Dalam masa lebih kurang seminggu sahaja, industri hiburan tanah air telah kehilangan dua permata yang pernah menyinari dan menghiburkan kehidupan kita. Di kesempatan ini, Hello Doktor ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah pelakon Ashraf Sinclair dan pelawak Abam Bocey yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Ashraf Sinclair, pelakon tanah air yang menempa nama di seberang
Pada pukul 4.51 pagi tadi (18 Februari 2020), kita telah kehilangan sebutir lagi bintang. Pelakon popular Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40 tahun, disahkan meninggal dunia.
Berita kematian suami kepada Bunga Citra Lestari atau lebih dikenali sebagai BCL itu dinyatakan oleh pengurus mereka menerusi aplikasi Whatsapp kepada pemberita tempatan.
Difahamkan, Allahyarham yang popular menerusi lakonannya dalam filem Gol dan Gincu pada 2005, telah meninggal dunia semasa sedang tidur, dipercayai akibat serangan jantung.
Serangan jantung boleh terjadi tanpa sebarang petanda
Mungkin ramai yang tidak tahu, serangan jantung sebenarnya boleh berlaku pada bila-bila masa dan dengan tiba-tiba sahaja. Ia menjadikan penyakit ini antara pembunuh senyap yang boleh meragut nyawa individu tanda diduga.
Serangan jantung akan berlaku apabila saluran darah menuju ke jantung tersumbat dek kerana lemak, kolesterol dan pelbagai lagi sebatian yang lain. Sumbatan ini seterusnya menyebabkan plak pada arteri (penyakit koronari arteri).
Akibatnya, serangan jantung atau lebih dikenali sebagai infarksi miokardium (MI) boleh terjadi. Untuk pengetahuan anda, ia juga boleh mendatangkan maut!
Simptom serangan jantung yang mungkin terjadi
Serangan jantung kebiasaannya boleh terjadi tanpa sebarang petanda dan boleh menyerang sesiapa sahaja terutamanya jika individu tersebut pernah mengalami serangan sebelum ini.
Pun begitu, serangan jantung sebenarnya mempunyai simptom tersendiri yang boleh kita perhatikan, antaranya:
- Tekanan, ketegangan dan kesakitan pada jantung atau tangan yang boleh merebak ke leher, rahang serta belakang badan
- Mual, pedih ulu hati, ketidakhadaman dan kekejangan perut
- Sesak nafas
- Pening kepala
- Berpeluh sejuk
- Keletihan yang melampau
Namun, perlu diingatkan bahawa tidak semua individu akan mengalami simptom ini sekiranya diserang penyakit jantung. Ada yang mungkin mengalami simptom lebih ringan atau lebih teruk.
Lebih membimbangkan, ia mungkin menyerang tanpa sebarang petanda dan simptom pada waktu kejadian, sehari sebelum kejadian mahupun seminggu sebelum kejadian.
Sebaiknya, langkah berjaga-jaga perlu diambil dengan lebih awal lagi.
Apa yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan komplikasi serangan jantung?
Ya, serangan jantung adalah satu kondisi yang mungkin datang secara senyap dan tanpa sebarang petanda seperti yang berlaku kepada Allahyarham Ashraf Sinclair.
Pun begitu, ia tidak bermakna anda tidak boleh melakukan apa-apa untuk mengelaknya.
Ini tindakan yang boleh anda lakukan sekiranya mengesyaki akan berlaku serangan jantung:
#1. Hubungi individu terdekat atau talian kecemasan
Anda perlu bertindak segera tanpa melengahkan masa. Sebaiknya, terus hubungi nombor telefon individu yang tinggal berdekatan dengan anda seperti ahli keluarga atau kenalan.
Terus sahaja hubungi talian kecemasan 999 dan segera maklumkan kepada mereka bahawa anda mungkin akan terkena serangan jantung.
Dengan ini, bantuan akan tiba lebih cepat ke rumah anda sekali gus meminimumkan risiko serangan daripada menjadi lebih teruk.
#2. Jangan memandu seorang diri ke hospital
Sekiranya serangan berlaku di rumah, anda mungkin hanya perlu menunggu sahaja sehingga bantuan tiba. Namun, bagaimana jika ia terjadi semasa anda sedang memandu kenderaan?
Jika lokasi semasa anda sedang memandu sudah berdekatan dengan hospital, mungkin anda boleh meneruskan pemanduan. Tetapi, jika anda sendiri tidak pasti kedudukan hospital, jangan memandu seorang diri!
#3. Ambil ubatan mencegah serangan jantung yang dipreskripsikan doktor
Sekiranya anda pernah mengalami serangan atau sudah membuat pemeriksaan kesihatan sebelum ini, doktor mungkin akan memberi preskripsi ubatan seperti nitroglycerin atau aspirin untuk diambil ketika serangan berlaku.
Pun begitu, jangan ambil ubat sembarangan tanpa kebenaran dan pengesahan doktor!
Ajal maut di tangan pencipta kita
Allahyarham maut ketika sedang tidur meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki yang baru berusia 10 tahun, Noah Aidan Sinclair.
Dikatakan juga, pemilik nama sebenar Ashraf Daniel Mohammed Sinclair ini tidak pernah mengalami sebarang sejarah serangan jantung sebelum ini dan kesihatan arwah juga sentiasa berada pada keadaan yang terbaik.
Begitulah juga keadaannya dengan seorang lagi penggiat seni tanah air kita iaitu Allahyarham Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Abam Bocey yang meninggal dunia pada 10 Februari lalu juga semasa dalam keadaan tidur.
Kedua-dua kes kematian yang menyayat hati ini adalah sangat tidak diduga dan mengejutkan buat individu berdekatan mereka kerana tiada sebarang petanda yang ditunjukkan selain gelak tawa dan kasih sayang yang sentiasa mereka taburkan.
Benarlah Tuhan itu yang merancang segalanya dan ajal maut di tangan pencipta kita. Maka, bersamalah kita mendoakan agar roh kedua-dua mereka dicucuri rahmat. -Al-Fatihah-
[embed-health-tool-heart-rate]