Ramai daripada masyarakat Malaysia yang masih tidak tahu dengan jelas apakah maksud kardiovaskular dan punca punca penyakit kardiovaskular berlaku. Oleh itu, Hello Doktor menemu bual Profesor Madya Dr Ahmad Syadi Mahmood Zuhdi dari Universiti Malaya bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit kardiovaskular. Ikuti penerangan pakar perubatan di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Maksud kardiovaskular dan punca penyakit kardiovaskular
Hello Doktor: Bolehkah doktor terangkan dengan lebih lanjut mengenai maksud kardiovaskular dan apakah faktor utama penyakit ini?
Dr Ahmad Syadi: Terdapat pelbagai jenis jenis penyakit jantung atau kardiovaskular. Ada jenis yang biasa terjadi dan ada juga yang jarang berlaku. Jenis penyakit kardiovaskular bergantung kepada bahagian atau sistem di mana jantung terlibat.
Walau bagaimanapun, jenis penyakit kardiovaskular yang paling kerap terjadi adalah penyakit jantung koronari.
Penyakit jantung koronari berlaku disebabkan oleh saluran darah ke jantung yang menyempit, dipanggil proses aterosklerosis.
Proses aterosklerosis adalah satu proses jangka masa panjang yang kemudiannya akan menyebabkan pengumpulan plak kolesterol dalam dinding saluran darah koronari.
Kesannya, ia menyebabkan saluran darah semakin sempit dan jantung tidak mendapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi.
Terdapat pelbagai faktor risiko atau punca penyakit kardiovaskular yang disebabkan proses aterosklerosis.
Sebab-sebab utama adalah kencing manis, tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol, tabiat merokok dan faktor keturunan.
Semakin banyak faktor risiko yang dialami oleh seseorang, maka lebih tinggi risikonya untuk mendapat penyakit jantung koronari.
Hello Doktor: Siapakah yang paling terdedah kepada penyakit kardiovaskular?
Dr Ahmad Syadi: Secara puratanya, umur pesakit jantung koronari di Malaysia adalah sekitar 56 tahun.
Purata umur ini adalah lebih muda berbanding purata umur pesakit jantung secara global terutamanya di negara-negara maju.
Untuk pengetahuan semua, kaum lelaki lebih terdedah kepada penyakit ini berbanding orang perempuan dengan nisbah sekitar 7:3.
Wanita terutamanya golongan ‘pra-menopaus’ mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding lelaki.
Orang lelaki yang berumur lebih 50 tahun dan mempunyai faktor risiko seperti di atas adalah yang paling berisiko kepada penyakit ini.
Punca penyakit kardiovaskular
Hello Doktor: Semakin ramai orang muda yang menghidap penyakit kardiovaskular. Apakah punca penyakit jantung koronari ini?
Dr Ahmad Syadi: Mengikut data daripada ‘National Cardiovascular Disease Database’, pesakit jantung koronari yang berumur bawah 45 tahun adalah sebanyak 20 peratus.
Ini bermaksud, 1 daripada 5 pesakit adalah daripada golongan muda (iaitu kurang daripada 45 tahun).
Kajian menunjukkan, terdapat dua faktor utama yang menyebabkan ramai orang muda mengalami penyakit ini. Faktor-faktor atau punca penyakit kardiovaskular tersebut adalah tabiat merokok dan masalah keturunan.
Tetapi ini tidak bermakna faktor risiko lain adalah tidak penting. Masalah obesiti juga amat ketara di negara ini, ditambah pula dengan gaya pemakanan yang kurang sihat.
Cara hidup kurang sihat ini akan meningkatkan lagi faktor-faktor risiko penyakit jantung.
Oleh itu, kesedaran tentang cara hidup sihat dan pemeriksaan kesihatan secara berkala perlulah dititikberatkan.
Hello Doktor: Pada masa ini terdapat banyak prosedur bagi mendiagnosis punca penyakit kardiovaskular. Apakah prosedur-prosedur ini dan tahap keberkesanannya?
Dr Ahmad Syadi: Terdapat pelbagai kaedah untuk mengesan penyakit jantung koronari. Ada cara yang mudah dan ada juga yang lebih terperinci.
Exercise stress test di mana pesakit berlari di atas mesin treadmill adalah cara yang paling mudah untuk mengesan penyakit ini.
Namun tahap keberkesanannya tidaklah begitu tinggi.
Terdapat juga pelbagai jenis imbasan jantung yang boleh mengesan penyakit kardiovaskular seperti CT scan dan MRI scan.
Namun keadah yang paling berkesan dan dalam masa yang sama dapat merawat penyakit jantung dikenali sebagai koronari angiogram dan angioplasty.
Prosedur IVUS untuk penyakit jantung koronari
Hello Doktor: Bolehkah doktor terangkan dengan lebih lanjut mengenai Intravascular Ultrasound (IVUS)? Bilakah seseorang pesakit harus mempertimbangkan untuk menjalani prosedur ini?
Dr Ahmad Syadi: IVUS merupakan satu kaedah imbasan ultrasound yang boleh dilakukan semasa proses angiogram dan angioplasty.
Dengan memasukkan lensa kamera mikro ke dalam saluran darah, maklumat tentang saiz saluran darah dan ciri-ciri plak yang menyebabkan penyempitan saluran darah boleh diperolehi dengan lebih tepat.
IVUS harus dipertimbangkan untuk pesakit yang menjalani rawatan angioplasty rumit dan kritikal.
Ini termasuk penilaian ciri-ciri saluran darah dan plak koronari secara terperinci untuk memastikan rawatan angioplasty dapat dilakukan secara optimum.
Ia juga dapat mengurangkan kadar komplikasi yang memudaratkan akibat punca penyakit kardiovaskular.
Hello Doktor: Apakah keberkesanan prosedur IVUS?
Dr Ahmad Syadi: Keberkesanan IVUS adalah sangat tinggi. Ianya disarankan mengikut ‘clinical practice guidelines’ untuk rawatan angioplasty yang lebih berkesan.
Imbasan ini juga amat teliti dalam mengesan komplikasi-komplikasi yang mungkin tidak dapat dikesan daripada kaedah angiogram sahaja.
Kajian juga menunjukkan dalam kes-kes tertentu, pesakit-pesakit yang menjalani angioplasty dengan menggunakan IVUS, mempunyai prognosis yang lebih baik berbanding pesakit yang menjalani angioplasty tanpa IVUS.
Hello Doktor: Apakah nasihat doktor untuk mencegah penyakit kardiovaskular?
Dr Ahmad Syadi: Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Proses terjadinya penyakit jantung koronari ini bermula daripada umur seawal belasan tahun.
Ia adalah proses yang senyap dan biasanya akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum dapat dikesan secara klinikal.
Langkah pencegahan perlu bermula daripada usia yang masih muda. Kesedaran umum tentang betapa pentingnya langkah pencegahan harus dipupuk seawal mungkin.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga boleh membantu mengesan faktor risiko dan punca penyakit kardiovaskular lebih awal.
Bagi mereka yang sudah mempunyai faktor risiko, ia haruslah dikawal dan sentiasa lakukan pemeriksaan susulan setelah mengambil ubat-ubatan.
Kini anda telah tahu maksud kardiovaskular dan apa yang perlu dilakukan. Ambil langkah awal sebelum terlambat!
[embed-health-tool-heart-rate]