backup og meta

Ciuman Bibir Ke Bibir Boleh Jadi Punca Terkena Pneumonia? Hati-hati Dengan Sakit Radang Peparu Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/07/2022

    Ciuman Bibir Ke Bibir Boleh Jadi Punca Terkena Pneumonia? Hati-hati Dengan Sakit Radang Peparu Ini

    Pernahkah anda dengar mengenai penyakit pneumonia? Pneumonia bukanlah satu perkataan yang asing lagi tatkala negara kita dibadai wabak COVID-19.

    Tetapi, apakah maksud sebenar pneumonia? Untuk pengetahuan anda, pneumonia ialah sejenis jangkitan yang boleh menyebabkan inflamasi pada bahagian kantung udara atau alveoli di sebelah atau kedua-dua belah paru-paru.

    Kantung udara ini akan dipenuhi dengan cecair atau nanah yang akan menyebabkan pesakit mengalami batuk berkahak atau batuk bernanah. Selain itu, pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk bernafas.

    Penyakit pneumonia boleh berlaku disebabkan banyak perkara. Namun, ia selalunya disebabkan oleh jangkitan bakteria dan virus. Ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tidak mengira umur.

    Tetapi, bolehkah pneumonia berjangkit dari satu individu ke individu yang lain? Jika rakan anda menghidap pneumonia, adakah penyakit tersebut boleh menjangkiti anda? 

    Sempena Hari Pneumonia Sedunia pada 12 November ini, kami sediakan artikel mengenai punca dan cara untuk mengelak penyakit radang paru-paru ini.

    Penyebab utama pneumonia

    penyakit pneumonia

    Kuman yang menyebabkan pneumonia selalunya memasuki badan kita melalui saluran pernafasan.

    Seseorang yang dijangkiti pneumonia mempunyai kuman pada bahagian tekak dan hidung mereka yang boleh disebarkan kepada individu lain tatkala batuk atau bersin.

    Jika titisan air ini terkena sesuatu objek, maka individu lain yang menyentuhnya akan dijangkiti kuman penyebab pneumonia sekiranya mereka bertindak menyentuh mulut atau hidung mereka.

    Pendek kata, transmisi jangkitan pneumonia agak serupa dengan COVID-19. Ini kerana virus yang menyebabkan pesakit COVID-19 boleh menyebabkan pneumonia.

    Oleh sebab itu, anda boleh hentikan penyebaran pneumonia dengan cara kerap membasuh tangan, lebih-lebih lagi setelah menyentuh mulut atau hidung sebelum makan.

    Faktor risiko lain untuk pneumonia adalah:

    1. Berada di hospital- Anda lebih berisiko untuk menghidap pneumonia jika dimasukkan ke dalam ICU, lebih-lebih lagi jika anda menggunakan mesin ventilator.
    2. Penyakit kronik- Individu yang mempunyai asma, COPD (chronic obstructive pulmonary disease) atau penyakit jantung lebih berisiko untuk menghidap pneumonia.
    3. Merokok- Tabiat merokok boleh merosakkan sistem pertahanan semula jadi badan terhadap jangkitan bakteria atau virus yang menyebabkan pneumonia.
    4. Sistem imun yang lemah- Pesakit HIV/AIDS, individu yang pernah melakukan pemindahan organ atau sedang melakukan kemoterapi juga berisiko untuk menghidap pneumonia.

    Bolehkah penyakit pneumonia berjangkit melalui ciuman?

    penyakit pneumonia

    Ciuman mempunyai banyak kebaikannya yang tersendiri. Di samping dapat mengeratkan hubungan suami isteri, kajian mendapati pasangan yang sering berkongsi ciuman mempunyai pertalian emosi yang lebih kuat.

    Mereka juga kurang tertekan kerana ciuman boleh membuatkan pasangan rasa gembira dan tenang. Semua ini adalah disebabkan oleh sejenis bahan kimia yang dirembeskan oleh otak saat seseorang itu bercumbu.

    Namun, jika pasangan anda jatuh sakit, mungkin anda boleh elakkan daripada mencium mereka buat seketika. Ini kerana, bakteria dan virus di dalam air liur seseorang boleh merebak dan menjangkiti orang lain melalui ciuman.

    Ada beberapa jenis penyakit berjangkit yang boleh menjangkiti anda melalui ciuman. Antaranya ialah:

    • Demam- Banyak virus boleh menyebabkan kita demam. Seseorang individu boleh dijangkiti demam jika tersentuh cecair atau mukus yang dikeluarkan daripada hidung dan tekak pesakit
    • Herpes- Virus herpes boleh menjangkiti anda melalui ciuman lebih-lebih lagi jika ada luka pada kawasan mulut pesakit yang mempunyai virus ini
    • Hepatitis B- Virus ini boleh disebarkan melalui ciuman. Sama seperti herpes, risiko untuk anda dijangkiti Hepatitis b lebih tinggi jika ada luka di dalam mulut anda
    • Penyakit meningococcal- Penyakit yang boleh membawa maut ini boleh menjangkiti orang lain menerusi ciuman. Walau bagaimanapun, hanya ciuman dari mulut ke mulut sahaja yang boleh meningkatkan risiko jangkitan meningococcal
    • Gigi reput- Untuk pengetahuan anda, bakteria yang menyebabkan gigi reput boleh disebarkan melalui ciuman! Oleh sebab itu, perhatikan anak anda terutama sekali bayi yang baru lahir. Jangan biarkan orang asing mencium mulut bayi anda sewenang-wenangnya!

    Bagaimana anda boleh elakkan penyakit pneumonia?

    penyakit pneumonia

    Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti pneumonia:

    1. Pastikan anda sekeluarga mengambil vaksinasi- Ada beberapa jenis vaksinasi yang boleh mengelakkan pneumonia.
    2. Jaga kebersihan- Pastikan anda sentiasa membasuh tangan ataupun menggunakan hand sanitiser untuk melindungi diri daripada jangkitan virus dan bakteria.
    3. Jangan merokok- Merokok boleh buatkan badan anda lebih lemah dan mudah dijangkiti virus.
    4. Kuatkan sistem imun- Pastikan anda tidur dengan cukup, bersenam secara berkala dan makan makanan yang sihat.

    Walaupun ciuman boleh menyebarkan penyakit, itu tidak bermaksud anda tidak boleh bercium langsung! Untuk pengetahuan anda, kebanyakan virus atau bakteria tidak boleh disebarkan melalui ciuman.

    Malah, risiko untuk anda mengalami jangkitan serius disebabkan ciuman juga amat rendah. Tambahan lagi, ciuman mempunyai banyak manfaatnya yang tersendiri terhadap emosi anda dan pasangan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan