Untuk pengetahuan anda, ia adalah satu kaedah yang sama dengan artroskopi lutut cuma perbezaannya ia dilakukan pada tulang bahu.
Imej tersebut akan terpapar pada skrin dan kemudian doktor akan menggunakan instrumen yang kecil untuk memperbetulkan kerosakan bahu.
#7. Pembedahan memperbaiki buku lali
Pembedahan ini adalah penting sekiranya sendi buku lali tidak stabil akibat retak atau patah tulang manusia bahagian ini.
Selepas pembedahan, pesakit perlu memakai pendakap selama beberapa minggu sehinggalah tulang buku lali pulih sepenuhnya.
#8. Pembedahan tulang belakang
Terdapat banyak pembedahan yang biasa dilakukan pada tulang belakang seperti; Spinal Fusion, Diskectomy, Kyphoplasty dan Laminectomy.
Kesemuanya adalah sangat kritikal bagi memperbetulkan sokongan utama terhadap sistem tulang manusia.
Apa yang bagusnya adalah kebanyakan kaedah pembedahan ini hanya boleh dilakukan secara invasif sahaja.
Jadi, itulah 8 pembedahan yang paling banyak dilakukan terhadap tulang manusia. Jika tidak mahu mengalami salah satu daripadanya, sila jaga tulang anda ya?