
Ramai yang tidak tahu kepentingan sebenar merendahkan bacaan kolesterol dalam darah. Tahukah anda, setiap penurunan sebanyak 1% dalam bacaan kolestrol, risiko untuk menghidap penyakit jantung akan berkurang sebanyak 2%?
Sebenarnya, tahap kolesterol dalam darah amat berkait rapat dengan risiko anda untuk menghidap penyakit jantung.
Malah, semakin tinggi kolesterol dalam darah, semakin tinggilah risiko untuk anda terkena penyakit jantung!
Bacaan kolesterol yang tinggi di dalam darah secara amnya tidak akan menunjukkan apa-apa simptom. Oleh sebab itu, ramai orang tidak sedar tahap kolesterol dalam badan mereka tinggi.
Tidak kiralah anda masih muda, sudah berusia, lelaki mahupun wanita – semua orang perlu menurunkan kadar kolesterol masing-masing.
Sebelum kita baca lebih lanjut mengenai langkah menurunkan kolesterol, mari ambil tahu terlebih dahulu apa itu kolesterol serta jenis-jenisnya.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Apa itu kolesterol dan apakah maksud di sebalik bacaannya?
Jika anda berumur 20 tahun ke atas, anda digalakkan untuk mengambil bacaan kolesterol sekali dalam masa 5 tahun.Â
Ujian darah yang dikenali juga dengan nama profil lipoprotein ini akan memberikan informasi mengenai:
- Jumlah kolesterol keseluruhan.
- Jumlah kolesterol LDL.
- Jumlah kolesterol HDL.
- Trigliserida (sejenis lemak di dalam darah).
Sebagai panduan, bacaan kolestrol anda sepatutnya:
- Jumlah kolesterol keseluruhan – Kurang daripada 200 mg/dL
- Trigliserida – Kurang daripada 150 mg/dL
- Kolesterol LDL – Kurang daripada 130 mg/dL atau kurang daripada 100 mg/dL untuk pesakit jantung, atau diabetes
- Kolesterol HDL – Lebih banyak daripada 55 mg/dL (wanita), 45 mg/dL (lelaki)
HDL (high-density lipoprotein) merupakan kolesterol baik yang boleh melindungi anda daripada penyakit jantung. Oleh sebab itu, lebih tinggi jumlahnya, lebih baik kesannya terhadap kesihatan anda.
Baiki bacaan kolesterol, ubah gaya hidup!
Ramai pesakit perlu mengambil ubat-ubatan tertentu untuk merendahkan tahap kolesterol dalam badan.
Walau bagaimanapun, jika anda tidak mahu mengambil sebarang ubat atau jatuh sakit disebabkan bacaan kolestrol yang tinggi, anda perlu lakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup.Â
Sebagai contoh, anda boleh:
1. Makan makanan yang lebih sihat
Pertama sekali, cuba kurangkan makanan yang kaya dengan lemak tepu.Â
Sebagai contoh, elakkan pengambilan makanan seperti daging merah dan produk tenusu yang boleh menaikkan kadar kolesterol dalam badan.
Selain itu, banyakkan mengambil makanan yang kaya dengan asid lemak omega-3. Makanan seperti salmon dan kacang walnut amat berkhasiat dan mengandungi pelbagai manfaat untuk mencegah penyakit jantung.
2. Bersenam untuk rendahkan kadar kolesterol
Senaman yang berintensiti sederhana boleh meningkatkan kadar kolesterol HDL di dalam badan. Jika boleh, cuba lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit 5 kali seminggu.
Selain itu, anda juga boleh tambah aktiviti fizikal seperti berbasikal atau berjalan kaki untuk membantu anda menurunkan berat badan.
3. Berhenti merokok
Semua orang tahu keburukan yang datang bersama tabiat yang tidak sihat ini. Untuk menurunkan bacaan kolestrol dalam badan, anda perlu berhenti merokok.
4. Turunkan berat badan
Cuba turunkan berat badan jika anda mahukan bacaan kolestrol yang lebih rendah.
Tukar tabiat makan kepada yang lebih sihat. Sebagai contoh, minum lebih banyak air kosong berbanding air bergula.
Turunkan bacaan kolesterol anda untuk lebih sihat
Walaupun kolesterol diperlukan oleh badan, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan arteri tersumbat lalu mengakibatkan sakit jantung.
Masalah kolesterol yang tinggi boleh dielakkan dengan melakukan perubahan dari segi gaya hidup.
Sebagai contoh, cuba berhenti merokok dan turunkan berat badan. Dua kaedah ini merupakan antara perubahan yang boleh memberi impak positif terhadap bacaan kolesterol anda.
Namun, kadangkala perubahan dari segi gaya hidup tidak mencukupi untuk menurunkan bacaan kolesterol.
Jika ini yang berlaku, doktor mungkin akan mencadangkan pengambilan ubat-ubatan untuk membantu merendahkan kolesterol anda.
Jangan risau untuk berjumpa doktor jika anda mempunyai persoalan mengenai tahap kolesterol anda.
Dengan melakukan ujian yang dicadangkan, doktor boleh melakukan diagnosis dan mencadangkan rawatan yang bersesuaian dengan kondisi anda.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.