Penyakit lemah jantung, atau turut dikenali dengan nama kardiomiopati (cardiomyopathy) merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi otot pada bahagian jantung.
Apabila penyakit kardiomiopati menjadi semakin serius, jantung tidak dapat lagi mengepam darah secara normal dan mengekalkan ritmanya.
Selain itu, keadaan jantung lemah ini turut menyebabkan pengumpulan cecair pada bahagian paru-paru, buku lali, kaki ataupun abdomen. Kondisi ini merupakan salah satu kerisauan buat pesakit.
Sebenarnya, ada banyak rawatan jantung lemah seperti pemberian ubat-ubatan, pembedahan ataupun untuk kes yang lebih serius – pemindahan organ.
Walau bagaimanapun, semua rawatan ini bergantung kepada keseriusan penyakit yang dihidapi.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Pengumpulan cecair tanda lemah jantung
Retensi air pada kawasan buku lali, kaki dan abdomen merupakan masalah besar untuk mereka yang pernah menghidap kegagalan jantung.
Menurut Dr. Eldrin Lewis dari Harvard-affiliated Brigham and Women’s Hospital, sebarang pengumpulan cecair pada badan boleh berubah menjadi situasi yang mengancam nyawa dalam sekelip mata.
Menurut beliau lagi, pesakit yang mengalami peningkatan berat badan dengan ketara perlu berjumpa doktor dalam kadar yang segera. Jangan sesekali tunggu sehingga jatuh sakit.
Malah, peningkatan berat badan sebanyak 2.5 kg sudah cukup untuk menandakan sesuatu yang serius.
Penyakit lemah jantung boleh membawa kepada kegagalan jantung.
Selalunya, rawatan untuk kardiomiopati bertujuan untuk mengurangkan risiko kegagalan jantung.
Untuk pengetahuan anda, ada pesakit lemah jantung yang tidak mengalami sebarang simptom.
Selalunya, simptom mulai muncul apabila penyakit tersebut sudah menjadi serius. Sebagai contoh, antara simptom lemah jantung yang lazim adalah:
- Sesak nafas, lebih-lebih lagi ketika melakukan senaman.
- Keletihan.
- Bengkak pada kawasan kaki, buku lali, perut dan leher.
Selain tanda-tanda di atas, pesakit juga mungkin mengalami pening kepala, pengsan semasa melakukan aktiviti fizikal,aritmia, dan juga sakit dada.
Bagaimana hendak mengesan masalah retensi air?
Cara yang terbaik adalah dengan menimbang berat badan setiap hari.
Pastikan berat badan anda sekarang hampir dengan berat badan semasa anda tidak mempunyai sebarang masalah retensi air. Berat ini turut dikenali dengan nama dry weight.
Jika anda pernah ke hospital dan sedang mengambil ubat-ubatan, anda pasti tahu dry weight anda.
Walau bagaimanapun, jika tidak, doktor dan jururawat dapat membantu anda untuk mendapatkan berat badan ini.
Untuk mendapatkan bacaan yang tepat mengenai berat badan anda, pastikan:
- Anda rekod dry weight anda dan bandingkan bacaan berat badan harian dengannya. Tuliskan bacaan berat badan anda setiap hari di dalam sebuah logbook.
- Kekal mengikut rutin harian. Kadangkala, perubahan kecil di dalam rutin anda boleh menyebabkan berat badan naik sehingga 2 kg!
- Timbang berat badan pada masa yang sama menggunakan penimbang yang sama. Masa yang terbaik untuk menimbang berat adalah pada waktu pagi sebelum sarapan.
Baca juga: