backup og meta

Jangan Ingat Wanita Sahaja Yang Kena Penyakit Lupus, Lelaki Pun Berisiko, Tau!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/10/2021

    Jangan Ingat Wanita Sahaja Yang Kena Penyakit Lupus, Lelaki Pun Berisiko, Tau!

    Lupus merupakan sejenis penyakit yang berlaku apabila sistem imun badan bertindak menyerang tisu dan juga organ sendiri. Penyakit lupus juga merupakan sejenis penyakit autoimun dan sukar untuk didiagnosis disebabkan gejala yang seakan-akan penyakit lain.

    Ada individu yang lebih berisiko untuk menghidap lupus. Malah, lupus juga boleh berlaku disebabkan jangkitan, ubat-ubatan tertentu ataupun pendedahan terhadap cahaya matahari.

    Walaupun masih belum ada penawar untuk penyakit ini, namun rawatan yang sedia ada dapat membantu untuk mengawal simptom yang pesakit alami.

    Lupus juga didapati lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita. Malah, risiko untuk wanita mengalami lupus 9 kali ganda melebihi lelaki. Namun, itu tidak bermaksud kaum Adam tidak mengalaminya.

    Lelaki mempunyai simptom lupus yang lebih kurang sama dengan wanita. Walaupun begitu, ada beberapa ciri yang lebih menyerlah dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

    Sebagai contoh, lelaki yang menghidap lupus akan mempunyai masalah buah pinggang yang lebih teruk.

    Sempena Hari Lupus Sedunia pada 10 Mei ini, kami ingin mengetengahkan kesan sebenar penyakit autoimun ini kepada umum.

    Dalam masa yang sama, kami juga berharap agar tanggapan atau stigma bahawa penyakit lupus hanya berlaku pada wanita sahaja dapat dihapuskan.

    Apakah simptom lupus dalam kalangan lelaki?

    Gejala penyakit lupus

    Sehingga hari ini, pakar tidak pasti mengapa lupus lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Namun, mereka mendapati penyakit lupus merupakan sesuatu yang berlaku secara turun-temurun.

    Tidak ada dua kes lupus yang mempunyai simptom yang serupa. Semua penghidap penyakit lupus mempunyai tanda dan gejala yang berbeza-beza.

    Kebanyakan pesakit lupus mempunyai episod serangannya atau flare yang tersendiri. Pada awalnya, gejala dan simptom penyakit lupus akan menjadi teruk sebelum kembali normal atau hilang sepenuhnya untuk seketika.

    Menurut Lupus Foundation of America, kajian menunjukkan lelaki yang menghidap lupus akan mengalami simptom seperti:

    1.   Bilangan darah rendah.
    2.   Masalah atau komplikasi jantung dan salur darah.
    3.   Demam yang tidak diketahui sebabnya.
    4.   Penurunan berat badan.
    5.   Antiphospholipid antibodies (yang boleh meningkatkan risiko darah beku).
    6.   Penyakit buah pinggang.
    7.   Serositis (rasa sakit dada ketika menarik nafas).

    Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami gejala lain seperti:

    1.   Rasa penat yang amat sangat.
    2.   Sakit atau bengkak pada kawasan sendi.
    3.   Bengkak pada kawasan tangan, kaki dan di sekitar mata.
    4.   Pening kepala.

    Penyakit lupus lebih teruk dalam kalangan kaum Adam

    Gejala penyakit lupus

    Kajian mendapati lelaki yang menghidap penyakit lupus mempunyai gejala yang lebih teruk daripada wanita. Walau bagaimanapun, punca utamanya masih belum dikenal pasti.

    Malah, disebabkan lelaki amat jarang untuk menghidap lupus, mereka sukar untuk mendapatkan diagnosis yang betul.

    Tambah lagi, diagnosis lupus juga merupakan satu perkara yang sukar untuk dilakukan.

    Tidak ada satu ujianpun yang boleh memberikan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ ketika mendiagnosis penyakit ini. Malah, simptom penyakit juga boleh berubah pada masa hadapan.

    Oleh sebab itu, sukar untuk doktor menentukan apa sebenarnya yang sedang berlaku pada badan pesakit.

    Menghidap lupus tidak akan menyebabkan lelaki mengalami kesukaran untuk melakukan seks atau kebolehannya untuk menjadi seorang ayah.

    Walau bagaimanapun, beberapa jenis ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat lupus seperti cyclophosphamide boleh mempengaruhi tahap testosteron dan juga bilangan sperma yang aktif.

    Anda bukan bersendirian

    Sukar untuk menerangkan penyakit lupus kepada orang lain disebabkan simptomnya yang tidak nampak dek mata kasar.

    Namun, ia mungkin lebih sukar untuk lelaki disebabkan wujudnya stigma bahawa hanya wanita sahaja yang boleh menghidap lupus.

    Pekerjaan juga boleh menjadi sesuatu yang amat sukar untuk pesakit lupus. Disebabkan lelaki merupakan ketua keluarga dan mempunyai tanggungjawab sendiri, kehilangan kerja merupakan sesuatu yang amat berat untuk mereka.

    Ramai orang boleh terus bekerja selepas mendapat diagnosis lupus, walau bagaimanapun, ada beberapa perubahan yang perlu dilakukan oleh pesakit tersebut. Ini termasuklah masa kerja yang fleksibel, kerja dari rumah dan sebagainya.

    Bukan itu sahaja, penyakit ini juga boleh memberikan impak yang negatif terhadap fizikal dan mental pesakit. Pada waktu ini, sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat terdekat amat penting.

    Ambil masa untuk diri sendiri dan gunakannya untuk aktiviti seperti membaca, meditasi dan sebagainya. Cari juga aktiviti lain yang boleh menenangkan diri.

    Akhir sekali, pastikan anda bersifat terbuka untuk bercakap dengan orang lain yang turut menghidap penyakit yang sama seperti anda.

    Individu ini boleh memberikan sokongan dan nasihat kerana mereka telah merasai apa yang anda lalui.

    Kesimpulan

    Penyakit lupus

    Tidak dinafikan, lelaki yang menghidap lupus mungkin akan mengalami kesukaran yang lebih besar berbanding wanita. Disebabkan mereka menghidap simptom yang lebih berat, jadi mereka mungkin akan terkesan dari segi emosi dan juga jasmani.

    Lupus tidak mempunyai simptom awal. Malah, simptom awalnya merupakan simptom untuk pesakit lupus itu sendiri.

    Sebagai contoh, pesakit lupus mungkin akan alami gejala seperti rasa penat yang amat sangat, sakit sendi atau ruam yang berbentuk rama-rama. Malah, simptom lupus juga berbeza mengikut individu.

    Oleh sebab itu, marilah kita bersama-sama bangkit atas tanda solidariti bersama pesakit lupus sempena Hari Lupus Sedunia pada 10 Mei 2021.

    Dengan cara inilah kita mampu membuang segala stigma dan mendedahkan impak sebenar penyakit autoimun ini kepada umum.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan