home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Jangan Buat Main! Angkara Tulang Rapuh, Kehidupan & Pekerjaan Seharian Anda Akan Terjejas

Jangan Buat Main! Angkara Tulang Rapuh, Kehidupan & Pekerjaan Seharian Anda Akan Terjejas

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang belum tahu bahawa tanggal 20 Oktober pada setiap tahun merupakan Hari Osteoporosis Sedunia.

Pernah terdengar atau terbaca tentang kondisi kesihatan ini? Ya, ia adalah sejenis penyakit yang melibatkan tulang!

Akibatnya, kehidupan dan pekerjaan seharian individu yang mengalaminya pasti akan terjejas dengan teruk.

Jom sama-sama kita ikuti artikel untuk mengetahui mengenai apa itu osteoporosis dengan lebih mendalam lagi.

Apa itu osteoporosis?

Buat anda yang mungkin belum tahu, osteoporosis atau tulang rapuh adalah satu keadaan di mana ketumpatan tulang mula menipis dan berkurang,

Kesan yang paling kerap berlaku berpunca daripada kondisi ini adalah tulang akan menjadi sangat rapuh dan mudah retak atau patah walau dengan hentakan yang minor.

Apa yang menakutkan adalah osteoporosis mungkin tidak akan dapat didiagnosis selagi tidak berlaku kes kepatahan atau keretakan tulang sebelum itu.

Mungkin ramai yang sangka bahawa ia adalah proses normal penuaan dan tidak dapat dielakkan bukan?

Tidak, ramai pakar perubatan kini percaya bahawa ia boleh dihalang atau dilambatkan dengan cara yang betul!

sakit tulang belakang, apa itu osteoporosis

Simptom osteoporosis

Seperti yang kami telah nyatakan di atas tadi, penyakit ini mungkin sukar untuk didiagnosis kerana tiada simptom ketara pada peringkat awal.

Namun semakin penyakit ini menjadi lebih teruk, simptom-simptom akan mula muncul termasuklah:

  • Sakit belakang
  • Sakit leher
  • Berat berkurang secara beransur-ansur
  • Tinggi berkurang secara beransur-ansur
  • Badan mula membongkok
  • Patah atau retak tulang

Punca osteoporosis

Untuk pengetahuan anda, pembentukan tulang yang normal akan memerlukan mineral; kalsium dan fosfat.
Jika badan kita tidak berjaya mendapat mineral tersebut, pembentukan tulang dan tisu tulang akan terkesan.Selain itu, osteoporosis juga adalah salah satu daripada kesan penuaan yang menyebabkan penurunan tahap estrogen bagi perempuan dan penurunan tahap testosteron bagi lelaki.Tulang anda sentiasa dalam proses pembaharuan – tulang baru dihasilkan dan tulang lama dihapuskan.

Semasa anda masih muda, tubuh badan akan menghasilkan tulang baru lebih pantas daripada ia menghapuskan tulang lama dan ini membuatkan jisim tulang bertambah.

Kebanyakan orang mencapai jisim tulang maksimum pada umur awal 20-an.

Semakin tua, tulang kehilangan jisimnya lebih pantas daripada kadar ia dihasilkan.

Kebarangkalian untuk anda menghidapi osteoporosis sebahagiannya juga sangat bergantung kepada banyak mana anda mencapai jisim tulang ketika muda.

Semakin tinggi kemuncak jisim tulang anda, semakin banyak tulang anda di dalam “simpanan” dan semakin kurang kebarangkalian untuk mendapat osteoporosis.

Faktor risiko yang wujud

Dalam pada itu, osteoporosis juga boleh berlaku kepada individu yang mempunyai faktor risiko seperti berikut:
  • Jantina: Wanita lebih tinggi risiko berbanding lelaki
  • Usia: Semakin tua, semakin tinggi risiko
  • Sejarah keluarga
  • Berat badan tidak terkawal
  • Gaya hidup sedentari
  • Mengambil alkohol
  • Menghisap rokok
  • Gangguan pemakanan
  • Pengambilan ubatan tertentu
  • Penyakit kronik

Kehidupan & pekerjaan seharian terjejas

Mungkin ramai yang akan beranggapan bahawa bahaya kondisi kesihatan ini adalah tulang akan menjadi sangat rapuh lantas membuat ia mudah retak atau patah.

Ya, tidak dapat dinafikan bahawa itu adalah salah satu daripada kesan penyakit ini yang paling utama kerana ia akan menjejaskan kehidupan dan pekerjaan seharian.

Kesukaran untuk berdiri

Antara ciri utama untuk mengenal pasti penderita penyakit ini adalah majoriti mereka akan mempunyai tulang belakang yang membengkok lalu badan akan membongkok.

Akibatnya, mereka akan mengalami kesukaran untuk berdiri terutamanya dalam satu tempoh masa yang lama.

Sekiranya hendak berdiri pun sukar, apatah lagi pula jika hendak berjalan, berlari atau melakukan apa-apa.

Ini tentu sekali akan menjadikan kehidupan dan pekerjaan seharian individu itu terjejas.

Patah Tulang Pangkal Lengan, osteoporosis

Kesukaran untuk duduk

Seperti yang kami telah katakan di atas tadi, penyakit osteoporosis akan membuat individu itu sukar untuk berdiri terutamanya pada waktu yang lama.

Dalam pada itu, penderita penyakit tulang rapuh ini juga akan mengalami kesukaran untuk duduk sama ada duduk di atas kerusi, lantai atau sebarang permukaan.

Sama juga halnya seperti yang di atas, ia akan membuat kehidupan dan pekerjaan seharian terjejas.

Tulang terlalu mudah retak atau patah

Ya, mungkin anda semua sudah tahu akan perkara ini namun tahukah kalian akan maksud penekanan perkataan ‘terlalu’ di sini?

Semakin ketumpatan tulang seseorang itu terus merosot, tulang akan menjadi sangat rapuh dan mudah untuk terjejas atau terganggu.

Hanya dengan batuk atau bersin sahaja, ia mampu mengakibatkan keretakan tulang rusuk atau kerosakan separa tulang belakang.

Orang tua terutamanya akan menderita dengan sangat teruk sekiranya mereka mengalami keretakan tulang kerana proses penyembuhan tulang itu tidak berjalan lancar.

Jika ini berlaku, ia boleh membawa kepada berlakunya arthritis, yang akhirnya akan menyebabkan pesakit tidak berupaya langsung untuk melakukan aktiviti harian.

Kesannya, penderita mungkin tidak mampu lagi untuk hidup berdikari selepas itu.

Oleh itu, sila berjumpa dengan doktor untuk rawatan susulan sekiranya anda mendapati diri atau orang sekeliling anda mungkin mengalami apa itu osteoporosis untuk kehidupan yang lebih baik.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK45502/
  2. https://www.iofbonehealth.org/impact-osteoporosis
  3. https://www.nof.org/patients/treatment/overall-health/
  4. https://www.healthdirect.gov.au/living-with-osteoporosis
  5. https://www.nhs.uk/conditions/osteoporosis/living-with/
  6. https://www.osteoporosis.ca/wp-content/uploads/OC_Living_Well_March_2012.pdf
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 19/10/2020
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor