Adakah anda pernah atau masih mengalami rasa sakit sendi seluruh badan? Jika ya, artikel ini adalah sangat tepat buat bacaan kalian!
Untuk pengetahuan anda, ia mungkin sebenarnya adalah sejenis penyakit yang bernama arthritis atau dalam bahasa tempatannya iaitu radang sendi.
Tidak kurang juga, ramai yang menyangka ia adalah gout. Anda mungkin tidak salah namun ketahuilah keradangan pada sendi ini terdapat banyak jenisnya.
Sempena Hari Arthritis Autoimun Sedunia tanggal 20 Mei ini, kami kongsikan topik mengenai cara mengenali gejala awal penyakit ini. Jom teruskan membaca untuk tahu dengan lebih mendalam lagi!
Apa itu penyakit arthritis?
Menurut statistik terkini, dilaporkan seramai 5 dalam setiap 1,000 orang penduduk negara kita menderita penyakit arthritis.
Mungkin ada yang akan mengaitkannya dengan masalah berkaitan tulang dan otot namun tidak tahu ia juga mungkin didalangi sistem autoimun.
Sakit sendi seluruh badan boleh berlaku apabila adanya pergeselan di antara dua permukaan tulang, sekali gus menjadi radang.
Untuk pengetahuan anda, kondisi ini boleh berlaku kepada semua bahagian sendi yang terdapat pada tubuh badan manusia.
Terdapat 4 jenis arthritis yang biasa berlaku tanpa mengira usia dan jantina termasuklah:
- Osteoarthritis (OA)
- Arthritis rheumatoid
- Arthritis angkara jangkitan kuman
- Gout
Jadi, jelaslah di sini bahawa kesakitan atau keradangan pada sendi bukanlah semata-mata penyakit gout sahaja. Persoalannya, kenapa ia berlaku?
Apa faktor penyakit arthritis?
Wujud beberapa faktor risiko yang menyebabkan sakit sendi seluruh badan ini berlaku iaitu:
#1. Usia
Hipotesisnya, semakin meningkat umur, semakin merosot struktur di sekitar kawasan sendi.
Ia seterusnya akan menipiskan sendi dan menyebabkan pergeseran tulang kerap terjadi selain proses degeneratif tulang yang menurunkan kualiti tulang.
#2. Sejarah trauma pada sendi
Sekiranya anda pernah mengalami kemalangan atau kecederaan pada sendi pada masa dulu, maka ia akan lebih mudah mengalami keradangan dan kesakitan.
#3. Berat badan yang berlebihan
Individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti, lebih tinggi risiko mengalami tekanan pada sendi lantas menyebabkan penyakit ini berlaku.
#4. Penyakit
Ada beberapa jenis penyakit lain yang mendatangkan gejala sakit sendi seluruh badan seperti diabetes, kanser, psoriasis dan SLE (Systemic Lupus Erythematous).
#5. Jangkitan
Ada jangkitan yang berpunca daripada virus atau bakteria boleh bergejala sakit sendi akibat keradangan sendi dan ia adalah arthritis angkara jangkitan kuman.
#6. Pekerjaan
Individu yang bekerja banyak duduk, berdiri, mencangkung atau mengangkat barang berat akan menyebabkan sendi tertekan lantas mengakibatkan keradangan pada sendi.
Apa tanda penyakit arthritis?
Seperti mana yang kami telah nyatakan di atas tadi, seantero bahagian sendi pada tubuh badan manusia berisiko alami arthritis.
Ini termasuklah pada sendi pergelangan tangan, pergelangan kaki, siku, bahu, lutut, jari, belakang dan lain-lain kawasan.
Walau di mana sekalipun bahagian sendi yang diserang penyakit ini, tanda awal arthritis adalah seperti berikut:
- Sakit sendi seluruh badan
- Kekejangan sendi
- Kebengkakan sendi
- Sendi rasa sakit ketika ia ditekan atau dipicit
- Kesukaran untuk bergerak
- Kesakitan apabila bergerak
- Sendi berbunyi jika tersalah bergerak
- Otot di sekeliling sendi mengecut
Dalam pada itu, mungkin juga wujud beberapa tanda lain yang tidak melibatkan sendi antaranya:
- Sering sakit dada
- Kerap sesak nafas
- Demam
- Ruam
- Perubahan pada warna dan struktur kuku
Apa yang perlu anda lakukan?
Apa yang mungkin mengelirukan di sini adalah tanda awal penyakit ini boleh datang dan pergi tanpa diundang atau dihalau.
Jadi jika anda dapati diri mempunyai tanda dan faktor risiko arthritis, adalah sangat penting untuk kalian berjumpa doktor dengan kadar segera.
Ini bertujuan untuk membolehkan anda mengenal pasti jenis arthritis yang dialami bagi mengetahui kaedah rawatan dan ubatan yang tepat.
Dalam pada itu, perubahan dalam aspek gaya hidup anda juga perlu dilakukan bagi melindungi sendi anda agar ia tidak mudah merosot.
Sebagai langkah terakhir yang boleh dicuba jika sakit sendi seluruh badan masih menghantui adalah melalui prosedur pembedahan.
Pembedahan ini akan melibatkan prosedur pembuangan dan penggantian sendi artifisial yang diperbuat daripada bahan buatan manusia.
Jangan sangka arthritis ini normal!
Konklusinya, penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan jantina.
Oleh itu, jangan sesekali menyangka bahawa keradangan pada sendi ini adalah normal dan boleh datang dan pergi begitu sahaja.
Kaedah rawatan, ubatan mahupun pembedahan mungkin diperlukan oleh anda demi kehidupan yang lebih selesa dan sihat.